“Pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh orang ramai untuk terus mengehadkan pergerakan atau tidak merentas negeri bagi mengekang penularan wabak Covid-19 perlulah diteruskan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam pada itu, untuk tempoh seminggu berturut-turut, kadar kebolehjangkitan R-naught COVID-19 di Malaysia tidak pernah turun.
Pada Ahad, ia mencatatkan nilai tertinggi pernah direkodkan untuk tahun ini iaitu 1.21. Angka itu naik dari kadar 1.18 dicatatkan pada hari sebelumnya dan kesemua negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi 1.0.
Wilayah Persekutuan Labuan terus mencatatkan nilai R-naught tertinggi dengan 1.76, diikuti Perlis, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Perak, Melaka dan Kedah.
Ini termasuk Putrajaya, Sabah, Johor, Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak.
Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 13 Januari ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Di peringkat global, terdapat lebih 200,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes positif kini melepasi 166 juta kes.
Dalam perkembangan lain, data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 33 juta kes. Ini diikuti India dengan 26.53 juta kes dan Brazil dengan lebih 16 juta kes.
Manakala negara yang melebihi angka 5 juta kes ialah Perancis dan Turki, sementara Rusia, United Kingdom dan Itali melebihi 4 juta kes. Jerman, Sepanyol, Argentina dan Colombia pula melebihi 3 juta kes.
Negara dalam lingkungan 300,000 hingga 600,000 kes termasuk Malaysia, Slovakia dan Panama. Negara lain merekodkan angka positif di antara 100,000 dan 300,000 kes.