Makna Kegembiraan Orang Berpuasa di Bulan Yang Mulia

Makna Kegembiraan Orang Berpuasa di Bulan Yang Mulia | IKRAM

Kedatangan Ramadan telah mewujudkan satu suasana yang unik dan indah. Setiap daripada kita mempunyai memori yang tersendiri tentang Ramadan, terutamanya ketika usia kecil semasa belajar berpuasa.

Kesukaran berpuasa yang telah berjaya diharungi ketika usia kecil telah menjadi plot cerita pembinaan diri yang sabar dan jiwa yang kuat hingga dewasa.

Walaupun Ramadan lebih logik digandingkan sebagai bulan kelaparan, namun ia adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kegembiraan.

Allah SWT telah menjanjikan kegembiraan bagi mereka yang berpuasa dengan ikhlas dan mengharap reda-Nya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan: kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kegembiraan ketika dia bertemu dengan Tuhannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengandungi makna yang mendalam tentang kegembiraan sejati yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa. Dua bentuk kegembiraan yang disebut dalam hadis ini mencerminkan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kegembiraan ketika berbuka

Salah satu kegembiraan yang dijanjikan kepada orang yang berpuasa ialah kegembiraan ketika berbuka. Setelah seharian menahan lapar dan dahaga, nikmatnya berbuka adalah satu anugerah yang tidak ternilai walaupun hanya dengan juadah yang biasa-biasa.

Hal ini bukan sahaja menyuntik kegembiraan fizikal, tetapi juga kegembiraan spiritual kerana orang yang berpuasa telah berjaya menyempurnakan ibadah yang diperintahkan oleh Allah Taala.

Kegembiraan ketika bertemu dengan Allah

Kegembiraan kedua yang lebih besar dan lebih bermakna ialah kegembiraan ketika bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran daripada Allah SWT akan merasai kebahagiaan yang hakiki apabila melihat hasil amalannya diterima oleh Allah SWT.

Ganjaran yang dijanjikan bagi orang yang berpuasa sangat besar dan tidak terbandingkan. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan memberi ganjarannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Gembira penting bagi manusia

Kegembiraan adalah perasaan emosi yang positif yang timbul daripada kepuasan, ketenangan dan kebahagiaan dalam diri seseorang. Ia boleh dicetuskan oleh pelbagai faktor seperti kejayaan, hubungan baik dengan orang lain, pengalaman spiritual serta nikmat dan rahmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Kita wajar mensyukuri nikmat Allah SWT yang satu ini kerana dengan pensyariatan puasa, emosi yang baik ini sedang diterapkan dalam diri secara tidak sedar selama sebulan.

Kegembiraan bukan sahaja memberikan ketenangan jiwa, tetapi juga memainkan peranan penting dalam kesihatan fizikal dan mental seseorang. 

Dari sudut saintifik, perasaan gembira boleh meningkatkan pengeluaran hormon dopamin, iaitu hormon yang berfungsi sebagai neurotransmitter dalam otak yang bertanggungjawab terhadap rasa keseronokan dan kepuasan.

Ketika seseorang berasa bahagia, tahap dopamin dalam otak meningkat, yang seterusnya membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan motivasi dan memberikan tenaga positif.

Dalam konteks Ramadan, kegembiraan yang dirasai ketika berbuka dan beribadah dapat membantu seseorang untuk terus bersemangat dalam menjalani hari-hari berpuasa dengan lebih tenang dan ceria.

Selain itu, dopamin juga memainkan peranan dalam meningkatkan daya ingatan, fokus dan produktiviti. Oleh itu, dengan mengamalkan sikap positif dan mencari kebahagiaan dalam ibadah, seseorang dapat menikmati Ramadan dengan lebih bermakna serta memperoleh manfaat kesihatan secara menyeluruh. 

Kekurangan dopamin boleh menyebabkan kemurungan, manakala tahap yang mencukupi membantu mencegahnya.

Selain itu, dopamin berperanan dalam meningkatkan hubungan sosial, menjadikan seseorang lebih ceria, penyayang dan mudah berinteraksi. Oleh itu, memastikan keseimbangan dopamin adalah penting untuk kesejahteraan mental dan emosi manusia.

Sebarkan kegembiraan Ramadan

Kegembiraan Ramadan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk dikongsi dengan orang lain. Memberi makanan kepada orang berbuka, bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan akan menambah lagi kebahagiaan dalam hidup. 

Memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah satu amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam. Ia bukan sahaja mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT, tetapi juga membawa kegembiraan kepada mereka yang menerimanya. Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad)

Dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa, kita dapat menggembirakan mereka, bukan sahaja golongan yang kurang berkemampuan, malah terbuka kepada semua ahli keluarga yang dekat dan jauh, sahabat dan rakan serta jiran tetangga.  

Selain itu, amalan ini juga menyemai kasih sayang dan perpaduan dalam masyarakat. Ia mengeratkan hubungan antara sesama Muslim serta menanamkan sifat empati dan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.

Kebahagiaan yang dirasai oleh penerima juga akan memberikan kesan positif kepada pemberi kerana perasaan memberi dan berkongsi adalah salah satu sumber kegembiraan yang meningkatkanl kesejahteraan mental. Kegembiraan yang sama juga akan dirasai oleh pemberi. Apalah erti pemberian tanpa penerimaan?

Apapun, kegembiraan yang sebenar adalah apabila orang yang berpuasa dapat meloloskan dirinya daripada segala dosa dan kesalahan lama, dengan keampunan tanpa had yang dijanjikan oleh Allah Taala.

Amalan ketaatan yang dibuat sepanjang Ramadan sedikit sebanyak akan melahirkan diri seseorang yang baharu ketika menjelang Aidilfitri yang dinanti-nanti, insya-Allah.

 

Dr Hamidah Mat
Dekan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia