1. Sebahagian orang berpendapat UMNO dan PAS sepatutnya boleh duduk semeja untuk bekerjasama. Apa pandangan Presiden tentang perkara ini?
Pada kita, kerjasama antara PAS dan UMNO dari sudut urusan umat Islam adalah wajar. Walau macam mana pun, kita kena ambil inisiatif untuk mewujudkan kerjasama dan membela hak-hak umat, begitu juga kita kena ikut sama memperbaiki pengurusan negara dan meningkatkan kebajikan kehidupan rakyat.
2. Apakah bentuk kerjasama yang boleh dijalankan oleh UMNO dan PAS?
“Kerjasama ini mengambil pelbagai bentuk iaitu dalam semua bidang, yang pentingnya ia akan mewujudkan kebaikan pada kehidupan rakyat Malaysia dan juga perjalanan negara. Begitu juga pembelaan terhadap umat Islam di Malaysia ini, sama ada kerjasama dalam membela hak rakyat untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik, begitu juga santunan yang terbaik dari sudut kebajikan, pengagihan kekayaan negara pada semua secara adil, penegakan hak-hak rakyat dalam negara atau kerjasama dalam menegakkan tanggungjawab pihak pemerintah, pentadbir atau pengurus, sama ada yang memerintah ataupun yang mengurus negara ini, yakni pejabat-pejabat awam.
(Tujuannya adalah) supaya mereka ini perform iaitu melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dan perkara ini dipantau oleh kedua-dua pihak, sama ada pihak UMNO atau PAS, dengan maksud supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik.
3. Sekiranya berlaku perkara yang mendatangkan sensitiviti agama, bolehkah UMNO dan PAS bekerjasama?
Boleh… contohnya dalam isu-isu berkaitan dengan agama Islam atau agama-agama lain, PAS dan UMNO boleh bekerjasama menentukan garis panduan bagaimana kerjasama agama-agama ini boleh dilangsungkan, hak tiap-tiap agama ini boleh dan dapat dijaga oleh semua kumpulan rakyat Malaysia yang ada dalam negara ini supaya dengan demikian negara boleh berjalan dalam keadaan yang paling baik, negara terus kekal aman, sejahtera dan masing-masing memiliki kebebasan mengamalkan agama masing-masing serta kedudukan Islam sebagai agama negara itu dihormati oleh semua pihak.
4. Bolehkah kerjasama UMNO-PAS ini menjadi realiti, sedangkan PAS di bawah Pakatan Rakyat dan UMNO di bawah Barisan Nasional?
“Kerjasama ini dalam bidang-bidang tertentu, tetapi persoalan yang lebih besar ialah masalah tahaluf siyasi iaitu satu persepakatan antara kumpulan-kumpulan yang terlibat dalam tahaluf siyasi ini. Tujuannya adalah untuk mewujudkan satu pemerintahan pusat atau negeri dalam Malaysia yang lebih efektif serta lebih berkemampuan untuk menyantuni rakyat dalam negara, itu saja tujuannya di peringkat pusat dan peringkat negeri. Biasanya suatu pihak merasakan kumpulan mereka yang lebih wajar menerajui pemerintahan negara atau negeri, sedangkan kumpulan lain merasakan mereka juga memiliki kredibiliti untuk menerajui dan mengurus negara ini.
Tahaluf siyasi ini tujuannya ialah untuk membangunkan satu barisan pimpinan negara sama ada oleh pihak pembangkang atau pemerintah. Jadi untuk memerintah Malaysia atau pusat dia perlukan tahaluf siyasi yang merangkumi semua komponen rakyat Malaysia.
5. Sesetengah pihak sama ada dalam UMNO atau PAS yang ekstrem menentang Badan Hak Asasi Manusia kerana kata mereka dalam badan tersebut juga ada golongan yang memperjuangkan LGBT dan sebagainya. Apa pandangan Presiden?
“Bagi saya (Pertubuhan IKRAM Malaysia), penglibatan kita dalam mana-mana organisasi adalah berdasarkan prinsip, mana yang kita setujui kita akan bersama, mana yang kita tidak setujui kita akan tolak depan-depan mereka. Kita transparent, bukan maknanya dengan terlibat dalam mana-mana organisasi itu kita akan menyokong kehendak dalam organisasi tersebut. Ia hanya forum yang memungkinkan kita semua terlibat kerana kita nak mengemukakan pandangan terbaik bagaimana kita nak menguruskan permasalahan yang ada dalam negara ini, itu sahaja.