Isu 3R: Perpaduan Negara Sedang Diuji – Presiden IKRAM

Isu 3R: Perpaduan Negara Sedang Diuji - Presiden IKRAM

Mutakhir ini isu agama, kaum dan raja (3R) semakin galak dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, walaupun negara sudah mempunyai Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menanganinya.

Apa yang terjadi adalah tip of the iceberg, sebahagian kecil daripada masalah besar yang boleh menggugat perpaduan rakyat di negara ini. Masyarakat seperti menyimpan sifat prejudis dalam diam, mudah meledak apabila dijolok sarang tebuannya.

Beberapa insiden seperti stoking kalimah Allah, serangan bom petrol di kedai serbaneka, serta kata-kata makian terhadap agama dan bangsa tertentu di media sosial adalah sebahagian contoh peristiwa yang telah menzahirkannya. 

Sekalipun isu 3R ini telah pun telah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dibawa ke peringkat pendakwaan di mahkamah, namun ia masih lagi berbangkit kejadian-kejadian yang melaga-lagakan lagi rakyat negara ini.

Dalam situasi ini, di manakah prinsip, pendekatan dan keutamaan kita dalam percakapan dan tindakan agar akhirnya keadilan dapat ditegakkan dan kejernihan Islam sebagai rahmatan lil alamin dapat dizahirkan? 

Tangani isu dengan hikmah

Sewajarnya respons harus diaturkan dengan bijak dan berhikmah. Lebih baik untuk menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata provokasi terhadap agama dan kaum jika menambah lagi kekeruhan yang sedia ada.   

Jika salah diurus, tindakan yang melulu hanya mendatangkan mudarat kepada agama Islam itu sendiri disebabkan perilaku penganutnya yang tidak mencerminkan seruan agama.

Islam pada asasnya menjunjung keadilan dengan pendekatan berhikmah. Bak kata orang sekarang, “tegas tapi sampai.”

Masyarakat harus memulangkan hak penghakiman kepada penguat kuasa undang-undang yang telah diberikan hak dalam perlembagaan. Jangan sesekali melaksanakan undang-undang sendiri.

Hentikan sebarang perilaku yang bagaikan menyimbah minyak dalam api. Sebaliknya, ambil iktibar atas apa yang berlaku dan bersama-sama mencari jalan untuk menjernihkan semula keadaan.

Mantan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang juga aktivis antiaparteid yang lantang pernah menulis dalam bukunya Long Walk to Freedom:

Tiada sesiapa yang dilahirkan dengan membenci orang lain disebabkan warna kulitnya, latar belakangnya atau agamanya. Manusia perlu belajar untuk benci, dan jika mereka boleh belajar untuk membenci, mereka juga boleh diajar untuk mencintai, kerana cinta lebih mudah timbul daripada perasaan yang bertentangan dengan hati manusia.

Nikmat perpaduan dan keamanan yang terbina selama ini tidak berbaloi untuk dibobrokkan hanya kerana tindakan tidak bermoral segelintir pihak.

Ini adalah waktu yang menguji keutuhan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Ini juga adalah waktu untuk umat Islam menunjukkan ketinggian akhlak dan adab seperti yang dituntut dalam agama.

Pelihara perpaduan

Peliharalah kesatuan dan perpaduan sesama seluruh warganegara Malaysia kerana tiada apa-apa sistem yang boleh ditegakkan dalam keadaan negara huru-hara dan berpecah-belah.

Anggota masyarakat harus berperanan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa apabila terdapat pihak-pihak yang menyebarkan kebencian atau mengapi-apikan isu agama dan kaum.

Tidak ada sesiapa pun yang mahu mengembalikan Tragedi 13 Mei. Ia merupakan peristiwa dan sejarah hitam yang harus diambil pengajaran agar solusi yang digunakan pada waktu itu dapat dihayati dalam keadaan perbalahan masyarakat pada hari ini.

Rentetan daripada kejadian rusuhan ini, Majlis Perundingan Negara yang dipengerusikan Tun Abdul Razak Hussein dan melibatkan pihak berkepentingan rentas kaum telah menemukan pelbagai tokoh agama, badan-badan profesional, persatuan-persatuan guru dan juga wakil-wakil minoriti hingga akhirnya Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. 

Lima rukun yang dilaungkan ini oleh semua rakyat sejak di bangku sekolah bertujuan untuk mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara cara hidup yang demokratik, mencipta keadilan dalam menikmati kemakmuran negara bersama dan memupuk sikap menyelami budaya satu sama lain.

Mari kita hidupkan penghayatan dan tingkatkan pemahaman terhadap Rukun Negara ini.

Demi kemaslahatan yang lebih besar, rakyat Malaysia mesti terus berganding bahu mengukuhkan perpaduan antara kita demi keharmonian bersama. Carilah semula titik-titik persamaan dan kecilkan perbezaan antara kita.

Hal-hal yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa harus difahami oleh setiap anggota masyarakat agar pergeseran dapat dikurangkan.

Ini adalah ramuan perpaduan bagi masyarakat majmuk seperti Malaysia untuk hidup aman damai dalam keadaan saling menghormati antara satu sama lain.

Peranan kerajaan, NGO pelihara perpaduan

Kerajaan telah mengusahakan beberapa inisiatif perpaduan sejak dulu lagi untuk membentuk dan memelihara keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang majmuk. 

Antaranya ialah kewujudan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) sebagai  platform penting bagi meningkatkan kefahaman pelbagai agama oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ini merupakan inisiatif baik yang sangat penting, namun harus diperkasakan peranannya agar dapat menjuarai isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama di samping bertindak sebagai pihak yang menggunakan pendekatan yang dapat diterima ramai.   

Kempen #KitaKawan turut dilancarkan baru-baru ini oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala kempen #MZB365 dilancarkan oleh gabungan masyarakat sivil dengan pihak media. 

Terdapat juga Program Komuniti Rahmah yang dijalankan oleh Kementerian Perpaduan Negara, menyasarkan komuniti-komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara.

Sekiranya program yang dirangka ini benar-benar dapat dihidupkan dalam komuniti majmuk, ia benar-benar dapat membina komuniti yang sejahtera, mampan dan rahmah tanpa mana-mana kaum rasa tersisih khususnya dalam KRT sepertimana tujuan penubuhannya. 

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga telah menggerakkan gabungan daripada pelbagai agama, bangsa dan latar belakang dalam usaha mencapai perpaduan.

Gabungan Patriotisme dan Perpaduan Kebangsaan (GPPK) yang ditubuhkan pada 2023 terdiri daripada 61 NGO dan Gerakan Negara-Ku yang disokong oleh lebih 80 NGO pada 2014 adalah antara inisiatif yang dimulakan untuk tujuan ini. 

Namun, penting bagi setiap inisiatif ini untuk memastikan komitmen yang teguh dalam menjalankan peranan mereka secara proaktif, demi memastikan semangat kesatuan yang dikejar dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia.

Santuni perbezaan

Agama Islam telah datang untuk memecahkan asabiah dan mewujudkan kesatuan. Allah sengaja menjadikan manusia itu dalam pelbagai kaum dan agama dan dianjurkan supaya perbezaan ini disantuni sepertimana dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat, ayat 13: 

“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.

Justeru, penting untuk mengiktiraf bahawa Malaysia adalah milik kita semua. Dengan memahami bahawa kepelbagaian adalah satu kekuatan dan aset, kita dapat membina jalinan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat.

Apabila kita memandang Malaysia sebagai milik kita bersama, kita akan lebih cenderung untuk bekerjasama merentasi sempadan perbezaan untuk mencapai kemajuan dan kesejahteraan.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia