Menelusuri sejarah, keselesaan yang dinikmati pada hari ini adalah hasil pengorbanan air mata, lelah dan darah orang terdahulu. Mereka merupakan golongan awal yang sanggup menukar ganti kenikmatan dunia semata-mata menegakkan perjuangan yang diimani teguh dalam diri.
Nama-nama tokoh seperti Sultan Sulaiman bin Abdul Malik dan penasihatnya Raja’ bin Haiwah serta Imam Hasan al-Basri dan khalifah Umar Abdul Aziz menjadi lambang kerjasama yang utuh antara golongan ulama dan umara dalam usaha membangunkan agama, bangsa dan negara ke tahap yang lebih tinggi.
Ringkasnya, umara merupakan golongan atau pihak yang mentadbir urus rakyat dan negara ini, manakala ulama merupakan golongan yang memiliki kepakaran ilmu agama.
Memelihara Fungsi Ulama, Umara
Peranan utama ulama adalah memelihara syariat serta menjadi rujukan dan panduan bagi masyarakat.
Manakala peranan umara sebagai pemerintah melalui kewibawaan yang dimiliki adalah menegakkan syariat agar menjadi dasar-dasar yang membawa manfaat kepada masyarakat baik dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan agama.
Realitinya, pengislahan masyarakat dan amar makruf nahi mungkar memerlukan kekuasaan dan kekuatan untuk direalisasikan secara menyeluruh.
Tanpa umara, masyarakat akan menjadi kacau-bilau dan syariat tidak dapat ditegakkan serta dilaksanakan.
Dengan kata lain, ulama akan memperkasakan penyebaran dasar umara dan umara memperkukuhkan fatwa ulama dalam proses pelaksanaan ruang lingkup kehidupan yang lebih luas.
Mutakhir ini, persengketaan sesama sendiri menimpa umat Islam. Disebabkan itu, masyarakat Muslim di Malaysia harus berwaspada agar penyakit ini tidak parah dan menimbulkan perpecahan yang sukar diubati, kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Peranan ulama bersama umara dan guru-guru agama adalah untuk membendung krisis ini di mana tugas kita adalah mendidik, sampaikan dakwah, memberi kesedaran, mempertahankan tradisi ilmu dan tradisi akliah melalui didikan yang disertai dengan kefahaman dan kasih sayang.”
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Kerajaan Perpaduan Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri Bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana pada Ahad lalu.
Ulama, Umara Bawa Kesepaduan
Golongan ulama ada peranan yang strategik dalam masyarakat Muslim di Malaysia.
Kredibiliti dan ilmu yang dimiliki oleh para asatizah mampu menaikkan simpati dan empati masyarakat Muslim yang merupakan majoriti penduduk di negara ini. Atas sebab ini, kedudukan ulama dipandang penting oleh umara.
Seringkali umara yang membuat dasar mengambil kira fatwa ulama. Misalnya, dalam menyahut pandemic COVID-19, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan para mufti menggesa orang ramai mematuhi arahan kerajaan mendaftar dan mengambil vaksin demi kemaslahatan orang ramai.
Para asatizah turut memberikan komitmen melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi mengesahkan status vaksin sebagai halal dan mengeluarkan hukum syarak dalam memberikan kelegaan kepada orang ramai.
Ini adalah antara satu sudut yang menunjukkan kesepaduan antara ulama dan umara akan mampu memberikan perubahan besar yang lebih baik buat negara. Kedua-dua golongan ini mempunyai pengaruh politik dan sosial yang strategik dalam masyarakat.
Dalam konteks negara, hubungan yang kukuh antara ulama dan umara akan mengukuhkan asas agama dan pembinaan negara. Sebaliknya, hubungan yang kurang harmoni antara ulama dan umara akan membawa kepada kekacauan dan sering berakhir dengan perpecahan bangsa.
Saling Menghormati Asas Hubungan
Adalah penting para ulama bersifat warak, berani bercakap benar, belas kasihan dan tidak terpengaruh dengan rebutan kuasa dalam peranannya sebagai petunjuk dan pembimbing masyarakat.
Mereka seharusnya mempunyai kepedulian sosial dan tidak menjual ilmu dan pengaruh demi mendapatkan kedudukan dunia dan kuasa. Apabila ulama tiada integriti keperibadian yang baik, golongan ulama akan hilang wibawa dalam kalangan rakyat dan umara.
Umara pula tidak seharusnya mengehadkan hubungannya dengan umara sebatas kepada kepentingan formaliti. Seringkali perhubungan antara ulama dan umara dikeruhkan melalui pengaruh ketamakan kuasa.
Tidak seharusnya wujud keadaan ulama cuma diberi ruang dan penghormatan jika bertindak menyokong kekuasaan. Sekiranya sebaliknya, kesetiaan mereka dipersoalkan jika mempunyai pemikiran dan sikap politik yang dianggap bertentangan dengan kuasa pemerintah.
Tidak sedikit ulama dan dai yang teraniaya kerana pengislahan yang mereka cuba lakukan sehingga segelintir masyarakat seolah-olah menganggap mereka sebagai penjenayah.
Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin ada mengingatkan tentang perhubungan antara ulama dan umara yang buruk perangainya,
“Sesungguhnya kerosakan rakyat adalah disebabkan oleh pemerintahnya, dan kerosakan pemerintahnya adalah disebabkan kerosakan ulama, dan kerosakan ulama adalah disebabkan oleh cintakan harta dan kedudukan. Sesiapa yang dikuasai oleh cita-cita duniawi, dia tidak akan mampu mengurus rakyat kecil, apatah lagi pemerintahnya. Allah-lah tempat memohon segala urusan.” (2/381)
Hubungan yang rosak antara ulama dan umara menyebabkan pengislahan terbantut dan seterusnya rakyat menjadi rosak.
Pemerintah yang rosak akhlaknya akan menjadikan kekuasaan sebagai musibah besar buat dirinya. Ulama yang gagal menegur dan membetulkan kelalaian dan kesilapan umara akan menjadikan terjadinya pelbagai salah laku dan kemungkaran.
Sejarah telah berulang kali membuktikan bagaimana rosaknya sebuah tamadun akibat kealpaan umara dan ulama sepertimana yang terjadi pada zaman Abbasiyah dan Umaiyah.
Sinergi Bina Negara
Sejarah turut membuktikan berulang kali peranan strategik ulama dan umara telah terbukti merupakan gabungan yang dapat membangunkan negara yang mampan.
Kehadiran ulama dapat menjadi pendukung dasar umara. Kewujudan umara pula dapat mengeratkan hubungan kepimpinan dalam pelbagai kepentingan. Kedua-duanya berperanan mencegah kekacuan sosial yang berlaku dalam masyarakat.
Pasca-PRU masih dilihat dalam keadaan berita palsu dan serangan peribadi menular di sana sini terutamanya dalam media sosial. Fitnah menjadi berleluasa dan ini menimbulkan kekacauan serta keadaan tidak aman dalam masyarakat.
Justeru, kesatuan dan sinergi antara para ulama dan umara mampu meredakan ‘suhu panas’ dan menyuburkan keharmonian dalam masyarakat melalui dakwah dan tarbiah dengan kefahaman agama yang sebenar.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.