Mendidik jangan sampai cedera

Adakah kerana emosi di rumah, terbawa-bawa hingga ke tempat kerja mengakibatkan tragedi yang tidak diingini terjadi?

 

Seharusnya sesiapa pun kita perlu mengawal emosi dengan sebaiknya dan tidak larut hingga sampai satu tahap mencederakan orang lain.

 

Barangkali kerana sikap yang tidak mampu dikawal atau menunjukkan diri itu hebat, hinggalah tindakan di luar batas itu terjadi.

 

Baru-baru ini, seorang guru di Cheras telah merotan pelajar berusia 11 tahun sebanyak lima kali hingga mengakibatkan badannya mengalami kesan calar dan telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

 

Apa yang sadisnya, ia dilakukan seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang sepatutnya memberikan pengajaran yang baik kepada pelajarnya, bukan dengan menghukum hingga meninggalkan kesan cedera.

 

Didapati, rasional pelajar itu dirotan pun sungguh tidak masuk akal. Lelaki itu tidak berpuas hati disebabkan pelajar tersebut meminta kawannya membuka songkok dalam kelas, ekoran tidak nampak papan putih di depan semasa ustaz itu mengajar.

 

Polis sah terima laporan

 

Pada 1 April lalu, polis mengesahkan menerima laporan daripada bapa kepada pelajar yang tular mendakwa dirotan oleh seorang guru KAFA sehingga berbirat dan bengkak dalam kejadian di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

 

Kejadian tersebut tular di media sosial selepas satu ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter mendakwa anak buahnya dirotan oleh guru KAFA berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan.

 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhamad Idzam Jaafar berkata, pihak polis menerima laporan tersebut sekitar jam 9.05 malam, Selasa lalu.

 

“Siasatan awal mendapati, guru terbabit telah merotan pelajar berusia 11 tahun tersebut sebanyak lima kali hingga mengakibatkan badannya mengalami kesan calar dan telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

 

“Guru tersebut dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa kerana meminta rakannya yang duduk di bahagian hadapan kelas supaya menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

 

Menurut kenyataan tersebut, polis telah cuba mendapatkan keterangan daripada suspek, namun pihak sekolah melaporkan bahawa guru tersebut sedang bercuti dan berada di luar kawasan.

 

“Saya memberi jaminan bahawa siasatan terperinci dan telus akan dijalankan untuk menyiasat dakwaan terbabit,” kata Mohamad Idzam.

 

Beliau turut menegaskan sebarang bentuk kekerasan ke atas pelajar sekolah dianggap kes serius dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

 

Tidak boleh diterima

 

Berikutan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan tindakan guru agama yang merotan pelajarnya sehingga menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima walaupun keluarga mangsa telah menerima permohonan maaf.

 

“Tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku terutamanya di peringkat sekolah,” kata Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

 

Menurutnya, apa yang hendak diajar oleh guru jika mereka bertindak ganas dan melulu terhadap pelajar terutama di peringkat sekolah rendah.

 

“Maka tidak hairanlah pelajar kita semakin kurang ajar, tidak beradab dan ganas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

 

Periksa kesihatan mental

 

PPIM mengusulkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) dan semua jabatan agama negeri yang mengendalikan sekolah agama menjalankan pemeriksaan mental terhadap guru-guru dan kakitangan sekolah.

 

“Tidak adil anak-anak menjadi mangsa kerana guru tidak mampu mengawal emosi akibat masalah peribadi atau di tempat kerja, anak yang tidak bersalah menjadi mangsa.”

 

Beliau turut menasihati semua ibu bapa yang menerima aduan daripada anak-anak mereka untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan dibuat dan membuat aduan rasmi kepada pihak sekolah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“Mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada aktivis PPIM serta peguam kami berkenaan kes mereka dan cara penyelesaian yang terbaik,” katanya.

 

Tidak boleh rotan pelajar

 

Terdahulu, pada 2019 lalu, mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menegaskan beliau menolak sebarang bentuk kekerasan terhadap murid.

 

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching turut menegaskan guru tidak seharusnya merotan pelajar terutamanya di bahagian badan dan bahagian yang tidak sepatutnya.

 

Larangan itu tertakluk pada ketetapan yang dibuat Kementerian Pendidikan menerusi garis panduan dalam pengurusan disiplin dan kuasa merotan murid dalam Peraturan 5, Ordinan Pelajaran 1957.

 

Sebagaimana memetik kata-kata Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang popular menggunakan #TukangCeramahBudakSekolah pada status Facebooknya:

 

“Anak buat masalah, dirotan semahu mungkin.”

 

“Katanya, aku dulu kena lagi teruk dari tu, elok je jadi manusia.”

 

“Ya, kau jadi manusia yang tiada perasaan simpati dan empati kepada si kecil.”

 

Beliau yang juga seorang influencer berkata, “Budak berlari dalam masjid, bermain sana sini, habis mereka dimarahi.”

 

“Katanya mengganggu orang solat. Tak tahu adab!”

 

“Siapa yang tak ada adab sebenarnya? Adakah memarahi kanak-kanak bermain dalam masjid benar-benar mengikuti sunnah Nabi SAW atau sebaliknya?”

 

Apa peranan Keluarga Malaysia?

 

Sampai bila isu guru mencederakan pelajar ini akan berpanjangan? Setiap tahun, ada sahaja tragedi yang terjadi hingga meninggalkan kesan yang mendalam kepada pelajar hingga  trauma terhadap guru-guru dan sekolah.

 

Tidak terkecuali, ibu bapa juga seakan serik atau curiga terhadap para pendidik apabila situasi seperti ini terjadi kepada anak-anak mereka ketika sesi pembelajaran di sekolah.

 

Di mana lagi kepercayaan perlu diletakkan jika guru pun sudah hilang etika dan adabnya ketika memegang ‘title’ itu? Ia perlu diselidiki dan dikaji agar punca dan isu ini mampu ditangani dengan sehikmahnya. 

 

Seharusnya kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ mengemukakan sesuatu yang lain dan baharu daripada kerajaan terdahulu demi kemaslahatan rakyat khususnya para pelajar.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia