Kisah Abu Darda’ memeluk Islam

Abu Darda’ radiallahuanhu (RA) atau nama sebenarnya Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Ansari al-Khazraji adalah satu nama yang tidak asing kepada kita umat Islam. Beliau adalah sahabat Nabi Sallallahualaihiwasallam (SAW) yang dikenali sebagai Hakim al-Ummah, orang yang paling berhikmah atau bijaksana dalam kalangan umat ini.

 

Meskipun beliau merupakan golongan Ansar yang paling akhir memeluk Islam, namun ketokohan, kewibawaan, keunggulan serta sumbangannya dalam pelbagai bidang tidak kurang daripada sahabat-sahabat Nabi SAW yang lain ridhwanullahu ‘alaihim ajma’in.

 

Sebelum memeluk Islam, Abu Darda’ merupakan seorang penyembah berhala yang tegar.

 

Pada suatu hari, sahabatnya Abdullah bin Rawwahah RA dan Muhammad bin Maslamah RA yang telah memeluk Islam datang ke rumah Abu Darda’ semasa beliau tiada di rumah. Kedua-duanya memecahkan berhala yang disembah oleh Abu Darda’ sehingga pecah berkecai.

 

Apabila Abu Darda’ pulang, dia mengutip serpihan berhalanya yang telah berkecai itu seraya berkata, “Celaka engkau! Kenapa engkau tidak menghalang mereka? Kenapa engkau tidak mempertahankan dirimu sendiri?”

Mendengar rungutan Abu Darda’, isterinya Ummu Dardaa’ menambah, “Kalaulah berhala itu berguna atau dapat mempertahankan seseorang, pasti dia berguna atau dapat mempertahankan dirinya sendiri!”

 

Abu Darda’ bangkit lalu meminta Ummu Darda’ menyediakan air untuk beliau mandi. Selepas mandi dan memakai pakaian yang kemas, beliau terus keluar untuk bertemu dengan Rasulullah SAW.

 

Ketika beliau sampai ke tempat Rasulullah SAW, Abdullah bin Rawwahah RA berada di sisi baginda SAW. Melihat Abu Darda’ datang, Abdullah RA berkata, “Ya Rasulullah, itu Abu Darda’ datang. Tentulah tidak ada lain tujuannya kecuali membalas dendam ke atas kami.”

“Sesungguhnya dia datang untuk memeluk Islam. Tuhanku telah berjanji kepadaku bahawa Abu Darda’ akan memeluk Islam,” jawab Rasulullah SAW.

 

Antara pengiktirafan Rasulullah SAW ke atas Abu Dardaa’ ialah ‘Faris (tentera berkuda) yang terbaik’ dan ‘Hakim Ummah’. Beliau juga merupakan salah seorang yang ditugaskan mengumpul al-Quran pada zaman Nabi SAW.

Al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas bin Malik RA katanya, “Ketika Nabi SAW wafat, tidak ada seorang pun yang mengumpul al-Quran sepenuhnya kecuali Abu Darda’, Mu’az bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zaid.”

 

Abu Darda’ RA sangat berpegang teguh dengan apa yang diajar dan dipesan oleh Rasulullah SAW kepadanya. Muslim meriwayatkan bahawa Abu Darda’ RA berkata, “Kekasihku SAW berpesan kepadaku tiga perkara yang aku tidak pernah tinggalkan selagi aku masih hidup; berpuasa tiga hari setiap bulan, solat duha dan tidak tidur sebelum menunaikan solat witir.”

 

Abu Darda’ dikenali sebagai seorang yang sangat warak dan takut kepada Allah SWT. Ketika untanya mati, beliau berkata kepadanya, “Wahai untaku, janganlah engkau mendakwa aku di hadapan Tuhanmu kelak. Sesungguhnya aku tidak pernah membebanimu membawa barang-barang lebih daripada kemampuanmu.”

 

Beliau juga sangat menjaga hak-hak ukhuwah fillah. Beliau pernah berkata, “Aku berlindung dengan Allah daripada datangnya satu hari dalam hidupku yang aku tidak ingat kepada Abdullah bin Rawwahah RA. Setiap kali apabila bertemu denganku dari hadapan, dia akan menepuk dadaku. Kalau dia datang dari belakang dia akan menepuk bahuku kemudian berkata kepadaku, “Wahai Uwaimir, mari kita duduk, kita beriman sesaat. Lalu kami duduk mengingati Allah selama mana yang kami mahu. Kemudian beliau berkata: “Inilah majlis iman!”.

Dalam menjaga ukhuwah fillah, Abu Darda’ RA berkata: “Sesungguhnya aku berdoa untuk 70 orang saudara-saudaraku fillah dalam sujudku. Aku sebut nama mereka satu persatu!”

Antara kata-kata hikmahnya yang masyhur:

 

“Tiga perkara bagiku sangat melucukan; orang yang sibuk mengejar dunia sedangkan dia sedang dikejar kematian, orang yang lalai daripada mengingati Allah sedangkan Allah tidak lalai daripada menghisabnya, dan orang yang tertawa berdekah-dekah sedangkan dia tidak mengetahui adakah dia termasuk dalam kalangan mereka yang diredai Allah atau dimurkainya…”

 

“Kalaulah seseorang itu lari daripada rezekinya sebagaimana dia lari daripada kematiannya, nescaya rezekinya akan mendapatkannya sebagaimana kematiannya mendapatkannya.”

 

“Sesiapa yang banyak bercakap, banyaklah dustanya. Sesiapa yang banyak bersumpah, banyaklah dosanya. Sesiapa yang banyak permusuhannya, tidak selamatlah agamanya.”

 

“Sesiapa yang tidak mengenali nikmat Allah kecuali pada makanan dan minumannya sahaja, maka sesungguhnya sangat kurang ilmunya dan dekatlah azabnya. Dan sesiapa yang tidak pernah berasa kaya di dunia, maka tidak ada dunia baginya.”

 

Oleh: Ustazah Maznah Daud

Dipetik dan diolah daripada Islamstory.com

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia