“Tentunya kemenangan yang berlaku ini kita raikan. Namun, kemenangan dan keadaan sekarang ini perlu dibina, diperkukuhkan,” jelas beliau ketika berucap dalam Amanat Presiden pertama pasca PRU14.
Menurutnya, situasi kini membuatkan kita perlu sentiasa peka, sentiasa berjaga-jaga kerana boleh jadi ada usaha untuk menggagalkan apa yang telah digapai ini.
“Kita hendaklah meletakkan diri kita pada satu kedudukan memikul amanah dan tanggungjawab untuk kita sama-sama memacu perubahan ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Parid berkata negara telah berjaya membangunkan kebangkitan rakyat melalui PRU14 baru-baru ini.
“Maka seterusnya adalah memikul amanah rakyat setelah pilihan raya. Dan inilah mandat yang diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bersama kepimpinan Pakatan Harapan.”
Sebagaimana Pakatan Harapan setuju meletakkan Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk mengangkat agenda islah, dan itulah terjadi.
“Kita dapat lihat Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan pelbagai pendekatan bagi mewujudkan pembersihan untuk memulihkan negara ini dan kita seharusnya memberikan sokongan kepada beliau,” tegas Dr Parid.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan agar para pemimpin tetap menepati kehendak rakyat yang inginkan perubahan.
Dalam waktu yang sama, kata Dr Parid lagi, IKRAM perlu dikuatkan dan memastikan aktiviti-aktiviti dakwahnya semakin meluas.
“Kita juga perlu meluaskan dakwah. Luaskan engagement dengan masyarakat umum, agar hingga akhirnya mereka semua menerima Islam, insya-Allah,” seru beliau lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung IKRAM, Haji Nahar Md Nor turut menyeru para kakitangan IKRAM supaya sentiasa bersedia untuk bekerja menggerakkan era baru negara pasca PRU14.
“Kita sudah memasuki era baru, semestinya cara bekerja kita juga akan berubah.”
Oleh itu, beliau turut menggesa supaya ahli-ahli IKRAM terus melakukan kerjasama dengan pelbagai pihak supaya agenda dakwah semakin rancak.