Label Musuh Allah: Muslim Perlu Bersikap Adil

Label Musuh Allah: Muslim Perlu Bersikap Adil | IKRAM

Politik dan Islam merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan oleh kehidupan. Kerana politik, manusia akan memperolehi kuasa. 

Dengan kuasa yang ada melalui berpolitik, ia merupakan alat atau instrumen bagi menegakkan prinsip Islam, bukan sebaliknya menjadikan Islam sebagai alat atau instrumen untuk memenuhi citarasa berpolitik.

Oleh itu, kita harus lebih bijak untuk membezakan antara berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani dan berpegang dengan Islam sebagai alat meraih keuntungan tertentu.

Golongan memperdagangkan agama bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan sejak sekian lama ia menjadi cabaran utama untuk menentang golongan pelampau ini.

Sejarah Khawarij

Sejarah berdarah umat Islam pernah mencatatkan kewujudan kelompok Khawarij yang telah lahir daripada benih permusuhan dan kebencian dengan pihak pemerintah yang sewaktu itu umat Islam dipimpin khalifah Islam keempat, Saidina Ali bin Abi Talib. 

Permusuhan dan kebencian ini membengkak dan membarah ke dalam diri mereka sehingga menjadikan mereka ekstremis dengan bermudah-mudah mengeluarkan seseorang daripada agama Islam.

Di bibir mulut mereka, ayat al-Quran dan hadis menjadi mainan tunggangan, sehingga kalam mereka yang terkenal, “Tiada hukum selain hukum Allah” telah menjadi fatwa halal darah sesama Islam untuk dibunuh.

Fatwa ekstremis ini secara tidak langsung menyuntik doktrin sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah pada sisi faham Khawarij, maka telah kafirlah dan menjadi musuh Allah.

Hanya dengan semudah itu sifir mereka bagi mengeluarkan umat manusia daripada agama Islam, sekali gus menjadikan mereka yang dikeluarkan ini sebagai musuh Allah. 

Walhal, berbeza sudut pandang politik tidak bermakna telah berbeza pegangan akidah dan tauhid. Inilah barah yang bahaya, bukan sahaja mengancam nyawa sesama Islam, malah boleh lebih ganas daripada itu: membunuh sesiapa sahaja yang tidak mentauhidkan Allah.

Demikian sejarah berdarah yang semestinya tidak mahu kita ulangi. Meskipun kelompok Khawarij ini sudah tidak kelihatan lagi, namun pada sudut pemahaman dan doktrin ekstremis, mereka ini masih wujud dalam kalangan umat manusia yang mendakwa mereka berjuang atas nama Islam.

Dalam berpolitik, tidak ada satu pun jenama parti atau institusi khusus yang disyariatkan oleh Allah untuk membawa perjuangan Islam. Apabila bercakap soal perjuangan agama Islam, ia adalah milik semua orang.

Lihat Pada Tindakan

Perjuangan menegakkan agama Allah milik semua yang menjunjung dan meninggikan titah perintah Allah. Jenama kepartian boleh jadi sekadar hiasan, tetapi yang lebih mustahak adalah pada tindakan dan perbuatan.

Sekiranya berjuang atas nama agama sekalipun, namun dengan tindakan dan perbuatan yang ekstremis, mulut celupar dan suka bercakap tidak senonoh, menabur fitnah dan menyemai api perkauman, ia langsung tidak mewakili intipati prinsip dalam perjuangan Islam sebenar. Demikian itu bukanlah yang dikehendaki oleh Islam.

Oleh itu, persempadanan berpolitik harus jelas agar kita tidak melebihi batas mengambil tugas Tuhan sehingga menghukum syurga dan neraka kerana kepartian dan melabel mereka yang tidak sama dengan kita dengan labelan berbaur permusuhan agama pada seseorang hanya kerana ijtihad politiknya berbeza.

Meski politik itu sebahagian daripada Islam, namun ‘menunggang’ agama sebagai alat memenuhi matlamat politik adalah sesuatu yang dangkal lagi hina.

Sejak sekian lama kita dihidangkan tentang kelompok Syiah yang sememangnya bermotifkan politik pada mulanya, tetapi akhirnya telah berubah wajah menjadi wadah agama pula demi memuaskan nafsu serakah membolot kuasa dan harta.

Kejelikan berpolitik seperti sedemikian telah membuatkan Badiuzzaman Said al-Nursi berkata, “Aku memohon perlindungan daripada syaitan dan siasah (politik).”

Adil Terhadap Musuh

Musuh politik adalah dalam kerangka ketidaksetujuan kita terhadap sesuatu dasar atau polisi pentadbiran dan tata kelola yang dibawa oleh sesebuah parti.

Selain kita disuruh untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam berpolitik, kita juga dituntut untuk berlaku adil terhadap musuh sekalipun musuh politik kita itu adalah orang bukan Islam.

Ini sepertimana yang dinyatakan dalam al-Quran menerusi Surah al-Maidah ayat 8, firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penegak (kebenaran) kerana ALLAH (dan) saksi-saksi (yang bertindak) dengan adil. Janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlakulah adil kerana (adil) itu lebih dekat kepada takwa. Bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Namun begitu, persoalan yang lebih mendalam untuk direnungi bersama ialah, bagaimana untuk bersikap adil sedangkan dalam diri kita tertanam sikap benci dan melabel pihak yang berbeza dengan labelan yang tidak sepatutnya?

Harus diingatkan bahwa terkadang kita beranggapan musuh kita adalah pihak luar yang berbeza parti, tetapi musuh yang terbesar adalah berada di dalam diri kita sendiri.

Kita perlu bertarung dengan diri sendiri untuk melawan sikap ketaasuban tidak berasas, menentang kelancaran lidah sendiri yang kerjanya memfitnah sana-sini, harus lawan diri sendiri menolak budaya ekstremis dan sebagainya.

Jika diri sendiri pun tewas kepada semua anasir ini, maka bagaimana pula untuk bersikap adil terhadap orang lain terutamanya pada musuh politik kita?

Label Musuh Allah

Musuh Allah adalah mereka yang ingkar kepada syariat Allah. Janganlah pula kerana kebencian, kita mengheret musuh politik pula menjadi musuh Allah seolah-olah mereka itu tidak mahu mengikuti perintah Allah.

Untuk menghukum pihak lawan sebagai musuh Allah adalah sesuatu yang luar biasa. Apatah lagi ungkapan seperti itu tidak layak diungkapkan oleh mereka yang menjadi saf pertama kepercayaan umat.

Dukacita andai budaya label-melabel seperti ini masih mekar dalam diri manusia. Jelas sekali, kita bukan sahaja sudah merampas tugas Tuhan, bahkan secara tidak langsung, kita telah mewarisi sifat kesombongan syaitan yang merasai dirinya mulia berbanding yang lain.

Usahlah berasa perjuangan Islam ini milik eksklusif kita sahaja. Walhal, perjuangan menegakkan Islam ini adalah tanggungjawab umat Islam keseluruhannya, biarpun tidak berparti atas jenama Islam.

Oleh itu, muhasabah kepada semua para pendukung parti, agar kita benar-benar mengangkat syiar ini bukan semata-mata untuk meraih keuntungan kepartian. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Pendakwah bebas

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia