Jauhi Kepimpinan yang Buruk: Ketahui 3 Ciri Utamanya

Jauhi Kepimpinan yang Buruk: Ketahui 3 Ciri Utamanya | IKRAM

Adakah seorang pemimpin dilahirkan atau dibentuk? Ia menjadi topik persoalan, debatan dan penyelidikan yang hangat dibincangkan sekian lama. 

Namun, sejarah ada jawapan yang jelas bagi yang mencari menurut Dr Tareq al-Suwaidan, seorang penulis, pelatih dan konsultan bidang pengurusan, kepimpinan dan perancangan stategik yang berpengaruh di arena global semasa satu syarahan umum di Malaysia baru-baru ini.

Beliau mengingatkan kita kepada suatu peristiwa masyhur. Ketika Khalifah Umar al-Khattab melihat Amr bin al-As berlalu, beliau berkata, “Abu Abdullah Amr ibn al-As seharusnya tidak berjalan di muka bumi ini kecuali sebagai seorang pemimpin.” Beliau hanya boleh menjadi seorang pemimpin.

Khalid al-Walid dilahirkan sebagai pemimpin. Beliau menyertai 99 peperangan dan tidak pernah kalah. Kepimpinannya sangat terserlah hingga Khalifah Umar al-Khattab terpaksa memecatnya kerana bimbang dengan keimanan orang Islam pada ketika itu.

Beliau berkata, “Saya memecatnya bukan kerana Khalid tidak layak atau pecah amanah.” Umar mengulas bahawa beliau bertindak sedemikian kerana terdengar orang Islam mengatakan bahawa sekiranya Khalid bersama mereka dalam peperangan, nescaya kemenangan tercapai. Sepatutnya mereka bergantung kepada Allah, tetapi sebaliknya pergantungan diletakkan kepada Khalid. 

Amr bin al-As dan Khalid al-Walid adalah dua tokoh yang memiliki kepimpinan yang cemerlang dan semula jadi. Walaupun demikian, hakikatnya hanya segelintir individu terpilih yang dilahirkan dengan sifat kepimpinan yang terserlah. 

Menurut pandangan Dr Tareq yang memiliki pengalaman puluhan tahun dalam bidang pengurusan, kepimpinan dan perancangan strategi, majoriti orang memerlukan latihan serta bimbingan untuk membangunkan potensi kepimpinan dalam diri mereka.

Beliau menegaskan bahawa setiap individu perlu dilatih bagi memperoleh kualiti-kualiti yang diperlukan sebagai seorang pemimpin yang efektif, termasuklah individu yang telah dianugerahkan bakat semula jadi dalam kepimpinan, untuk memperkuat bakat kepimpinan mereka seiring dengan tuntutan dan cabaran semasa. 

Latihan dan pembinaan kepimpinan adalah aspek penting untuk membentuk pemimpin yang berkualiti dan dapat memberi impak positif dalam kehidupan serta organisasi. 

Jelas Dr Tareq lagi, kepimpinan pada hakikatnya adalah mengenai kebolehan untuk menggerakkan para pengikut ke arah matlamat yang ditetapkan. 

Beliau menggariskan lima cara untuk mencapai matlamat tersebut iaitu memberikan daya tarikan, ancaman, mempunyai kemahiran pengucapan awam yang mantap, menjadi contoh teladan dan ada kemahiran memujuk.

Meskipun ramai cendekiawan lain telah memperincikan ciri-ciri kualiti kepimpinan yang berkesan, Dr Tareq memberi pandangan bahawa kebanyakan pemimpin di seluruh dunia boleh digolongkan sebagai bad leaders atau pemimpin yang kurang berkualiti.

Dalam konteks ini, beliau menghuraikan tiga ciri utama yang memberikan petanda seorang pemimpin yang boleh dianggap sebagai buruk atau lemah.

Ciri pertama: Memiliki matlamat yang buruk

Pemimpin yang mempunyai matlamat yang buruk merangkumi niat yang egoistik, iaitu pemimpin tersebut mengutamakan kepentingan diri sendiri dan hanya memberi faedah kepada lingkungannya, sama ada keluarga atau rakan-rakan. 

“Malangnya ciri ini lazim terdapat dalam kebanyakan pemimpin di serata dunia,” katanya.

Pemimpin dengan matlamat buruk ini cenderung mengejar kepentingan peribadi dan kepentingan segelintir individu di sekeliling mereka tanpa mengutamakan atau mengambil kira kepentingan umum dan kesejahteraan masyarakat yang lebih luas. 

Walhal, adalah penting dan kritikal bagi seorang pemimpin untuk memiliki matlamat yang baik dan positif.

Ciri kedua: Etika buruk

Etika kepimpinan buruk merangkumi tindakan atau sikap yang tidak bermoral, tidak adil atau bertentangan dengan norma dan prinsip-prinsip yang dihormati dalam masyarakat. 

Hal ini termasuk tidak jujur dalam komunikasi, gagal bertanggungjawab, menyalahgunakan kuasa dan kurang empati terhadap keperluan dan kebajikan orang di bawahnya.

Seorang pemimpin yang berkualiti haruslah mempunyai nilai dan etika yang sewajarnya. Keselarasan antara tindakan dan nilai-nilai yang dipegang akan membentuk imej positif pemimpin tersebut di mata pengikut dan masyarakat. 

Ciri ketiga: Pemimpin yang lemah

Dr Tareq mengatakan, kelompok ketiga ini adalah mereka yang berniat lurus. Mereka mempunyai tingkah laku yang baik dan etika yang bagus tetapi mereka pemimpin yang lemah atau kurang cekap. 

“Sayangnya, pemimpin ini turut wujud dalam kalangan anggota gerakan Islam,” ujar beliau. Jelasnya, mereka tidak memahami cara untuk mengurus dan memimpin dengan berkesan.

Beliau menghuraikan bahawa semua gerakan Islam, kecuali yang fanatik,  bermula dengan tarbiah dan fokus terhadap tarbiah, kajian agama, menghormati ulama dan sangat baik. Seiring dengan pergerakan masa, kumpulan ini berkembang dalam bilangan dan mula memikirkan untuk terlibat dalam politik. 

“Namun apa yang berlaku, pemimpin yang sama terus memimpin, walhal mereka tidak cekap atau kurang berpengetahuan dalam politik,” kata Dr Tareq. “Mereka tidak tahu selok-belok politik tetapi mereka tetap mahu memimpin.”

Beliau berpandangan bahawa keadaan ini menjadi punca kepada begitu banyak masalah yang mengikut selepasnya apabila melangkah ke peringkat kedua, kerana mereka jelas adalah pemimpin yang lemah.

Dr Tareq menjelaskan, mereka harus dihormati sebagai syuyukh dan cendekiawan, namun ini bukan masa mereka.

Bicara Hasan bin Ali

Beliau menyokong kenyataan ini dengan membuka kisah pertembungan Saidina Ali dan Muawiyah. Ketika itu dunia Islam berada dalam kegelisahan. Sayidina Ali menghantar anaknya, Hasan dan Ammar bin Yasir ke kota Kufah untuk menarik sokongan rakyat pada pentadbirannya.

Kufah mempunyai keupayaan tentera yang terkuat di dunia Arab dan Islam pada masa itu dan Ali memerlukan sokongan tentera mereka.

Ammar terkenal sebagai antara sahabat terbaik yang sangat lemah lembut dan berkeperibadian soleh. Beliau memulakan cermahnya di hadapan masyarakat Kufah dengan mengatakan agar jangan memberikan sokongan pada Ali. Tambahnya, “Jika tidak, lebih baik tinggal di rumah dan jangan terlibat dalam perkara ini.”

Tetapi Hasan bin Ali bangun dan memohon agar Ammar duduk sambil menyatakan bahawa itu bukan cara untuk berbicara dengan penduduk Kufah.

Lantas Hasan berdiri memberikan ucapan yang sangat terkesan sehingga seluruh rakyat Kufah menyokong Saidina Ali. Sejarah ada merakamkan kata-katanya seperti berikut:

“Wahai rakyat, jawablah seruan pemimpin anda. Sertailah saudara-saudara anda, kerana tanpa keraguan akan ada banyak orang yang akan menyokongnya dalam perkara ini. Demi Allah, adalah lebih baik jika perkara kepimpinan ini diuruskan oleh orang-orang yang berakal dan bijaksana, sama ada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang. Jawablah seruan kami, dan bantu kami mengatasi krisis ini yang kita dan anda sedang lalui.”

Dr Tareq menegaskan bahawa tiada sesiapa yang mempersoalkan kualiti keperibadian Ammar, tetapi beliau bukan pemimpin politik. Jelasnya dalam situasi politik, hal ini disebut sebagai kepimpinan yang lemah, iaitu antara ciri-ciri kepimpinan yang buruk. 

Maka, dalam mengangkat seorang pemimpin, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan pemimpin yang dipilih adalah individu yang mampu memberikan impak positif dan kesejahteraan dalam lingkungan pengaruhnya.

Seorang pemimpin yang kuat, kompeten, berwibawa dan berintegriti mampu merubah dunia.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia