Makan Rasuah Seperti Makan Babi?

Makan Rasuah Seperti Makan Babi? | IKRAM

Masyarakat Melayu sangat sensitif dengan makanan haram. Contohnya, ramai yang ghairah menyebarkan maklumat mengenai dakwaan tentang makanan yang dicemari bahan haram; walaupun kadangkala ada sebahagian maklumat yang palsu.

Sensitiviti ini sangat ketara apabila dikaitkan dengan dengan babi. Orang Melayu sangat sensitif dengan segala yang berkaitan babi; daging babi, kulit babi, DNA babi, sehingga ada yang menyiasat semua kod bahan makanan (seperti E471 dan seumpamanya) kononnya mempunyai sumber babi. 

Malangnya sensitiviti sedemikian tidak begitu ketara dalam kes najis rasuah yang kian membusung dalam masyarakat kita.

Najis rasuah juga haram; serupa dengan haramnya babi. Makan rasuah juga berdosa, sama seperti haramnya makan babi. Malangnya kita tidak begitu sensitif dengan makan rasuah berbanding makan babi.  

Bukan sahaja kita kurang mengambil berat dengan najis rasuah, ada juga dalam kalangan kita yang meremehkan dosa tersebut dan menjadikannya perkara kecil atau biasa sahaja.

Kalau dahulunya pesalah mahkamah sering menutup muka kerana malu, kini pesalah rasuah tiada segan silu atau malu-malu. Ia dijadikan ‘the new normal’.

Sebenarnya memakan najis rasuah lebih dahsyat daripada memakan daging babi kerana dosanya  lebih besar dan mudaratnya juga lebih besar.

Al-Quran melarang mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah, Nabi SAW tidak pernah menyebutkan laknat terhadap pemakan daging babi tetapi ada menyebutkan secara jelas (explicit) bahawa Allah melaknat ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. 

Jika makanan haram, daging babi dan seumpamanya hanya akan memudaratkan diri sendiri, najis rasuah akan menggagalkan projek pembangunan negara dan memudaratkan ramai pihak lain. Rasuah bukan sahaja haram dan berdosa di akhirat, tetapi ia mengganggu-gugat keutuhan pembangunan negara.

Perasuah  bukan sahaja merosakkan negara tetapi mencuri sebahagian harta rakyat. Syed Hussein al-Attas mengemukakan beberapa ciri-ciri rasuah antara lain:

1. Suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan.

2. Penipuan terhadap badan kerajaan, institusi swasta atau masyarakat umumnya.

3. Dengan sengaja mengetepikan kepentingan umum berbanding kepentingan khusus. 

Menurut SPRM, rasuah termasuk menyalah guna kuasa  untuk kepentingan peribadi.

Apabila sebahagian wang perbelanjaan projek telah dikaut oleh perasuah, akhirnya hanya sebahagian kecil sahaja yang sampai kepada projek-projek yang disasarkan bagi membantu rakyat seperti projek pembinaan hospital, jambatan, jalan raya, sekolah dan seumpamanya.

Ini akan menyebabkan projek tergendala atau kualiti pembinaannya sangat rendah, sehingga tidak dapat digunakan atau mungkin membahayakan pengguna.

Jika seseorang memakan daging babi, dia makan berseorangan. Hanya dia yang menanggung dosa dan akibatnya. 

Sebaliknya, orang yang memakan wang rasuah akan menggunakan wang itu untuk memberi makan anak dan isteri.  Anak isteri dihidangkan dengan makanan haram setiap hari; dibesarkan dengan makanan haram, menjadi darah daging diri sendiri, anak dan isteri.

Jika makanan kita haram, layak di api neraka sepertimana yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW.  

Makan rasuah menyebabkan tiada lagi keberkatan, doa tidak akan diterima. Ini sepertimana disebut oleh Nabi SAW mengenai orang yang berdoa tetapi makanannya haram, pakaiannya haram, perutnya dikenyangkan dengan makanan yang haram, maka bagaimana doanya boleh diterima?   

Seorang yang makan daging babi tiada kaitan dengan ibadah (khusus), manakala seorang yang memakan rasuah akan menggunakan wangnya antara lain untuk membeli peralatan ibadah, membayar zakat, naik haji atau menunaikan umrah.

Semuanya tidak sah kerana menggunakan hasil wang haram. Jadilah amalan-amalan tersebut sebagai fatamorgana, disangka berguna di akhirat nanti tetapi rupanya sia-sia belaka.

Bukan tujuan saya hendak meremehkan haramnya makan babi. Tetapi hasrat saya ialah kita perlu sedar bahaya dan dosa rasuah, sogokan, salah guna kuasa dan dan mengambil hak orang lain lebih besar dan memudaratkan daripada makan babi.

Maka, elakkan najis rasuah yang  pemberi dan pemakannya dilaknat oleh Allah.

 

Prof. Dr Omar Yaakob
Ahli Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia