Lanjutan PKPP: Realiti yang dihadapi rakyat

Keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen pada 28 Julai lalu memberi impak yang positif juga sebaliknya kepada rakyat.

 

Seorang peniaga, Norazila Rusman yang menjual pakaian dan barangan wanita di pasar-pasar malam sekitar Mantin, Negeri Sembilan berkata, PKPP yang diteruskan ini sangat memberi kesan kepada diri mereka sekeluarga.

 

“Apa tidaknya, kami tidak boleh berniaga seperti biasa. Contohnya ada pasar pagi yang mengadakan sistem giliran. Selain itu, pasar pun kurang pengunjung. Tidak seperti sebelum PKP, sangat ramai apabila tibanya hujung bulan.”

 

Menurutnya, situasi yang terjadi ini memang menguji kehidupan keluarganya kerana sumber pendapatan mereka terjejas.

 

“Ya bukan mudah. Namun kami tahu virus ini tetap bahaya. Moga ia segera berlalu dari negara kita,” ujarnya.

 

Ternyata situasi yang terjadi ini tidak dapat dielakkan sesiapa pun. Betapa pentingnya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam keadaan negara dan dunia mengalami pandemik ini.

 

Pelbagai komentar dan pandangan melalui laman muka buku dan situasinya tidak lari jauh dengan pandangan masyarakat yang ditemui. Jika tidak positif, tentu negatif.

 

Lain pula pandangan En Fendy Zaini yang menzahirkan pendapatnya agar norma baharu diteruskan.

 

“Kita boleh lalui kehidupan harian seperti biasa dengan keadaan norma baharu serta mematuhi SOP yang disarankan iaitu jaga jarak fizikal, pakai pelitup muka dan sering membasuh tangan, bukannya PM umumkan PKP,” balasnya sambil tersenyum.

 

Dalam pada itu, seorang yang menggunakan nama Purnama Merindu di Facebooknya berkata, jangan kata PKP, tempat kerjanya sampai sekarang masih belum buka lagi.

 

“Nak cari kerja bukan senang. Poket dah makin menipis,” balasnya sambil meletakkan emoticon menangis.

 

Bukan mudah melihat situasi yang dihadapi rakyat ketika ini. Namun, hal itu perlu didepani dengan sewajarnya agar ia tidak mendatangkan stres atau menjadi bebanan yang besar kepada masyarakat.

 

Kata Cahaya Perhiasan pula di Facebooknya, peraturan (SOP) ini dibuat untuk mencegah penyebaran virus ini.

 

“Tentulah perkara ini telah diteliti oleh kerajaan. Moga segala ini cepat berakhirnya daripada apa yang disasarkan.”

 

Bagi menangani kes COVID di negara ini, ia perlu kerjasama daripada semua pihak, bukan di bahu pihak kerajaan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja.

 

Menguatkuasakan undang-undang adalah salah satu jalan menyedarkan rakyat bahawa segala arahan dan SOP COVID-19 perlu dipatuhi bagi memutuskan jangkitan pandemik ini.

 

Namun, tetap ada segelintir masyarakat merasa gusar dengan lanjutan PKPP ini. Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan nasib rakyat yang terjejas pekerjaannya dan yang mengalami tekanan dengan kos sara hidup yang diperlukan tetapi kewangan yang ada juga sudah hampir habis.

 

Bagi mereka yang bekerja seperti biasa dan tidak melalui situasi yang menyesakkan, mungkin boleh merasa selesa dengan apa pun yang dikuatkuasakan kerajaan, namun tidak bagi yang merasakan itu satu keadaan yang sangat menyukarkan.

 

Berlainan bagi Izman yang berkongsi pengalamannya mengenai PKP. Menurutnya, bermula pertengahan PKP lalu, beliau dan keluarga mendapat permintaan pesanan makanan yang tinggi.

 

“Saya dan isteri membuat suka-suka sahaja pada mulanya. Tak sangka tempahan setiap hari meningkat. Maka, kami teruskanlah sehingga kini. Alhamdulillah, ia menjadi sumber pendapatan kami sekeluarga,” ujarnya yang menjual makanan seperti nasi ayam, kuih muih dan kek.

 

Beliau baru saja memulakan perniagaan tersebut dengan membuat hebahan menerusi Facebook dan medium sosial lain dan menghantar pesanan setiap petang setelah diberhentikan kerja pada April lalu.

 

“Memang pada awalnya tidak mudah. Kita kena cuba jugalah untuk teruskan kehidupan ini. Memang ada cabarannya, apalagi apabila hujan. Tapi kami kena teruskanlah.”

 

Dengan keadaan yang melanda dunia ini, ada yang telah selesa dengan situasi norma baharu yang dijalani apabila kerajaan mengumumkan PKP pada 18 Mac lalu, duduk dan bekerja di rumah tanpa boleh melakukan pergerakan yang bebas.

 

Sebagaimana kata PM bahawa rakyat Malaysia semakin kreatif semasa PKP, begitulah yang dapat disaksikan pada satu sisi yang lain.

 

Pelbagai ‘agenda’ dibuat seisi keluarga yang mana sebelum ini ia tidak dapat dilakukan bersama. Tetapi kerana PKP, ia boleh dilakukan antaranya solat jemaah, tadarus, berkebun di sekitar rumah, membaca, memasak dan makan bersama keluarga.

 

Jika situasi itu tidak terjadi, realitinya ibu bapa masing-masing sibuk bekerja setiap hari, keluar pagi dan pulang malam. Apabila tiba di rumah, anak-anak sudah lena dan diri mereka sudah penat, maka masa yang ada itu adalah sangat terhad.

 

Berikutan PKP yang dilaksanakan, ia memberikan kesan yang sangat mendalam kepada ibu bapa mahupun anak-anak .

 

Melihat komentar yang diberikan Zaki Muhammad, beliau menzahirkan pandangan agar moratorium dilanjutkan sehingga 31 Disember secara automatik. Namun, ia tidak semudah yang dikatakan itu.

 

Pihak kerajaan hanya memberikan kelonggaran kepada mereka yang memohon sahaja. Mereka  yang layak memohon lanjutan moratorium boleh berbuat demikian dengan menghubungi bank masing-masing mulai 7 Ogos lalu.

 

Menurut Muhyiddin, langkah ini dijangka akan memanfaatkan tiga juta individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

“Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya,” kata beliau.

 

Keutamaan pemberian lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu akan diberi kepada individu kehilangan pekerjaan dan mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik berkenaan.

 

Oleh yang demikian, lanjutan PKPP sehingga 31 Disember adalah langkah yang rasional demi kemaslahatan rakyat. Tambahan pula, kes-kes positif COVID-19 semakin meningkat dengan kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah dan Sabah.

 

Perkembangan ini perlu dipandang serius dengan pelbagai langkah efektif agar pandemik yang dialami di seluruh dunia ini mampu ditangani sebaik-baiknya.

 

Kita sebagai rakyat Malaysia, teruskan mengikut arahan dan SOP yang telah ditetapkan kerajaan dan berdoalah kepada Allah SWT agar diberikan kesihatan dan keselamatan, serta doakan agar COVID-19 ini segera terhapus dan kita semua dapat menjalani kehidupan seperti sebelumnya, insya-Allah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia