Umat Islam hilang perhormatan daripada dunia, tidak sebagaimana umat Islam dahulu yang telah menjadi rujukan kepada tamadun pada waktu itu dari segi sains, pembangunan manusia dan sebagainya.
Dunia Islam dikenali sebagai dunia mundur, bahkan pada hari ini ada negara umat Islam yang mencari perlindungan ke negara yang bukan Islam. Begitulah rendahnya maruah umat Islam di mata dunia dewasa ini sehingga adakalanya terlalu bergantung kepada negara bukan Islam.
Ia diburukkan lagi dengan kebangkitan Islamofobia oleh sebahagian golongan penganut Islam yang mempamerkan tindakan-tindakan yang tidak melambangkan ajaran Islam yang sebenar dengan bertopengkan jihad menyelamatkan negara mereka.
Keadaan ini menyebabkan Islam terus menerus dituduh ganas dan menimbulkan ketakutan dan krisis dalam kalangan dunia bukan Islam terhadap Islam. Fenomena ini sukar untuk disingkirkan dengan mudah.
Bukan itu sahaja, umat Islam berpecah dalam berbeza pandangan, tidak bersatu dalam tindakan untuk membantu umat Islam lain yang susah dan ditindas. Pegangan umat Islam bersaudara dan umat yang satu hanya tinggal sebagai satu slogan yang kosong.
“Kita meratapi kejatuhan tamadun Islam yang hebat dan memohon kepada Allah untuk memberikan bantuan kepada kita untuk bangkit semula. Namun bantuan itu tidak akan datang melainkan kita melakukan sesuatu untuk menangani perkara ini,” tegas Tun Dr Mahathir di KL Summit 2019.
Umat Islam perlu keluar daripada Islamofobia, perlu menangani isu ini secara tuntas supaya dunia Islam tidak terus dikenali sebagai ganas, menindas bukan Islam dan membunuh sesuka hati. Umat Islam juga perlu bangun dan berkembang bersama dengan kepesatan teknologi masa kini supaya tidak ketinggalan dalam ekonomi dan peradaban.
Atas dasar ini, KL Summit 2019 berhimpun dan bersidang bagi membincangkan kepentingan bersama, cabaran semasa ummah, membendung Islamofobia serta mengetengahkan pelbagai solusi untuk membangunkan semula dunia Islam di mata dunia.
Siti Hamisah Manan