Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT, atas segala nikmat kemajuan, peluang dan ruang yang dikecapi oleh wanita di negara ini. Sebagai 50% dari populasi Malaysia, sumbangan wanita dalam semua sektor kehidupan sememangnya tidak boleh dipinggir dan dikesampingkan lagi
Tema Hari Wanita tahun ini menggariskan satu lagi tugas penting yang semestinya dimainkan oleh wanita, dalam memastikan negara tercinta Malaysia terus bersatu bergerak ke hadapan, dengan keupayaan memaksimumkan potensi warganya yang pelbagai bangsa, agama, keturunan dan status sosioekonomi. Keupayaan menangani kepelbagaian sememangnya perlu dididik dari institusi asas keluarga, di mana ibu berperanan menanamkan nilai murni dan prinsip asas kebenaran, keadilan, kesaksamaan dan persaudaraan ke dalam jiwa anak-anaknya.
Wanita IKRAM ingin menekankan perihal perlunya wanita didedahkan kepada ilmu pengetahuan yang tinggi untuk membina minda yang bertamadun dan kritikal, serta mampu menangani sebarang cabaran yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian keluarga, masyarakat dan negara. Tanpa pendedahan ini, wanita akan terus terbelenggu dalam kejahilan, kekolotan dan kemunduran minda yang hanya memberikan tumpuan kepada perkara kecil dan remeh-temeh. Rugilah Negara sekiranya wanita tidak digarap potensinya untuk mencorakkan masa depan yang cemerlang.
Wanita IKRAM berharap perhatian yang lebih serius diberikan oleh semua pihak kepada aspek transformasi sosial berasaskan nilai ketuhanan yang menjamin keadilan, keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian semua rakyat Malaysia, dan bukannya semata-mata kepada pembangunan fizikal dan ekonomi sahaja. Antara perkara yang perlu mendapat keutamaan adalah seperti berikut :
1.      Pendidikan yang ditekankan untuk wanita dan ahli keluarga mereka mestilah merangkumi pendidikan holistik yang akan melahirkan wanita berjatidiri tinggi; kukuh nilai dalamannya, bebas minda dan cara pemikirannya, mulia akhlaknya serta mampu menyerlahkan keperibadian yang boleh menyumbang kedalam masyarakat.
2.      Pembabitan wanita Malaysia dalam sektor pekerjaan mestilah diseimbangkan dengan keupayaan wanita menjalankan fungsi asasnya sebagai ibu dan isteri, yang menjadi tulang belakang keutuhan institusi keluarga.
3.      Tahap pendidikan wanita Malaysia yang tinggi mestilah dimanfaatkan dengan meningkatkan penglibatan mereka dalam proses membuat keputusan di semua peringkat.
4.       Kadar jenayah dan keganasan yang membabitkan kanak-kanak, wanita dan golongan tua perlu dibendung segera agar keselamatan semua terpelihara dan terjamin.
5.      Eksploitasi wanita dan kanak-kanak mestilah ditangani melalui tindakan bersepadu yang menggabungkan semua lapisan masyarakat, pihak berwajib, sistem perundangan dan penguatkuasaan yang lebih ketat dan berkesan.
Wanita IKRAM menyeru semua pihak khususnya kaum wanita Malaysia agar terus gigih memajukan diri untuk berdaya saing membangunkan keluarga, masyarakat dan tanahair, agar Malaysia menjadi sebuah negara contoh yang seimbang aspek fizikal, ekonomi, politik, sosial dan spiritualnya.
Â
Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita IKRAM Pusat