Kesan Rasuah Terhadap Masyarakat Dan Negara

Kesan Rasuah Terhadap Masyarakat Dan Negara | IKRAM

Rasuah merupakan najis yang membusukkan nama baik diri, bangsa dan negara, sangat pahit tapi inilah sememangnya hakikat yang perlu kita telan bersama.

Istilah rasuah bagaikan jenayah biasa yang sudah menjadi normalisasi dalam kalangan masyarakat.

Bahkan, isu gosip artis dan selebriti yang tidak beri sebarang mudarat pun lebih panas di pasaran berbanding isu rasuah yang mampu meragut nilai integriti diri dan mencemar nama baik negara, terus dipandang sepi dan sendu.

Bukan sedikit dalam kalangan masyarakat yang tahu dan faham berkenaan hukum-hakam berkaitan rasuah ini. Di meja-meja ceramah, di corong-corong radio dan televisyen, semuanya pernah berbicara berkenaan najis rasuah.

Namun berita-berita seperti ini masih kurang diberi perhatian oleh sebahagian masyarakat, malah paradigma yang salah berkenaan rasuah terus tertanam di minda dengan pelbagai sangkaan.

Antaranya, “Isu rasuah bukan isu kami orang biasa, hanya isu orang atasan, asalkan tidak mengganggu periuk nasi kami, sudah.” Inilah antara corak faham masyarakat kita apabila kita berbicara soal najis rasuah.

Sewajarnya kita harus mengubah cara fikir dan pandangan kita berkenaan najis rasuah ini. Ia bukan sekadar isu orang atasan, orang korporat atau orang politik, bahkan hari ini hampir semua sektor pekerjaan sudah berleluasa gejala najis rasuah ini demi menghalalkan apa yang telah salah di sisi undang-undang.

Sebahagiannya melakukannya juga demi memuaskan nafsu serakah mencapai kepentingan peribadi.

Tanpa kita sedar, najis rasuah yang sedang membarah di negara kita ini akan mendatangkan kesan dan implikasi kepada kita semua, dari orang bawahan hingga membabitkan orang atasan.

Dalam satu kenyataan Prof Syed Hussein al-Attas yang diterbitkan oleh Berita Harian bertarikh 3 April 1986, beliau dengan penuh emosi menyatakan bahawa:

“Kalau umpamanya kita katakan pemimpin suka makan babi, mudah sekali mereka marah, tetapi kalau kita katakan pemimpin itu mengamalkan rasuah, marah itu tidak sekuat seperti makan babi.”

“Nyata sekali bahawa pendapat makan babi itu didorong oleh perasaan emosi yang kuat tetapi pendapat menentang rasuah tidak didorong oleh emosi yang kuat.”

“Sebabnya, menentang rasuah itu tidak didorong oleh perasaan yang kuat ialah kerana umat Islam umumnya sangat dipengaruhi oleh keadaan runtuh akhlak, di mana nilai-nilai Islam yang penting diabadikan, di mana pemimpin-pemimpin mereka tidak memberi contoh-contoh yang cukup.”

Kenyataan ini pada tahun 1986, telah menjadi realiti yang kita boleh lihat pada hari ini. Sejak dahulu lagi, sekiranya kita menyebutkan perkataan ‘babi’, maka dilihat seperti biadab, kurang berakhlak dan sebagainya.

Seolah-olah menyebut babi sahaja, bukan makan, menyebutnya sahaja sudah berdosa dan salah besar, padahal agama tidak melarang kita untuk menyebutnya. Yang dilarang adalah memakan dan menyentuhnya.

Berbeza dengan najis rasuah, sebutan di mulut umpama tiada apa serius. Maka, apa hendak dihairankan andai najis rasuah ini ibarat sudah dihalalkan oleh masyarakat yang tidak prihatin.

Satu fakta yang harus kita akui kebenarannya adalah masyarakat kita kurang tahu dan faham berkenaan implikasi dan kesan najis rasuah kepada sistem kehidupan harian. 

Inilah antara perkara yang menjadi kekaburan oleh sebahagian masyarakat. Apa yang dipaparkan di dada akhbar, berita televisyen sekadar tangkap dan dakwa. Kesan dan akibatnya najis rasuah kepada kehidupan kita, kurang ditekankan.

Biarpun beribu kempen dan jelajah membanteras rasuah dilaksanakan, berpuluh-puluh akta rasuah digubal sekalipun, “Apa ada hal dengan kita? Selagi tidak mengganggu hidup harian kita, apa ada masalah?”

Oleh itu, selain berjuang untuk membanteras najis rasuah ini, kita harus bangkit dan berjuang untuk menerangkan kepada masyarakat umumnya berkenaan amalan najis rasuah ini yang sekurang-kurangnya akan menghancurkan nilai-nilai moral kehidupan, membantutkan proses kemajuan negara dan lebih teruk lagi mampu memusnahkan masa hadapan negara yang lebih cerah dan tersusun.

Biarpun si pelakunya membabitkan orang atasan, impak dan kesannya turut akan dirasai dan ditanggung oleh rakyat tidak berdosa ini.

Kita boleh lihat bagaimana akibat najis rasuah ini mampu meragut kesejahteraan hidup rakyat yang tidak berdosa ini apabila melibatkan pembangunan infrastruktur terpenting dan asas dalam masyarakat seperti pembinaan sekolah, hospital, kemudahan awam seperti taman permainan, jalan raya berturap dan sebagainya.

Apabila wujud permainan ‘beri dan terima’ ini, maka sudah tentu nilai projek akan menjadi mahal dan ia memakan masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

Angkara tersebut, rakyat sama ada yang saban tahun membayar cukai tahunan atau tidak, terpaksa menanggung kelembapan pengurusan ini demi memuaskan kehendak kepentingan pihak tertentu.

Lihatlah bagaimana siri pendedahan jalan berlubang tidak berturap hingga meragut nyawa manusia yang tidak berdosa, pembinaan hospital yang dijanjikan hanya tinggal janji dan menyebabkan kesukaran untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan, kemudahan awam menjadi tempat perosak tanpa diperbaiki, akibat kos projek yang tinggi dengan diselitkan najis rasuah sebagai habuan.

Ini semua sedikit sebanyak menyumbang kepada kehidupan yang tidak sejahtera. Adalah tidak wajar andai najis rasuah ini masih dipandang remeh dan tidak penting bagi masyarakat umum.

Hal tersebut belum lagi kita turun ke padang melihat bagaimana agihan bantuan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Pada angkanya sudah berjuta-juta diumumkan. 

Mendengar angka bantuan yang jutaan tersebut, mungkin sudah menyenangkan hati semua pihak. Namun sebahagian keadaan, bagaikan indah khabar dari rupa.

Apabila najis rasuah ini menjadi sebati dalam diri, penerima bantuan terpilih dalam kalangan kerabat dan kenalan atau kumpulan tertentu sahaja tanpa menilai kelayakan penerima.

Ada yang menerima bantuan dengan jumlah yang diterima tidak seperti jumlah yang dinyatakan. Beralasankan kos ini dan caj itu, kita terus diperbodohkan oleh penajis rasuah.

Demikianlah misalan dan contoh kesan daripada najis rasuah ini terhadap masyarakat dan negara. Seruan kepada masyarakat, kita harus mengubah anjakan paradigma berkaitan najis rasuah.

Harus ditegaskan, najis rasuah bukan sekadar isu penerima dan pemberi semata-mata, bukan lagi isu orang atasan atau bawahan.

Tidak semestinya najis rasuah ini diletakkan di bahu pihak penguasa sahaja, sebaliknya isu najis rasuah ini adalah isu kita bersama. Masalah ini adalah masalah kita bersama. Tanggungjawab membanteras dan menentang ini adalah tanggungjawab kita bersama. 

Mari kita memandang isu rasuah ini seberat kita menganggap babi yang haram. Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan manusia yang beriman dan yang penuh integriti dalam segenap kehidupan.

