Jelajahi Indahnya Ramadan, Elak Puasa Jadi Sia-sia

Jelajahi Indahnya Ramadan, Elak Puasa Jadi Sia-sia | IKRAM

Ramadan ialah bulan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Setiap detik dan saat sepanjang bulan kemuliaan ini merupakan waktu dan hari yang terbaik di atas muka bumi ciptaan al-Khaliq.

Bulan ini penuh keberkatan dan merupakan bulan yang disebut sebagai permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya dilepaskan daripada azab api neraka.

Menjelajahi indahnya setiap detik waktu pada bulan Ramadan adalah pengalaman kerohanian yang amat bermakna bagi seluruh umat Islam yang beriman kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Untuk mencapai maksud menghayati keindahan Ramadan dan bukan sekadar berpuasa dengan menahan lapar juga dahaga, kita dituntut menambah ilmu berkaitan penghayatan ibadah Rukun Islam ini supaya ibadah puasa diterima oleh-Nya dan bukan menjadi puasa yang sia-sia.

Mengapakah puasa menjadi sia-sia?

Antaranya tidak menjaga lidah daripada menuturkan perkataan-perkataan yang melenyapkan pahala puasa, berkata dusta dan melakukan perbuatan-perbuatan yang keji. Dengan tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan keji ini, sudah pasti hilang seri dan indah Ramadan.

Sabda Rasulullah Sallallahualaihiwasallam:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

“Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam.” (HR Ibnu Majah, 1690, Hasan)

Seterusnya, daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

“Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (HR al-Bukhari, 1903)

Sesungguhnya Ramadan melatih diri seseorang itu membentuk akhlak dan sahsiah terpuji.  Bulan ini juga merupakan saat untuk kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. 

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ

”Wahai orang-orang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

Bulan Istimewa

Ramadan bukan sahaja bulan yang diwajibkan berpuasa, malah juga dikenali sebagai bulan al-Quran kerana turunnya wahyu pertama kepada baginda pada bulan barakah yang sangat istimewa ini.

Hiasilah keindahan Ramadan dengan memperbanyak bacaan ayat-ayat suci-Nya dan mentadabur isi al-Quran. Penghayatan mentadabur kalimah-kalimah cinta daripada-Nya akan menambah ilmu pengetahuan tentang Islam yang syumul.

Al-Quran sebagai petunjuk jalan kehidupan manusia kepada yang hak dan yang batil. Ini jelas termaktub dalam firman Allah surah al-Baqarah ayat 185:

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barang siapa antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu supaya kamu bersyukur.”

Keindahan Ramadan akan dapat dirasai dengan pelbagai lagi pengisian dan penghayatan ibadah yang menambah rasa kecintaan serta dekat kepada-Nya. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga pada siang hari, pelaksanaan solat tarawih merupakan ibadah tambahan yang meningkatkan lagi seri malam-malam Ramadan.

Galakan memperbanyak sedekah dan memberi sumbangan kepada yang memerlukan membuktikan Ramadan mengajar kita rasa kepedulian dan kasih sesama saudara.

Dengan menahan lapar dan dahaga selama berpuasa, kita dapat memahami dan menyelami penderitaan orang-orang yang kurang bernasib baik. Penghayatan berpuasa ini merangsang rasa empati dan menyuntik motivasi untuk kita bersama-sama menyumbang dan berkongsi rezeki.

Semoga pada Ramadan kali ini, puasa kita menatijahkan takwa, bukan hanya sekadar lapar dan dahaga. Ayuh kita usahakan dengan sesungguhnya agar ‘Piala Takwa’ itu berjaya kita raih.

Rashidah Othman
Guru Pendidikan Islam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia