Rasa manusiawi bukanlah entiti bermusim seperti perayaan, yang bilamana tiba tarikh pada kalendar, barulah kita bersedia dan meraikannya.
Ia bukan hanya timbul bilamana ada isu dan situasi meruntun perasaan, bukan juga ketika ada tularan dari platform-platform maya. Bukan. Ia adalah teras. Ia adalah fitrah alami setiap yang bernama insan.
Adakah kita hanya ingin menceritakan kepada generasi depan tentang manusiawi ini sebagai sejarah peradaban semata-mata? Sudah pasti tidak! Manusiawi bukanlah polemik. Ia adalah praktik.
Adakah kita kelak hanya menceritakan bahawa manusiawi itu telah hilang, dan anak cucu cicit kita bertanya, ibu, manusiawi itu apa?
[hu.ma.nis.me] diertikan sebagai sifat perikemanusiaan; faham (pendirian, sistem) yang mengutamakan nilai-nilai, kepentingan dan maruah manusia (dan tidak mementingkan nilai-nilai atau kekuasaan lain). (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Yang menjadi teras humanisme ialah kata-kata sifat dan kata kerja aktif seperti nilai maruah dan kuasa!
1. Humanisme difahamkan sebagai suatu pendirian falsafah dan etika yang menekankan nilai juga tindakan manusia (human agency) – baik secara sendiri mahupun terkumpul/kolektif dan memihak kepada pemikiran kritis serta bukti (rasionalisme and empirisisme) berbanding penerimaan dogma atau tahayul.
Dalam konteks moden pula, pemikiran ini sering berkaitan dengan pendirian berpusat kepada tindakan manusia serta penglibatan sains sebagai jalan memahami alam sekitar berbanding wahyu yang diturunkan dalam agama. (British Humanist Assosiation)
2. Humanisme berasal daripada kata Latin humanis dan mempunyai akar kata homo yang bererti manusia. Humanis bererti sifat manusiawi atau sesuai dengan kudrat manusia. (A. Mangunhardjana dlm Haryanto Al-Fandi, 2011)
3. Justeru, selesa kita memberi takrifan humanisme dengan menggabungkan definisi meta iaitu Humanisme adalah kekuatan atau potensi individu untuk mengukur dan mencapai tahap ketuhanan, juga menyelesaikan permasalahan-permasalah sosial. Maka, Humanisme sebenarnya boleh difahami sebagai suatu aliran dalam falsafah, memandang manusia itu bermartabat luhur, mampu menentukan nasib sendiri, dan dengan kekuatan sendiri mampu mengembangkan diri. (Abdul Rahman Mas’ud, 2004)
Fitrah itu lumrah dan sejagat
Bagaimanakah kita mengenal fitrah dan rasa luhur sifat manusiawi dalam diri? Fitrah luhur ini adalah teras manusiawi. Tiada manusiawi, hilanglah fitrah! Anak-anak ibarat kain putih yang bersih.
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat Bukhari 1385)
Fitrah bermaksud suci, bersih dan tidak ternoda. Fitrah manusia pada asal usul kejadiannya adalah suci kerana ia berasal daripada Zat yang Maha Suci iaitu Allah Taala. Oleh sebab kesucian manusia inilah, Allah memuliakan manusia berbanding makhluk lain yang menghuni alam semesta ini.
Fitrah manusia merujuk kepada sifat semula jadi atau bakat yang melekat pada setiap manusia sejak lahir. Ia merupakan anugerah daripada Tuhan dalam bentuk potensi fizikal, mental, rohani dan emosi.
Menurut perspektif agama, fitrah manusia adalah kecenderungan untuk beragama dan mengenal Tuhan sebagai pencipta. Selain itu, manusia dilahirkan dengan sifat-sifat kebaikan.
Aa Gym (2005) mendefinisikan fitrah sebagai tabiat yang suci dan asli yang dibawa manusia sejak lahir dan belum pernah disentuh atau diubah. Rogers (1951) menyatakan manusia berkeupayaan untuk menjadi positif dan baik. Hal ini bererti fitrah merupakan:
i. Suatu pemberian atau anugerah yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia sama ada dalam bentuk fizikal atau mental.
ii. Suatu ketetapan Tuhan sejak manusia itu belum dilahirkan merangkumi aspek potensi, bakat semulajadi serta keupayaan mental dan fizikal.
Kembalilah terjalin dan menjalin
Kitab-kitab dan ajaran agama menyanjung tinggi budi pekerti baik, luhur dan tinggi. Semarakkanlah rasa cinta kita sebagai manusia yang menjadi bukti bukanlah sekadar hidup tetapi hidup berbudi.
Manusia yang lahir perlu dan berhajat kepada agama. Oleh itu, agama dan manusia tidak boleh dipisahkan. Sifat semula jadi manusia kepada agama sememangnya ada pada setiap manusia yang hidup di muka bumi. Agama adalah fitrah iaitu perasaan semula jadi yang selaras dengan kejadian asal manusia yang diciptakan Allah SWT.
Selain daripada kecenderungan untuk beragama, manusia juga mempunyai ciri-ciri yang semula jadi dalam diri mereka apabila dilahirkan. Antara ciri-ciri tersebut ialah keupayaan untuk bertutur. Manusia mempunyai kemampuan untuk berinteraksi dengan simbol, bahasa atau kata-kata.
Secara fitrahnya, manusia dilahirkan dengan sifat yang baik yang dianugerahkan oleh Penciptanya. Manusia dianugerahkan akal dan mempunyai kebebasan untuk memilih serta tahu membezakan antara yang baik mahupun buruk.
Watan tinggi manusiawi perlu merasakan kemanusiaan, bukan tanpa peri dan barbaric. Kita patut meraikan rasa fitrah cinta dan kemanusiaan dan jika digugat, jangan memihak kecuali kepada kemanusiaan, kedamaian dan kesejahteraan.
Semua ajaran agama tidak melihat kepada hasil tetapi melihat bagaimana usaha yang telah dilakukan, sama ada usaha itu bertepatan atau pun tidak.
Sebagai contoh, dalam krisis kemanusiaan Palestin, tidaklah menjadi persoalan tentang perspektif, respons dan tindakan yang diambil tetapi lebih kepada unit nilaian kemanusiaan apa digunakan, betul atau salah, hak atau batil.
Momokan prorasisme dan etnosentrisme kononnya tidak sempurna seseorang/sekumpulan tertentu itu selagi tidak memasuki kumpulannya hanya mengundang bahaya yang akan menyebabkan masyarakat juga umat berpecah dan berpuak kepada kumpulan-kumpulan yang tertentu. Ia malah lebih bahaya daripada perpecahan yang disebabkan oleh perbezaan fahaman.
Tidak salah membentuk kumpulan berdasarkan fahaman yang dipercayai untuk memudahkan anggotanya menjalankan kegiatan kehidupan supaya lebih berkesan berbanding jika dilakukan secara sendirian.
Yang salahnya apabila seseorang itu taasub dengan kumpulannya, dengan menafikan atau meremehkan kumpulan-kumpulan lain. Lebih parah lagi, apabila melibatkan situasi stereotaip, prejudisme, eksploitasi, diskriminasi dan penghapusan etnik! Nauzubillah! Ini akan mengakibatkan bencana juga kiamat kemanusiaan.
Berusahalah mengajak manusia kepada ilham kemanusiaan. Berlapang dadalah dengan kumpulan-kumpulan lain dan bekerjasamalah dengan mereka dalam mengajak manusia kepada kemanusiaan dan kesejahteraan.
Kalaulah betul matlamat seseorang itu hanya satu iaitu mengajak manusia berperikemanusiaan, maka tidak ada sebab kita tidak boleh bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan lain dalam mencapai matlamat tersebut.
Insya-Allah dengan usaha yang ikhlas dan penuh takwa, kita akan sentiasa ditunjukkan Allah kepada jalan yang betul dan diredai-Nya. Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Pengampun, sekalipun ijtihad kita salah namun tetap diberi ganjaran.
Paling betul bukanlah menjadi keutamaan tetapi yang lebih penting ialah menghidupkan kemanusiaan, hidup dalam kesejahteraan dan lebih penting lagi ialah menuai keikhlasan juga ketakwaan kepada Allah. Jadikanlah diri kita suka kepada nilai kemanusiaan dan kedamaian.
“Wherever there is a human being, there is an opportunity for a kindness.” – Lucius Annaeus Seneca.
Firman Allah (maksudnya):
“Dan manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan diberikan balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna.” (An-Najm 53: 39-41)
Kalau bertanak dengan menggulai
Mengacau gulai pecah isinya
Kalau gelak nak jangan mengilai
Kalau mengilai rendah budinya
(Tenas Effendy 2004: 84)
Biar orang mencabut cendawan
Kita mencabut padi kan mati
Biar orang berebut bangsawan
Kita berebut budi pekerti
(Tenas Effendy 2004: 109)
Jangan suka nak merapah pagar
Merapah pagar kaki terpuruk
Jangan suka nak berkata kasar
Berkata kasar budinya buruk
(Tenas Effendy 2004: 80)
Jangan suka menetak rebung
Rebung itu banyak buluhnya
Jangan suka berlagak sombong
Sombong itu banyak musuhnya
(Tenas Effendy 2004: 80)
Dr. Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengajian Ketamadunan & Pembangunan Insan
Fakulti Sains Sosial (FSS)
Universiti Islam Selangor (UIS)