Muhammad Faidhi Azis
Ketua Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Isu berkaitan kesihatan mental adalah antara isu yang semakin menjadi perhatian dalam kalangan umum pada masa kini terutamanya selepas negara berjaya keluar dari pandemik COVID-19. Antara faktor utama penyebab berlakunya masalah kesihatan mental termasuklah tekanan hidup, ketidakseimbangan waktu kerja-keluarga, trauma seperti penderaan atau kehilangan orang tersayang atau mempunyai sejarah keluarga dengan masalah kesihatan mental. Selain faktor persekitaran seperti kekangan kewangan, pengaruh negatif media sosial dan kurangnya sokongan sosial daripada ahli keluarga juga turut berpotensi menyumbang kepada permasalahan ini. Masalah kesihatan mental boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau status sosial. Selain orang dewasa, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengalami permasalahan berkaitan kesihatan mental. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak meningkat kepada 16.5 peratus pada tahun 2023 berbanding hanya 7.9 peratus pada tahun 2019. Majoriti kanak-kanak mengalami masalah mental kesan daripada pergaulan bersama rakan sebaya (46.0%). Kesihatan mental dan keluarga Kesihatan mental sering kali dikaitkan dengan individu, namun ia juga turut melibatkan institusi kekeluargaan secara menyeluruh. Isu kesihatan mental mampu mempengaruhi beberapa perkara dalam institusi kekeluargaan termasuklah suasana, interaksi dan kesihatan umum ahli keluarga. Kesihatan mental keluarga merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial setiap ahli keluarga. Keadaan kesihatan mental ini penting kerana ia akan mempengaruhi cara keluarga menghadapi tekanan, pembuatan keputusan dan mengekalkan hubungan positif antara satu sama lain. Dalam konteks ini, apabila salah seorang ahli keluarga mengalami gangguan mental atau emosi, ia boleh memberi kesan domino kepada keseluruhan institusi kekeluargaan tersebut. Kesihatan mental keluarga yang baik juga membantu mewujudkan suasana rumah yang harmoni, galakan dan sokongan sesama ahli keluarga di samping memastikan setiap individu dalam keluarga berasa dihargai dan difahami. Sebaliknya, sekiranya terdapat sebarang konflik, tekanan atau kurangnya komunikasi boleh menjejaskan kesejahteraan mental keluarga secara keseluruhannya. Persoalannya, adakah kita benar-benar mengambil berat akan kesihatan mental ahli keluarga kita? Isu dan faktor yang mempengaruhi kesihatan mental Membentuk sesebuah keluarga, menjadi ibu dan bapa kini bukanlah sesuatu yang mudah. Dapatan Tinjauan Pendapat Umum bersempena sambutan Hari Ibu dan Bapa 2024 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati bahawa 9 daripada 10 responden menyatakan menjadi ibu dan bapa pada zaman ini adalah sangat mencabar berbanding zaman dahulu. Majoriti responden menyatakan bahawa cabaran terbesar yang dihadapi sebagai ibu bapa kini ialah kos sara hidup yang tinggi (80.0%), diikuti masalah keseimbangan kerja-keluarga (66.8%) dan masalah kewangan (58.9%). Daripada peratusan ini, 1 daripada 3 responden menyatakan cabaran yang dihadapi mengakibatkan mereka kerap mengalami kemurungan. Lebih membimbangkan, 5.6 peratus ibu dan 2.2 peratus bapa menyatakan pernah terfikir untuk mencederakan diri atau membunuh diri atau melakukan sesuatu di luar kawalan terhadap ahli keluarga. Penglibatan wanita, khususnya para ibu dalam pasaran buruh juga boleh mendorong kepada masalah kesihatan mental, namun ia bergantung kepada keadaan dan cara menanganinya. Wanita yang bekerja sering kali menghadapi tekanan untuk mengimbangi tanggungjawab kerja dan keluarga. Memetik ucapan Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri semasa Majlis Sambutan Hari Ibu 2024, “Sebahagian besar ibu yang bekerja akan menghabiskan masa mereka dengan rutin harian yang padat, bermula dari awal pagi dengan menguruskan anak dan keluarga, keluar bekerja dengan purata masa lapan hingga sepuluh jam sehari, pulang ke rumah lewat petang atau awal malam dan terus menyambung tugasan sebagai seorang isteri dan ibu di rumah. Ini sekali gus akan akan menyebabkan “Parental Burnout” jika tidak ditangani perkara ini dengan baik. “Parental Burnout” atau gejala yang mampu menyebabkan ibu mengalami keadaan keletihan yang melampau ini akan memberi kesan kepada fizikal, mental dan emosi. Sekiranya tidak diatasi dengan baik, ia mampu memberi kesan terhadap kesihatan mental dan juga boleh meningkatkan risiko untuk mengalami penyakit mental seperti kemurungan dan juga kebimbangan”. Berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) 2014, 18.7 peratus wanita yang sedang bekerja menghadapi masalah dalam mengimbangi peranan antara kerjaya dan keluarga. Antara masalah utama yang dihadapi adalah kurang masa bersama keluarga (51.9%), masalah penjagaan anak (13.0%), kurang masa untuk diri sendiri (11.9%) dan beban tugas di tempat kerja (11.2%). Terbaharu, penemuan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) menunjukkan bahawa skor Indikator Kualiti Masa Bersama Keluarga dan Indikator Imbangan Masa Kerja-Keluarga telah merosot dalam siri IKK tahun 2022 berbanding siri sebelumnya pada tahun 2019. Namun, penglibatan ibu dalam pasaran buruh tidak semestinya membawa kesan negatif. Dengan sokongan yang mencukupi seperti kemudahan penjagaan anak, suasana kerja yang fleksibel dan pembahagian tanggungjawab rumah tangga yang seimbang bersama pasangan, ibu yang bekerja dapat mencapai tahap kesejahteraan mental yang baik. Malah, bekerja boleh memberikan wanita peluang untuk mengembangkan potensi diri, menambah pendapatan keluarga dan berasa dihargai di luar peranan tradisional mereka. Kesan masalah kesihatan mental kepada keluarga Selain memberi impak komunikasi, konflik dan tekanan terhadap keluarga, kesihatan mental yang buruk, khususnya dalam kalangan ibu bapa dilihat mampu memberi kesan kepada prestasi pembelajaran anak-anak di sekolah. Anak-anak yang berada dalam suasana rumah yang tidak harmoni sering kali sukar untuk menumpukan perhatian dalam pembelajaran, ditambah dengan tekanan yang diterima daripada rakan sebaya di sekolah seperti penemuan NHMS 2023. Sudahlah ibu bapa tertekan dengan urusan kerja-keluarga yang padat dan tidak dapat memberikan tumpuan penuh kepada keluarga, anak-anak pula terkesan dengan konflik kehidupan mereka, ditambah tiada tempat untuk bergantung harap. Jadi apa pengakhirannya? Kesihatan mental juga boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Tekanan yang berterusan boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit kepala, tekanan darah tinggi dan gangguan tidur. Keluarga yang berada dalam keadaan stres juga lebih cenderung mengalami masalah kesihatan kronik dalam jangka masa panjang. Perkara ini disokong daripada dapatan Tinjauan Pendapat Umum berkaitan tekanan dan cabaran keibubapaan dalam mendepani gelombang baharu pandemik COVID-19 pada tahun 2019 oleh LPPKN. Tinjauan mendapati kesan daripada permasalahan mental dan kemurungan, 20.4 peratus ibu bapa mengalami kesukaran mengawal kemarahan, diikuti mengalami kesukaran untuk tidur dengan tenang (16.8%) dan kerap sakit kepala atau perut (15.8%). Bagi sesetengah individu, tekanan atau stres yang berterusan mampu mendorong mereka untuk mengambil makanan tidak sihat atau bahan terlarang sebagai cara untuk mengatasi atau melarikan diri daripada perasaan negatif. Fenomena ini dikenali sebagai “emotional eating” apabila seseorang makan secara berlebihan, khususnya makanan tinggi gula, garam atau lemak untuk meredakan stres atau mencari keselesaan. Walaupun ia mampu memberikan kelegaan sementara, tabiat ini boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung. Dalam kes yang lebih serius, stres kronik juga boleh mendorong seseorang mencari penyelesaian yang lebih drastik seperti penggunaan bahan terlarang seperti dadah atau alkohol, yang dianggap oleh sesetengah individu dapat memberikan kelegaan segera. Penggunaan bahan terlarang sebagai mekanisme menangani stres sering berlaku apabila seseorang tidak mempunyai strategi pengurusan stres yang sihat. Faktor-faktor seperti kurangnya sokongan sosial, ketiadaan kesedaran tentang alternatif yang lebih baik seperti senaman, meditasi atau terapi serta stigma terhadap isu kesihatan mental boleh memburukkan lagi keadaan ini. Langkah penambahbaikan dalam kehidupan berkeluarga Sebagai solusinya, komunikasi yang baik adalah kunci utama dalam menjaga kesihatan mental keluarga. Ahli keluarga perlu berbincang secara terbuka tentang perasaan, cabaran dan harapan masing-masing. Ibu bapa juga perlu mendengar dengan empati apabila anak-anak berkongsi masalah mereka serta tidak menghukum atau mengkritik dengan berlebihan. Selain itu, ahli keluarga perlu memberikan sokongan emosi antara satu sama lain, terutama ketika atau sedang menghadapi tekanan. Memberi dorongan, galakan dan rasa sayang akan membantu mengurangkan tekanan dalam keluarga, mewujudkan perasaan selamat dan dipercayai. Hal ini termasuklah menunjukkan bahawa setiap ahli keluarga dihargai dan penting. Ibu bapa perlu menetapkan batas dan harapan yang realistik bagi anak-anak dan diri sendiri. Janganlah memberi tekanan yang berlebihan kepada anak-anak untuk mencapai kejayaan, sebaliknya sokonglah mereka dalam proses pembelajaran. Aktiviti bersama keluarga seperti beribadat, beriadah, melancong atau sekadar makan bersama dapat membantu merapatkan hubungan keluarga. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghilangkan tekanan, malah memberi peluang kepada keluarga untuk berinteraksi secara positif dan memperbaiki ikatan keluarga. Elemen Tanggungjawab Bersama (Shared Responsibilities) iaitu penglibatan ibu bapa dalam menjalankan tugasan isi rumah secara bersama mampu menjadi role model yang baik kepada anak-anak. Peranan suami isteri melakukan kerja rumah didasari oleh gender atau jantina seperti pihak suami yang lebih cenderung melakukan tugasan berat seperti membaiki paip di rumah, memotong pokok dan membaiki kelengkapan elektrik, manakala isteri yang lebih terarah seperti mendidik anak, membeli barang dapur dan memasak, perlu diubah untuk mencerminkan tanggungjawab bersama dalam meringankan tugasan harian di rumah. Dapatan Tinjauan Pendapat Umum bersempena sambutan Hari Ibu dan Bapa 2024 juga mendapati lebih 50.0 peratus responden menyatakan tugasan rumah seperti melakukan kerja rumah, menguruskan kewangan keluarga dan mengurus pendidikan anak-anak kini dilakukan secara bersama oleh suami isteri. Jika terdapat ahli keluarga yang mengalami gangguan mental atau menunjukkan tanda-tanda stres berpanjangan, mendapatkan rawatan kesihatan dan bantuan profesional adalah keputusan yang bijak. Kaunseling keluarga atau terapi individu juga boleh membantu ahli keluarga menangani masalah mereka dengan lebih baik. Umum perlu sedia maklum bahawa pihak kerajaan juga telah memperuntukkan RM24.6 juta dalam Belanjawan 2025 sebagai Inisiatif Kesihatan Mental melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi berkaitan. Kesimpulan Kesihatan mental keluarga adalah perkara yang tidak boleh diabaikan dalam memastikan kebahagiaan dan kesejahteraan rumah tangga. Mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan mental keluarga bukan sahaja membantu dalam mengurangkan konflik, tetapi juga membina hubungan yang positif antara ahli keluarga. Setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan dalam mewujudkan suasana yang harmoni. Komunikasi yang baik, kasih sayang dan sokongan emosi menjadi asas kepada kesejahteraan mental bersama. Jadi, ADAKAH ANDA PEDULI? Ahmad Rasyidee Abdul Razak Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga (BPKK), LPPKN Dr Zilal Saari Universiti Teknologi Malaysia

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia