Krisis Air di Malaysia: Antara Rahmat dan Ujian

Krisis Air di Malaysia: Antara Rahmat dan Ujian | IKRAM

Air merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai yang menjadi asas kepada kehidupan setiap makhluk di muka bumi. 

Namun, di sebalik kepentingannya, manusia sering diuji dengan pelbagai cabaran berkaitan air. Di Malaysia sahaja, isu air bagaikan satu kitaran berulang yang dilihat seperti tiada kesudahannya.

Lihat sahaja ketika manusia berhadapan dengan kemarau, catuan air terpaksa dilakukan. Hidup menjadi tidak normal dan meletihkan, membuktikan tergugatnya sistem kehidupan apabila berlaku krisis bekalan air.

Pada musim tengkujuh pula, kita diuji dengan kejadian banjir yang meragut nyawa dan harta benda. Dalam keadaan ini, kita harus sedar, mengingati dan merenung firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan air dari langit dengan sukatan yang tertentu, lalu Kami simpankan dia di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.”  (Surah al-Mukminun ayat 18)

Ayat ini jelas menggambarkan betapa air bukan sahaja rahmat, namun juga ujian kepada manusia.

Menguruskan air dengan bijak bukan sekadar untuk memenuhi keperluan fizikal, tetapi juga amanah yang dipertanggungjawabkan kepada manusia.

Daripada cuaca panas, penyusutan empangan air, catuan air, ketiadaan air yang memeritkan sehinggalah kepada banjir besar yang melumpuhkan, kisah air di Malaysia menjadi satu refleksi bagaimana manusia berinteraksi dengan nikmat Tuhan ini.

Justeru, artikel ini mengupas secara ringkas perjalanan air daripada rahmat sehingga menjadi ujian serta pengajaran yang boleh diambil dari sudut pandang perspektif Islam dalam kehidupan seharian.

Air sebagai rahmat

Air merupakan sumber kehidupan yang tiada galang gantinya. Setiap titis membawa manfaat dan rahmat, menyuburkan tanah, menyegarkan tumbuhan, menjadi nadi keperluan asas kehidupan manusia, haiwan serta tumbuhan.

Dalam konteks ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dialah yang menurunkan hujan dari langit untuk kamu, sebahagian menjadi minuman dan sebahagian (lagi) menyuburkan tumbuhan, yang padanya kamu menggembalakan ternakan kamu.” (Surah an-Nahl ayat 10)

Ayat ini jelas mengingatkan kita bahawa air sebagai rahmat yang membawa rezeki dalam pelbagai bentuk, daripada makanan yang hidup tumbuh subur hingga kepada sumber ekonomi untuk masyarakat seperti petani juga penternak.

Namun, di sebalik rahmat ini, timbul persoalan penting, iaitu bagaimana kita sebagai manusia memanfaatkan dan menghargai anugerah Tuhan ini? Siaran berita dan akhbar melaporkan bahawa masih terdapat kejadian pencemaran sungai dan pembaziran air.

Ia menunjukkan bahawa manusia sering terlupa atau sengaja melupakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, iaitu menjaga, memelihara dan memanfaatkan alam sekitar termasuklah sumber air.

Nikmat air ialah satu amanah kerana segala yang dimiliki bukanlah milik mutlak, tetapi pinjaman daripada Allah SWT. Pengabaian tanggungjawab dalam menguruskan sumber ini boleh menatijahkan cabaran besar kepada manusia.

Air sebagai ujian 

Di Malaysia, masalah air sering berada dalam dua isu yang dilihat ekstrem iaitu kekurangan atau berlebihan. Ketika cuaca panas yang membawa kepada kemarau, manusia berdepan dengan krisis catuan air yang menjejaskan kehidupan harian, terutamanya di kawasan-kawasan tertentu yang berhadapan dengan masalah bekalan air.

Malah, cuaca panas berpanjangan juga dilihat memberi kesan besar kepada sektor pertanian sehingga menjadi antara faktor penyumbang kepada kerugian buat petani yang bergantung sepenuhnya pada air sebagai sumber utama rezeki mereka.

Sebaliknya, musim tengkujuh membawa ujian lain. Hujan lebat yang berterusan menyebabkan banjir besar seperti yang sering melanda negeri-negeri di Pantai Timur.

Banjir bukan sahaja meragut harta benda, malah juga nyawa, serta memaksa ribuan penduduk untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara. Situasi ini mengingatkan kita akan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Kami menghantar angin membawa awan yang berat muatannya, kemudian Kami turunkan dari awan itu hujan mencurah-curah.” (Surah al-Furqan ayat 48)

Hujan yang membawa rahmat pada awalnya berupaya menjadi ujian besar jika tiada pengurusan yang baik.

Sehingga artikel ini ditulis (Disember 2024), data Pusat Kawalan Bencana Negara menunjukkan kira-kira 85,000 mangsa banjir di tujuh buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Perak dan Pahang masih berada di sekolah, dewan komuniti dan pusat pemindahan selepas dipindahkan dari rumah mereka akibat banjir.

Jumlah ini dilihat semakin menurun daripada kira-kira 150,000 orang mangsa yang dipindahkan sebelum itu.

Persoalannya di sini adalah, sampai bilakah mangsa ini perlu berhadapan dengan situasi ini pada saban tahun? Malah isu banjir kilat juga sering berlaku di beberapa bandar besar ketika hujan lebat yang turun secara berterusan sehingga beberapa jam.

Krisis bekalan air 

Di sebalik kisah cuaca panas berpanjangan dan banjir, terdapat pula kisah lain iaitu isu krisis bekalan air yang berlaku akibat pengurusan yang tidak efisien, pencemaran sumber air, air tidak bersih, air tidak terawat dan infrastruktur yang tidak mencukupi.

Contohnya seperti gangguan bekalan air di kawasan bandar besar menjadi cabaran besar kepada pihak berautoriti yang pastinya pula menjejaskan kualiti hidup rakyat.

Malaysia menghadapi pelbagai isu berkaitan bekalan air sepanjang 2023 dan 2024. Antara masalahnya ialah dapatan air bersih di kawasan bandar dan luar bandar. Justeru, pihak berkuasa menyasarkan liputan air bersih ini mencapai 97.1 peratus di kawasan bandar dan luar bandar.

Pada tahun 2025, pihak berkuasa menyasarkan liputan air bersih ini akan meningkat kepada 98 peratus. Untuk menangani isu ini, Belanjawan 2024 memperuntukkan RM1.1 bilion bagi memastikan bekalan air bersih, khususnya di kawasan seperti Kelantan, Sabah dan Labuan dapat diatasi. 

Pada Januari 2024, isu gangguan bekalan air yang berlaku di Pulau Pinang telah menyebabkan 590,000 pengguna terjejas akibat kerja-kerja penyelenggaraan.

Kajian yang dilakukan pada bulan Mei 2023 mendapati bahawa Malaysia berpotensi berhadapan dengan krisis sumber air menjelang tahun 2050 jika kawasan tadahan tidak dilindungi, manakala perubahan iklim yang berlaku pada 2024 dilihat mengurangkan paras air di tasik-tasik utama.

Hal ini menunjukkan bahawa, isu air bukan semata-mata fenomena semula jadi, namun juga melibatkan peranan manusia dalam menguruskan sumber ini dengan bijak

Air dan cabaran masa depan 

Di tengah-tengah perubahan iklim global, Malaysia  juga tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran yang semakin kompleks berkaitan dengan air. Cuaca panas berpanjangan dan penurunan hujan lebat yang tidak menentu sering terjadi.

Dalam situasi ini, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mewujudkan sistem pengurusan air yang mampan dengan segera. 

Pihak lain seperti NGO dan masyarakat pula perlu bekerjasama bagi memastikan sumber air ini diurus dengan cekap, daripada pembinaan empangan sehinggalah kepada usaha pemuliharaan sungai.

Teknologi perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu air ini. Sistem tadahan air hujan, rawatan air untuk penggunaan semula dan pemantauan sumber air menggunakan teknologi pintar mampu membantu mengurangkan tekanan pada sumber air semula jadi. 

Namun, usaha ini hanya akan berjaya jika masyarakat turut memainkan peranan dalam menjaga sumber air dengan lebih bertanggungjawab.

Air bukan sekadar elemen fizikal dalam kehidupan, namun simbol rahmat dan ujian yang Allah kurniakan kepada manusia. Firman Allah SWT (maksudnya):

“Bagaimana fikiran kamu sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi); maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?” (Surah al-Mulk ayat 30)

Ayat ini mengingatkan manusia bahawa air adalah anugerah yang perlu disyukuri dan diuruskan dengan penuh amanah.

 

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia