SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) buat julung kalinya memperkenalkan Kit Rai Ramadan yang boleh dimuat turun untuk kegunaan umat Islam sempena Kempen Ramadan 1443H.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik dan Multimedia IKRAM, Dr Wardah Mustafa Din berkata, kit tersebut mengandungi senarai sasaran amal sepanjang Ramadan dan tilawah al-Quran.
“Lebih menarik, kit ini juga menyediakan rekaan grafik berbentuk ‘pelita’ (Mutabaah Lantern) bagi anak-anak meraikan Ramadan yang mana ia boleh dicetak, digunting, digam dan dipasang sendiri,” jelasnya.
Kit tersebut boleh dimuat turun satu persatu atau keseluruhan di pautan berikut:
Sasaran amal & tilawah: https://bit.ly/mutabaah-rmd1443H
Mutabaah Lantern: https://bit.ly/mutabaah-lantern
Kit keseluruhan: https://bit.ly/kit-rai-ramadan
Menurut beliau, sempena Kempen Ramadan 1443H, IKRAM turut merancang pelbagai program menarik untuk seisi keluarga.
“Kita juga ada video tazkirah 5 Minit Je Ramadan, poster infografik Ramadan dan artikel-artikel berkaitan Ramadan, di samping rancangan video On Tak On, Jom Sembang dan Hacks versi Ramadan di saluran TV IKRAM,” ujar Dr Wardah.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia IKRAM, Siti Hamisah Manan berkata, beliau mengharapkan agar umat Islam dapat memanfaatkan semua kandungan yang dihidangkan IKRAM bagi memakmurkan Ramadan dengan lebih bermakna.
“Ini sesuai dengan tema kami iaitu Mendidik Jiwa, Menyebar Rahmah.”
“Kami sasarkan kandungan-kandungan yang disediakan IKRAM dapat mendidik jiwa pembaca dan penonton, seterusnya disebarkan kebaikannya kepada semua, insya-Allah,” tambahnya.
Mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr Wardah turut mendoakan agar Ramadan yang disambut kali memberikan semangat kepada umat Islam di Malaysia terutamanya untuk bangkit kembali setelah menghadapi pelbagai kekangan akibat Covid-19 dan musibah banjir.
“Selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam di Malaysia dan di mana sahaja mereka berada. Semoga Ramadan ini memberikan sinar harapan dan kekuatan kepada kita untuk bangkit kembali dan menyumbang tenaga demi kemakmuran negara.”
Untuk maklumat lanjut berkaitan IKRAM dan media sosialnya, sila layari pautan https://linktr.ee/ikrammalaysia.