Bajet 2022 yang dibentangkan pada 29 Oktober merupakan satu komponen penting dalam proses memulihkan negara yang amat terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak awal tahun 2020.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melihat bajet sebagai salah satu dari proses utama untuk membangunkan negara. IKRAM berpandangan bajet negara hendaklah dilihat dari aspek implikasi secara keseluruhan dan berjangka panjang.
Bajet negara seharusnya menyediakan negara untuk mendepani cabaran masa hadapan. Sehubungan itu, bajet yang dihasilkan tidak boleh hanya tertumpu kepada manfaat atau keuntungan yang diperolehi oleh kumpulan-kumpulan tertentu sahaja.
Bersesuaian dengan pandangan pelbagai pihak yang merasakan bahawa negara memerlukan satu reset dan tiga paksi utama Bajet 2022 iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, IKRAM melihat sistem dan ekosistem ekonomi dan kewangan negara perlu diperbaharui.
Sistem sedia ada tidak mampan dan dikhuatiri boleh menimbulkan krisis pada masa hadapan khususnya apabila negara berhadapan dengan kejutan-kejutan (shocks) ekonomi.
Untuk itu, IKRAM menggesa agar sistem ekonomi baharu yang berteraskan nilai memberi (giving-based economy) yang sistemik (menyeluruh) dan sistematik (teratur) perlu diterokai dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Ini bermakna, membudayakan amalan kedermawanan (philanthropy) dengan menggerakkan komuniti, sektor swasta serta rakyat jelata yang berkemampuan untuk menyumbang sumber kewangan dan lain-lain sumber demi pembangunan negara.
Sistem sebegini dijangka dapat mewujudkan ekonomi yang lebih berdaya tahan, boleh mengurangkan jurang pendapatan dan kekayaan, mencapai agihan kekayaan yang saksama dan mampu mengurangkan beban hutang yang dialami negara. Melalui sistem ini, IKRAM yakin sumber negara dapat digembleng dengan sebaiknya.
Dari sudut sosial, IKRAM berpandangan bajet negara hendaklah mengutamakan inisiatif-inisiatif yang mampu mengupayakan masyarakat khususnya golongan rentan agar mereka mampu berdikari dan berdaya tahan, termasuklah melalui upskilling dan reskilling.
Pada masa yang sama, IKRAM tidak menafikan kepentingan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan, dengan mengambil kira aspek-aspek yang dapat mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat majmuk di negara ini.
Sistem perlindungan sosial hendaklah diperkukuh, khususnya untuk golongan rentan. Dalam perkhidmatan kesihatan, IKRAM menggesa agar kerajaan meningkatkan pelaburan untuk sektor kesihatan awam demi mewujudkan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan.
Jurang digital pula hendaklah dirapatkan di antara kawasan-kawasan bandar dan luar bandar (termasuk di Sabah dan Sarawak) untuk memacu ekonomi digital dan pendidikan dalam talian yang lebih inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia.
Selaras dengan keperluan untuk reset ekonomi negara dan paksi-paksi utama Bajet 2022, IKRAM menggesa agar kerajaan lebih serius, tersusun dan agresif dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk menjadikan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemacu utama ekonomi negara.
STI dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti dan membawa nilai tambah (value add) yang amat diperlukan untuk menjadikan negara kita sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
IKRAM menyambut baik inisiatif Bajet 2022 untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun 2022. Meskipun begitu, ramai pihak sangsi bahawa angka berkenaan dapat dicapai. Malah, inisiatif ini sahaja tidak mencukupi jika kemahiran pekerja tidak memenuhi keperluan pasaran dan peluang yang diwujudkan tidak membawa nilai tambah kepada ekonomi negara.
Sehubungan itu juga, sistem pendidikan negara perlu diperbaharu dan ditambah baik untuk menyediakan generasi muda sebagai tenaga kerja berkualiti demi pembangunan ekonomi yang mampan.
Mengambil kira kurangnya kesedaran masyarakat dalam pelbagai sudut, inisiatif-inisiatif mendidik masyarakat perlu dilipat ganda, dari isu berkenaan implikasi bajet negara kepada masyarakat dan generasi masa depan sehingga ke isu perubahan iklim dan alam sekitar.
Sebagai rakan bina negara, IKRAM komited untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif membangunkan masyarakat dan negara melalui usaha-usaha kerjasama dengan pelbagai pihak.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia