Pepatah Arab menyebutkan, “Tiada kelazatan pada suatu makanan melainkan ia diperoleh dengan bersusah payah.”
Ia bermaksud sesuatu nikmat akan memuncak kelazatannya jika ia merupakan hasil daripada jerih payah dan kesungguhan. Itulah ganjaran yang akan diperoleh.
Aidilfitri umpama sebuah majlis graduasi daripada sebuah universiti bernama Ramadan. Ia diraikan dengan pengharaman berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda berakhirnya program di universiti yang telah kita duduki.
Lazimnya Aidilfitri disambut penuh kegembiraan dan keceriaan. Terpancar kepuasan atas kejayaan menyempurnakan pakej tarbiah Ramadan yang Allah SWT sediakan. Ia bagaikan majlis graduasi yang diraikan setelah ‘bergenangan air mata darah’ menempuhi setiap sesi pembelajaran, latihan, kajian, pembentangan dan peperiksaan.
Akhirnya, segulung ijazah diserahkan pada majlis penuh kesucian. Penghargaan atas tekad dan kesungguhan. Jerih payah juga pengorbanan dirasakan berbaloi apabila segulung ijazah berada dalam genggaman. Perasaan gemilang yang menjadi rahsia abadi setiap graduan.
Begitulah, kegembiraan dan keceriaan pada pagi Aidilfitri hanya akan bermakna jika ia merupakan ganjaran bagi sebuah pengorbanan juga kesungguhan dalam menempuh Universiti Ramadan.
Demikian harga jerih payah melengkapkan kesemua modul latihan yang memerlukan kesungguhan, tekad dan kesabaran. Lihat saja ganjaran yang dijanjikan-Nya. Namun, semakin besar ganjaran tiap sesuatu itu, semakin besar jugalah cabarannya.
Kuasai kesemua fakulti
Jika diperhatikan secara teliti, Ramadan umpama sebuah universiti yang di dalamnya terdapat beberapa fakulti utama. Sepanjang Ramadan, syariat berpuasa menyentuh beberapa aspek berbeza.
Aspek menahan lapar dan dahaga boleh diibaratkan sebagai sebuah Fakulti Pendidikan Jasmani. Puasa menuntut pelakunya menahan makan dan minum bermula terbit fajar sehingga tenggelam matahari.
Jasmani menjadi lemah. Kelemahan jasmani itu mendidik akan kesedaran hakikat diri yang daif dan tidak berupaya. Jasmani menjadi lemah membuktikan kebergantungan abadi kepada nikmat dan anugerah Allah SWT. Jasmani menjadi tidak kuat, mendidik akan keupayaan manusia yang amat terbatas. Ada limitasi dan tidak berkekalan.
Latihan saban tahun berpuasa nyata tidak pun menambah kekuatan dalam melawan rasa lapar. Maka muncullah persoalan, “Bagaimana supaya tidak lapar ketika berpuasa?”
Soalan itu sendiri menimbulkan kemusykilan kerana tujuan berpuasa adalah untuk merasai ‘lapar’. Ia adalah bentuk pendidikan berdasarkan pengalaman. Pengalaman merasai apa yang dirasai oleh insan yang bernasib malang. Insan yang tidak ada pilihan melainkan berlapar. Setiap hari, setiap bulan atau sepanjang tahun.
Fakulti Rohani, tindak balas kesan jasmani
Kelemahan jasmani boleh membuka pintu kekuatan rohani seseorang. Walaupun rohani adalah fakulti yang berasingan, namun kaitannya tidak dapat dinafikan.
Matlamat sebenar puasa bukanlah supaya semata-mata merasai ‘kelaparan.’ Akan tetapi matlamatnya adalah bagaimana keadaan jasmani memberi ruang untuk rohani diperkuat dan diunggulkan.
Seorang yang berpuasa mula mempersoalkan tindakannya berpuasa bilamana perasaan lapar menyerang. Tidak terhenti di situ, seorang yang lapar mula terkesan emosinya. Marah dan pergaduhan sangat mudah menyala ketika seseorang dalam keadaan lapar.
Maka Fakulti Pendidikan Rohani memberi penekanan pada latihan tahap kemampuan seseorang menguasai emosinya. Seseorang yang mampu mengawal emosinya dalam keadaan ekstrem sepatutnya tiada halangan dalam mengawal emosinya dalam keadaan yang tidak ekstrem ataupun dalam keadaan biasa.
Berkaitan hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda (maksudnya):
“Barang siapa tidak meninggalkan kata-kata ‘zur’ (dusta) dan beramal dengannya, maka Allah SWT tidak berhajat daripadanya untuk meninggalkan makanan dan minumannya.”
Difahami daripada hadis riwayat Imam Bukhari ini bahawa kesusahan dan kelaparan yang dialami oleh orang yang berpuasa hanya akan menjadi ganjaran sekiranya ia berjaya menjaga mulut dan anggota tubuh lainnya daripada tindakan yang tidak sepatutnya.
Menjaga tindakan adalah sesuatu yang sangat sukar dilakukan sekiranya seseorang dikuasai oleh emosi. Sebagai contoh, orang yang sedang memuncak kemarahannya menjadi ‘gila’ lalu menyesal akan tindakannya setelah kembali ‘waras.’
Pepatah Arab juga ada menyebutkan, “Awal kemarahan itu adalah sebuah kegilaan yang akan berakhir dengan penyesalan.” Maka menguasai rohani adalah salah satu bentuk takwa yang dilatih dalam Universiti Ramadan.
Fakulti Iman dan Amal
Universiti Ramadan mempunyai fakulti utama yang akan memberi makna khas puasa yang dilalui. Fakulti ini memberi sasaran kepada peningkatan iman dan amal. Fakulti ini melangkaui kesemua fakulti lain disebabkan fakulti-fakulti lain memberi tindak balas kepadanya.
Kita sedar iman dan amal sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Amal adalah produk iman. Tanpa iman, amal tidak dapat dihasilkan secara konsisten. Amal yang lahir tanpa iman bersifat rosak dan tiada nilai.
Maka mempunyai iman yang teguh dan amal yang berkualiti adalah “R&D” yang perlu dilakukan secara berterusan dalam Universiti Ramadan.
Allah SWT berfirman (maksudnya):
“(Masa yang diwajibkan berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi bukti keterangan yang jelas akan petunjuk dan menjadi al-furqan yakni pemisah (antara haq dan batil), Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa.”
Ayat 185 daripada surah al-Baqarah ini menjelaskan kepada kita tujuan pensyariatan Ramadan. Ia merupakan bentuk sambutan akan penurunan al-Quran dari sisi Allah SWT.
Al-Quran yang disambut sedemikian hebat dengan pensyariatan puasa ini adalah disebabkan keagungan al-Quran sebagai mukjizat, fungsi al-Quran sebagai petunjuk dan impak al-Quran kepada seseorang sebagai pemisah antara kebenaran dan kesesatan.
Fakulti Iman dan Amal memfokuskan kaedah bermuamalah dengan al-Quran. Keadaan seseorang boleh dilihat pada beberapa tahap berbeza selaras kedudukan al-Quran pada diri individu tersebut.
Tahap yang pertama ialah al-Quran sebagai petunjuk. Tahap ini minimum dalam berinteraksi dengan al-Quran kerana ia menjadi petunjuk bagi umat manusia.
Tahap ini membezakan seseorang itu Muslim ataupun kafir. Seorang kafir tidak menjadikan al-Quran sebagai petunjuk. Maka iman terbina dengan petunjuk al-Quran dan amal terhasil dengan kaedah yang ditetapkan al-Quran.
Tahap kedua, al-Quran dipelajari dan dihayati sehingga bukti-bukti kemukjizatan al-Quran terpancar. Kesan iman dan amal mula kelihatan dengan lebih jelas.
Proses penggandaan iman atas iman sedia ada berlaku sepertimana penggandaan amal atas amalan sedia ada berlaku.
Seseorang melalui perubahan sikap secara zahir mahupun batin. Penemuan demi penemuan dipelajari. Hikmah atas hikmah dirasai.
Umpama seseorang yang dahulu hanya mendengar cerita Nabi Musa a.s. membelah lautan kemudian mengalami perubahan menjadi seakan-akan menyaksikan sendiri cerita tersebut dengan matanya.
Tahap yang ketiga adalah apabila al-Quran telah menjadi al-furqan yang meresap ke dalam diri seseorang. Setiap urusannya bertepatan dengan al-Quran. Maka terpancar dari dirinya perbezaan ketara disebabkan cahaya al-Quran.
Di tahap ini, tiada apa pun boleh merampas iman dan mencabar amal. Suara sokongan jutaan orang tidak menyebabkan dirinya terpengaruh sepertimana ia tidak juga terintimidasi dengan kejian jutaan orang kerana dia sedar dan tahu al-Quran telah menjadi kayu ukur juga sandaran baginya.
Latihan jasmani dan rohani hakikatnya menjadi seakan perangsang atau penentu mod sehingga aktiviti interaksi dengan al-Quran dapat dilaksanakan dengan sebaiknya sehingga mencapai faedah yang banyak daripadanya.
Inilah juga yang mendasari perintah solat pada sepanjang malam-malam Ramadan. Waktu itu adalah sebaik-baik ruang untuk berinteraksi dengan al-Quran.
Merangkul anugerah Ramadan
Kita perlu menerapkan prinsip memulakan sesuatu dengan menetapkan pengakhiran yang diinginkan. Sekiranya kita mahu graduasi daripada Universiti Ramadan dalam keadaan yang fitrah dan sampai ke tahap yang lebih baik daripada sebelumnya, kita perlu melakukan persediaan.
Sekiranya kita mahu meraikan kejayaan yang bermakna pada pagi Syawal, maka wajarlah ia dirancang. Realitinya, kita tidak akan berubah ketika Ramadan berbanding sebelum atau sesudahnya melainkan sekiranya kita melakukan persediaan dan perancangan.
Tentukan sasaran yang jelas akan perubahan yang ingin kita capai. Kenal pasti fakulti mana yang kita ketinggalan dan memerlukan usaha tambahan dan fakulti mana yang perlu dipertahankan, dosa apa yang hendak ditamatkan riwayatnya dalam kehidupan kita, amalan baharu apa yang akan menjadi sebati dengan kita walau setelah berakhirnya Ramadan.
Semua itu memerlukan persediaan dan perancangan. Bersediakah kita?
Abdul Shahiid Shafruddin
Imam Masjid Kariah Lukut, Port Dickson