Kemelut penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) meletakkan kerajaan pada kedudukan yang sukar, khususnya setelah Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menyenaraikan BlackRock sebagai salah satu pelabur yang terlibat dalam syarikat-syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel pada 20 Jun lepas.
Sementelahan, GIP bakal diambil alih oleh BlackRock apabila proses berkaitan dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2024. Pada masa yang sama, isu ini telah dijadikan modal oleh ahli-ahli politik pembangkang di negara ini, ketika suhu politik semakin panas menjelang pilihan raya kecil Sungai Bakap yang akan berlangsung pada awal Julai ini.
Ketika menjawab soalan di parlimen pada 25 Jun 2024, Perdana Menteri menjelaskan kriteria ketat telah ditetapkan oleh Khazanah Nasional Berhad sebelum GIP dipilih sebagai rakan perniagaan untuk urus niaga berkenaan. Melalui transaksi ini, penguasaan tempatan pula diperkukuh dengan pegangan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditingkatkan dari 41 peratus kepada 70 peratus.
Sebagai Perdana Menteri, sudah tentu pelbagai pertimbangan diambil kira dalam membuat keputusan penting sebegini. Sebagai sebuah syarikat yang menguruskan pintu masuk udara, MAHB perlu mencapai matlamat bisnes yang telah ditetapkan dan berperanan besar dalam membangunkan ekonomi negara.
Kerajaan pula perlu memastikan objektif-objektif ekonomi dan sosioekonomi dicapai demi memberi manfaat sebaik mungkin kepada kerajaan dan rakyat. Sentimen pasaran dan pelabur turut menjadi pertimbangan agar Malaysia mampu menjadi destinasi pelaburan yang menarik berbanding pesaing-pesaing lain.
Pada masa sama, kerajaan tidak boleh dilihat terlalu campur tangan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan perniagaan. Hal yang demikian adalah penting untuk mewujudkan suasana yang kondusif untuk ekonomi negara berkembang sebagai sebuah pasaran bebas.
Ibarat kata, pelbagai pertimbangan yang diperlukan dalam menangani isu ini adalah bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak.
Sewajarnya pemimpin-pemimpin politik di kedua-dua belah pihak menunjukkan kewibawaan, kejujuran dan lebih matang dalam menangani kemelut yang melibatkan kepentingan negara.
Kepentingan parti atau peribadi hendaklah diketepikan, walaupun secara realiti perkara ini sukar untuk diamalkan memandangkan politik kita sekian lama dicemari dengan amalan dan budaya toksik yang melibatkan pelbagai kepentingan.
Yang lebih mengecewakan ialah sikap hipokrit sebahagian ahli politik yang tidak menggambarkan keperibadian sebagai pemimpin yang baik, khususnya berkaitan pelaburan BlackRock yang bukan kali pertama terlibat dalam syarikat-syarikat di negara ini, malah semenjak pentadbiran sebelum ini lagi.
Berdasarkan apa yang berlaku, dapat diperhatikan bahawa amalan demokrasi berparlimen di negara belum mencapai tahap kematangan yang memungkinkan ahli-ahli parlimen bersatu hati dalam perkara-perkara kritikal.
Sehubungan itu, usaha untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti, kompeten dan berintegriti menjadi sangat penting demi masa hadapan negara.
Ke hadapan, selaras dengan visi kerajaan ke arah ekonomi manusiawi yang mampan, kita percaya kerajaan akan terus menambah baik proses pemilihan pelabur agar menepati hasrat dan tujuan-tujuan syariah (maqasid syariah) dan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), demi kepentingan negara. Melalui proses saringan yang lebih kemas dan telus, proses pemilihan pelabur dapat diperkukuh.
Pada masa yang sama, potensi kewangan Islam perlu dilonjakkan untuk pembiayaan projek-projek kerajaan dan perniagaan. Inovasi dalam ekonomi dan kewangan Islam hendaklah dipacu dengan lebih rancak, merangkumi spektrum seperti kewangan sosial dan blended finance.
Usaha-usaha untuk memperkasakan sistem ekonomi berasaskan sedekah menjadi keperluan demi mengembangkan potensi-potensi instrumen seperti zakat, wakaf dan filantropi secara umumnya.
Semua inisiatif ini dijangka dapat membantu meningkatkan daya tahan ekonomi dan sosioekonomi negara serta mengurangkan beban fiskal yang dihadapi kerajaan. Hal ini juga sudah pasti akan menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah pusat kewangan Islam terulung di persada antarabangsa.
Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita berdoa agar pemimpin-pemimpin negara kita sentiasa diberi petunjuk untuk membuat keputusan yang terbaik dalam mengemudi negara pada zaman yang serba mencabar ini.
Kita juga terus berdoa agar kezaliman yang berlaku kepada rakyat Palestin dan mana-mana golongan di serata dunia dapat dihentikan dengan seberapa segera.
Mohammad Abdul Hamid
Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi
Pertubuhan IKRAM Malaysia
– Kredit gambar: Al Jazeera