Maryam: Bukti kekuasaan Allah dan ujian keimanan

“(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (Maryam: 23)

Ketika membaca tafsir Surah Maryam ayat 22 dan 23, saya terjumpa kisah menarik yang diceritakan oleh Al-Razi (wafat 606H), diambil daripada riwayat al-Tha’labi daripada Wahab, iaitu salah satu pendapat tentang kenapa Maryam “memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh”?

Beliau menceritakan: 

Yusuf al-Najjar adalah sepupu kepada Maryam. Mereka berdua selalu pergi bersama-sama ke masjid yang terletak di Bukit Sohyun (Jerusalem). Mereka berkhidmat di masjid itu. Tidak ada orang lain pada masa itu yang lebih rajin beribadah dan mengurus masjid selain daripada mereka berdua. 

 

Justeru, orang pertama yang mengetahui Maryam mengandung adalah Yusuf. Dia sangat hairan. Hendak menuduh Maryam berzina, tidak mungkin kerana dia sangat mengenali Maryam, seorang wanita yang solehah serta kuat beribadah. Lagipun, Maryam tidak pernah berjauhan daripadanya walaupun sebentar.

 

Hendak dikatakan Maryam tidak bersalah, kandungannya semakin ketara! Dia berfikir, bagaimana hendak memulakan bicara dengan Maryam? Suatu hari, dia memberanikan diri bertanya kepada Maryam:

 

“Ada sesuatu yang terbuku di hatiku tentang dirimu. Aku berusaha untuk menyembunyikannya, namun tidak berupaya. Maka aku fikir, berterus terang itu lebih menenangkan hatiku.”

 

“Katakanlah dengan perkataan yang baik,” sahut Maryam.

 

“Beritahu kepadaku wahai Maryam, adakah pokok akan tumbuh tanpa benih? Adakah pokok akan tumbuh subur tanpa disirami hujan? Dan adakah akan terjadi anak tanpa lelaki?”

 

Maryam menjawab: “Ya. Tidakkah engkau tahu bahawa Allah telah menumbuhkan tanaman-tanaman tanpa benih pada hari pertama Dia menciptakannya? Dan benih-benih itu hanya terhasil daripada tanaman yang Allah tumbuhkan pada permulaannya tanpa benih?”

 

“Tidakkah engkau tahu bahawa Allah telah menumbuhkan pokok tanpa disirami air hujan? Dan dengan kudrat-Nya, Allah menjadikan air hujan sebagai sumber kehidupan pokok selepas Dia menciptakan setiap satunya secara berasingan?”

 

“Atau adakah engkau berpendapat Allah tidak berkuasa untuk menumbuhkan pokok tanpa bergantung kepada pertolongan air? Kalaulah begitu, bermakna Allah tidak berkuasa menumbuhkannya!” 

 

Yusuf berkata: “Aku tidak berkata begitu! Sesungguhnya aku yakin Allah berkuasa untuk berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki dengan berkata “kun!” maka jadilah perkara yang Dia kehendaki itu.”

 

Maryam menyambung lagi: “Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menciptakan Adam dan isterinya Hawa tanpa melalui lelaki dan wanita?”

 

Mendengar penjelasan itu, terus hilang prasangka dan keraguan di hati Yusuf. Maka dia memikul semua tugas mengurus masjid yang sebelum ini dilakukannya bersama Maryam. Maryam semakin lemah kerana sarat mengandung ditambah lagi dengan tekanan perasaan yang dialaminya.

 

Apabila telah hampir waktu untuk melahirkan, Allah wahyukan kepada Maryam: “Keluarlah engkau dari daerah tempat tinggal kaummu agar mereka tidak membunuh puteramu!”

 

Maka Yusuf membawa Maryam pergi ke Mesir dengan menunggang himar miliknya. Sampai sahaja di Mesir, waktu melahirkan pun tiba. Maryam menuju ke pangkal pokok kurma. Beliau memeluknya dan melahirkan puteranya di situ. 

 

Pengajarannya, Allah memilih Maryam untuk menjadikan dirinya sebagai bahan bukti kekuasaan Allah dalam penciptaan, iaitu mencipta anak tanpa berlaku persenyawaan antara benih lelaki dan perempuan seperti yang biasa berlaku.

 

Namun, apa yang terpaksa diharungi oleh Maryam bukanlah suatu laluan yang mudah. Kalau kita fikirkan, Allah yang tentukan, kenapa dia mesti lalui segala keperitan begitu hingga ke tahap dia bercita-cita untuk mati?

 

“..dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!”

 

Itulah sebenarnya hakikat hidup yang tidak boleh lari daripada ujian. Setiap orang diuji sesuai dengan tahap keimanannya.

 

Daripada Saad bin Abi Waqqas RA, Nabi SAW pernah ditanya, “Siapakah dalam kalangan manusia yang paling berat ujiannya?” 

 

Baginda menjawab: “Para nabi, kemudian orang-orang soleh, kemudian orang yang paling menyerupai mereka, diikuti dengan orang yang paling menyerupai mereka. Diuji seseorang itu mengikut tahap agamanya. Jika pegangan agamanya kuat, ditambah ujian ke atasnya.”

 

“Jika pegangan agamanya lemah, diringankan ujian ke atasnya. Dan berterusanlah mukmin itu diuji sehingga akhirnya dia berjalan di atas muka bumi ini tanpa memikul sebarang dosa.” (Hadis Sahih Riwayat Ibnu Majah)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia