Landskap kesungguhan

Namun tidak dapat dinafikan, bagi mereka yang menempatkan diri dalam kalangan orang-orang yang menghayati Ramadan, mereka akan dapat merasakan bahawa Ramadan seolah-olah menaungi kehidupan dengan sayap rahmat dan pintu-pintu amalan kebaikan. Rasulullah ﷺ telah bersabda:

 

إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ، وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

“Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (HR Bukhari, No. 1899)

 

Pembelengguan syaitan sebagaimana yang diterangkan dalam hadis tersebut merupakan satu pernyataan simbolik bahawa manusia akan diberikan satu fasa untuk mencari dirinya sendiri apabila berpeluang direhatkan daripada ‘penasihat’ dalam membuat pilihan.

 

Syaitan pula, seolah-olah diberikan peluang meloloskan diri daripada menjadi alasan dan justifikasi manusia apabila berbuat salah. Namun, menyalahkan syaitan dalam membuat pilihan merupakan satu tindakan yang tidak wajar!

 

Manakan layak, makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan membuat pertimbangan, menyalahkan syaitan yang hanya melakukan apa yang telah diberikan ‘lesen’ oleh Allah Taala.

 

 قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ – إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

 

Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka.” (Saad:  82-83)

 

Dalam Surah Saad tersebut, Allah SWT telah menerangkan tentang peranan syaitan dalam ekosistem penciptaan makhluknya, juga pada ayat selepas itu, Allah Taala menjanjikan juga bahawa orang-orang yang ikhlas dan diselamatkan oleh Allah akan bebas daripada pengaruh serta hasutan syaitan tersebut.

 

Makanya, yang menjadi kunci kepada pilihan manusia ialah kekuatan akal yang dikurniakan Allah Taala dan keikhlasan yang ada pada dirinya. Keikhlasan ialah sifat luhur yang ada dalam diri seseorang yang akan menggerakkannya untuk bersungguh-sungguh dalam pemikiran dan tindakan.

 

Ikhlas dan takwa amat berkait rapat. Takwa yang dipupuk menerusi ibadah puasa mampu melahirkan seorang Muslim yang ikhlas, bukan sahaja dalam hubungannya dengan Sang Pencipta, malah dalam hubungannya dengan sesama manusia.

 

Lalu, Ramadan datang (dengan syaitan direhatkan) untuk memberi peluang kepada manusia berlatih serta memilih berdasarkan kepada akal dan imannya. Sepanjang Ramadan, tarikan kepada pilihan untuk melakukan kebaikan dihidangkan dengan janji gandaan pahala dan kempunan tanpa sempadan.

 

Boleh saja Ramadan hadir dengan suruhan untuk beribadah, tetapi pakej yang disediakan oleh Allah Yang Maha Pengasih merupakan peluang yang tiada tolok bandingnya. Semuanya untuk kebaikan manusia itu sendiri, melatih diri, mencari momentum untuk melonjakkan kualiti keimanan dan prestasi sebagai hamba.

 

Latihan melakukan kebaikan, melunaskan perkara-perkara yang wajib, menghiasi Ramadan dengan amalan sunat, menyantuni insan-insan sekeliling dengan rahmat, semuanya akan membekas dalam jiwa-jiwa yang bersedia untuk berubah.

 

Menerusi bingkai ibadah Ramadan juga, Rasulullah ﷺ telah menunjukkan bahawa manusia mesti mempunyai sikap bersungguh-sungguh dalam tindakannya. Contoh yang diberikan dalam konteks ibadah umpamanya telah dirakamkan dalam sebuah hadis iaitu:

 

Sayyidatina Aisyah RA meriwayatkan perlakuan Nabi ﷺ ketika tiba 10 malam terakhir. Beliau berkata, yang bermaksud:

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

“Nabi ﷺ apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” (HR Bukhari, No. 2024)

 

Kesungguhan yang digambarkan dalam hadis ini seharusnya menjadi inspirasi kepada kita sebagai umat Baginda ﷺ. Kesungguhan yang dipupuk semasa Ramadan sewajarnya meninggalkan bekas dalam jiwa dan sikap seorang Muslim apabila Ramadan berlalu pergi.

 

Kesungguhan ini sepatutnya ditanam dalam-dalam dan menjadi jati diri seorang Muslim. Sikap sambil lewa, tidak bersungguh-sungguh perlu dibuang jauh-jauh. Jika kita lihat pada hari ini, sikap sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh menjadi punca kepada pelbagai masalah samada di peringkat peribadi mahupun institusi.

 

Kita boleh lihat bagaimana sebuah keluarga yang mempunyai ketua dan ahlinya yang bersungguh-sungguh. Dengan kesungguhan, sebarang kesukaran akan dapat diatasi dengan baik.

 

Kita juga boleh membayangkan bagaimana sebuah organisasi yang mempunyai pemimpin yang bersungguh-sungguh boleh menggerakkan organisasinya laju dan maju ke hadapan.

 

Kita juga boleh membayangkan bagaimanakah keadaan sebuah negara yang mempunyai pemimpin yang bersungguh-sungguh berusaha demi kemaslahatan rakyat.

 

Merujuk kepada elemen yang mendasari kehidupan seorang Muslim, persepsi serta minda seorang Muslim mestilah benar dan betul. Jika dianalisis hukum-hukum dan peraturan yang telah digariskan oleh syarak, kita dapat mengenal pasti aura kesungguhan dan keikhlasan yang ingin diterapkan merentasi hukum-hukum tersebut.

 

Seorang Muslim tidak perlu tunggu menjadi kaya untuk bersedekah, malah Allah menjanjikan keberkatan pada rezeki yang disedekahkan walaupun sedikit. Selain itu juga, seorang Muslim tidak perlu tunggu untuk cukup ilmu untuk berdakwah, tetapi Rasulullah ﷺ telah menyarankan untuk sampaikan Islam walaupun dengan satu ayat.

 

Begitu juga, tidak perlu sempurna untuk mendirikan rumah tangga dan melahirkan zuriat, tetapi cukuplah dengan adanya agama serta persediaan fizikal yang memadai. Seorang Muslim juga tidak perlu menunggu dosa untuk memohon keampunan, malah Islam mengajar bahawa istighfar itu adalah pembuka pintu rezeki dan keringanan daripada kesusahan.

 

Bukankah itu semua landskap kesungguhan yang telah diatur oleh Maha Pencipta?

 

Dr Hamidah Mat

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia