Deskripsi: Menerajui usaha keamanan sejagat, saling menghormati, sentiasa melibat urus dengan negara-negara lain secara membina bagi mewujudkan suasana setiakawan, saling membantu demi kemakmuran bersama.
وَإِمَّا تَخَافَنَّ مِن قَوۡمٍ خِيَانَةٗ فَٱنۢبِذۡ إِلَيۡهِمۡ عَلَىٰ سَوَآءٍۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡخَآئِنِينَ
“Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat daripada sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.” (Surah al-Anfal, Ayat 58)
وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal, Ayat 61)
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَتَبَيَّنُواْ وَلَا تَقُولُواْ لِمَنۡ أَلۡقَىٰٓ إِلَيۡكُمُ ٱلسَّلَٰمَ لَسۡتَ مُؤۡمِنٗا تَبۡتَغُونَ عَرَضَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فَعِندَ ٱللَّهِ مَغَانِمُ كَثِيرَةٞۚ كَذَٰلِكَ كُنتُم مِّن قَبۡلُ فَمَنَّ ٱللَّهُ عَلَيۡكُمۡ فَتَبَيَّنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua kalimah syahadah): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keislaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah syahadah), lalu Allah mengurniakan nikmat-Nya kepada kamu. Oleh itu, selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.” (Surah an-Nisaa’, Ayat 94)
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ
“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Surah al-Hajj, Ayat 39)
إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَهۡرٗا فِي كِتَٰبِ ٱللَّهِ يَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡهَآ أَرۡبَعَةٌ حُرُمٞۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُۚ فَلَا تَظۡلِمُواْ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمۡۚ وَقَٰتِلُواْ ٱلۡمُشۡرِكِينَ كَآفَّةٗ كَمَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ كَآفَّةٗۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (Surah at-Tawbah, Ayat 36)
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, Ayat 8)
إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ
“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, Ayat 9)
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ
“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.” (Surah al-Baqarah, Ayat 190)
فَإِنِ ٱنتَهَوۡاْ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ
“Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, Ayat 192)
لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, Ayat 256)
Negara Malaysia baru sebagai sebuah negara rahmah pasti akan terlibat sama dalam menerajui usaha-usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat lantaran usaha-usaha tersebut sejajar dengan prinsip hubungan antarabangsa yang didukung negara Malaysia baru sendiri, terutamanya ke arah jiran tetangganya terlebih dahulu, negara-negara ASEAN, saling menghormati, sentiasa melibat urus dengan negara-negara lain secara membina bagi mewujudkan suasana setiakawan, kerjasama, saling membantu dalam mengatasi kemelut atau bencana juga dalam memajukan semua negara ke tahap menjana kemakmuran bersama.
Islam mengunjurkan hubungan damai dengan seluruh umat manusia di atas muka bumi ini, hubungan dakwah menerusi pendekatan aman ke arah seluruh bangsa dan kumpulan manusia yang belum Islam, mengajak mereka bersama-sama mengimani Islam sebagai ad-din pilihan mereka sendiri yang akan memandu mereka ke arah kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.
Hubungan negara Islam dengan negara bukan Muslim kekal damai selagi negara tersebut tidak menceroboh atau menyerang negara Islam tersebut, menganiaya penduduk Muslim dalam negara mereka, memaksa mereka meninggalkan kepercayaan mereka terhadap Islam.
Hubungan antara negara yang damai membolehkan umat Islam melaksanakan dakwah ke arah bukan Muslim di dalam dan di luar negara menerusi pendekatan dakwah bil husna, dakwah bil hal, dakwah dengan contoh, dakwah secara lisan, bicara dengan bijaksana, nasihat yang baik dan dialog yang terbaik.
Dalam Islam tidak ada paksaan dalam beragama, manusia seluruhnya bebas memilih kepercayaan dan agamanya. Mereka tidak akan diperangi lantaran agamanya. Peperangan hanya tercetus bagi menangkis serangan musuh terhadap umat Islam atau negara Islam atau membela umat Islam yang teraniaya di negara-negara lain, sewaktu kebebasan beragama mereka telah dicabuli.
Dalam negara Islam sendiri, rakyat bukan Muslim yang terdiri daripada berbagai-bagai agama boleh hidup bersama- sama masyarakat Muslim secara aman sebagai warganegara yang memiliki hak-hak dan tanggungjawab yang sama, selama mana mereka tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang membahayakan kedudukan negara tersebut sebagai sebuah negara yang berdaulat sepenuhnya.
Hubungan antarabangsa yang damai, dunia yang aman akan membolehkan umat dakwah ke arah seluruh umat manusia dan meningkatkan diayahnya membangunkan satu dunia baru yang lebih baik, lebih mendekati cita rasa kemanusiaan sejagat, satu satu order baru yang saksama dan adil.
Sumber:
Artikel 12 Ciri Negara Rahmah | 2021
Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia
1. Kepemimpinan Negara yang Kompeten dan Berintegriti
2. Sistem Pemerintahan yang Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan
5. Masyarakat yang Berilmu, Berakhlak dan Penyayang
6. Institusi Keluarga yang Utuh
7. Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni
9. Agihan Kekayaan yang Saksama
11. Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang Terpelihara
© 2009 – 2024 Pertubuhan IKRAM Malaysia
Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia