KUALA LUMPUR – Seramai 68 orang ibu bapa diraikan dalam Majlis Graduasi IMPAK (Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak) anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) di bawah geran Yayasan Hasanah.
Majlis telah berlangsung di di Dewan Besar, Menara Tabung Haji, di sini pada Ahad melibatkan peserta dari tiga kawasan di Kuala Lumpur iaitu Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Setiawangsa dirasmikan oleh Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin.
Turut hadir dalam majlis ini tetamu jemputan Puan Anita Ahmad, Ketua Pembangunan Masyarakat, Yayasan Hasanah, Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh dan juga ketua lokaliti IMPAK yang terlibat.
“Kesemua 68 peserta telah berjaya mengikuti kesemua modul IMPAK dengan penuh komited dan berdedikasi sehingga layak bergraduasi dan hampir 70 orang anak-anak peringkat sekolah rendah turut mendapat manfaat melalui kemahiran yang diperoleh oleh ibu bapa mereka daripada IMPAK ini,” menurut wakil IMPAK.
Tambahnya, bantuan dan sokongan ibu bapa di rumah merupakan antara faktor yang penting dalam membantu prestasi anak di sekolah menurut beberapa kajian yang telah dijalankan.
“Semoga ilmu yang ditimba akan diaplikasikan oleh para graduan dalam mengukuhkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak, lantas menjadi asbab kecemerlangan akademik dan sahsiah anak pada masa akan datang.”
IMPAK merupakan projek sosial yang bertujuan membantu ibu bapa memahami peranan mereka dan pengaruhnya ke atas pembelajaran anak-anak.
Selain itu, ia mengajar ibu bapa teknik dan cara yang sesuai dalam mengatasi masalah pembelajaran anak-anak dan meningkatkan sahsiah mereka.
Info lanjut IMPAK, sila layari di sini.