KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat pada Selasa mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai, susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat, telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 25 Julai 2023 kepada Pengerusi SPR, bahawa Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub telah meninggal dunia pada hari Ahad 23 Julai 2023,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan suruhanjaya tersebut bahawa ada kekosongan.
Bagi pihak Parlimen Malaysia, Johari turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam kelmarin, setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian pada Isnin.