Angkara Media Sosial, Perpaduan Gagal Dihargai

Angkara Media Sosial, Perpaduan Gagal Dihargai | IKRAM

“Sehingga tahun 2023, masih ada lagi 17 wilayah yang berada di bawah kerajaan kolonial yang masih belum berjaya mencapai kemerdekaan.”

Demikian fakta yang diberikan oleh penganalisis sejarah, Dr Hafidzi Mohd Noor ketika menjadi panelis forum Bicara Bina Negara bertajuk ‘Malaysia: Lautan Bukan Pemisah’ anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia pada 2 September yang lalu.

Beliau yang juga Pengasas Akademi Sejarah Dr Hafidzi merujuk kepada Resolusi PBB 1514 yang diputuskan setelah perhimpunan agungnya pada tahun 1960 yang berkaitan dengan perjuangan mendapatkan kemerdekaan bagi semua negara atau wilayah yang berada dalam kekuasaan kerajaan kolonial. Rentetan peristiwa ini, sebanyak 80 wilayah berjaya memperoleh kemerdekaan. 

Lanjutan daripada ini, Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 dengan penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Singapura kemudian keluar daripada gabungan ini atas sebab-sebab tertentu.

Tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos dan tarikh penubuhan Malaysia pada 16 September adalah sangat penting dan sepatutnya dekat di hati rakyat Malaysia kerana ia berkait rapat dengan kedaulatan negara tercinta ini. 

Tarikh penting ini sepatutnya dapat dikorelasikan dengan semangat penyatuan rakyat tidak kira di mana jua mereka berada.

Di kala negara ini telah 66 tahun mencapai kemerdekaan, masih ada lagi negara yang berpuluh-puluh tahun bergelut untuk mendapatkan negaranya semula.

Malang sekali kerana mereka menjadi rakyat yang terpulau menjadi bangsa yang tidak bernegara angkara penjajahan. 

Kemerdekaan dan penubuhan Malaysia bukan sekadar catitan sejarah untuk dikenang pada setiap tahun.

Peristiwa yang berlaku ini telah mengungkapkan segunung kisah nilai toleransi, penerimaan, kerjasama dan kelapangan hati antara setiap kaum, etnik dan agama di tanah air ini bagi memperoleh sebuah negara sendiri.

Nilai-nilai ini yang perlu dihayati oleh generasi masa kini, tetapi malangnya ia semakin terhakis hingga sering kali bangkit isu-isu yang menyentuh sensitiviti rakyat majmuk negara ini.

“Sejarah pada hari ini memperdalamkan perselisihan dan bukan lagi membawa kita ke depan,” ulas Dr Hafidzi. 

Beliau mengulas bahawa sejarah sepatutnya membawa kita bersikap progresif dan menaikkan sifat positif, tetapi sebaliknya pula berlaku di negara ini disebabkan sikap menjadikan media sosial sebagai rujukan. 

“Agak menjengkelkan kerana kita tunduk kepada tuntutan media sosial yang tiada ownership. Media sosial dijadikan lapangan tanpa undang-undang.”

Beliau mengatakan, akibat masyarakat terlalu mengambil berat terhadap media sosial, pemikiran rakyat telah ditentukan pempengaruh sehingga menjadi lemah, mudah dikuasai dan disalah guna oleh orang lain.

Akibatnya, segelintir masyarakat gagal untuk menghargai kepelbagaian, mengangkat perpaduan sebagai keutamaan dengan meninggalkan perselisihan yang remeh-temeh.

“Sebahagian daripada kita masih menganggap bangsa lain sebagai pendatang. Kita anggap mereka berada di negara ini semata-mata kerana pihak British membawa mereka bekerja di negara ini suatu ketika dulu.” ujar Dr Hafidzi.

Beliau mengulas lanjut bahawa rakyat perlu melihat kembali sejarah sejauh sebelum negara ini disinggung penjajah. Pada abad ke-15, Semenanjung Tanah Melayu pernah digelar sebagai Semenanjung Emas atau Golden Chersonese.

Disebabkan tanah negara ini kaya dengan bijih dan sumber asli termasuk emas, tanah air ini telah menjadi pusat tumpuan antarabangsa dan didatangi oleh pelbagai kaum dan bangsa dari negara Timur dan Barat.

Mereka bercampur gaul dalam masyarakat dan menempati ruang-ruang yang ada sehingga adat budaya masyarakat telah dipengaruhi dengan kepelbagaian sebagaimana yang kita banggakan sekarang sebagai keunikan negara Malaysia.

“Sekiranya kita kembali kepada susur galur sejarah sebelum kedatangan penjajah, sebahagian besar isu polemik masyarakat akan selesai. Tambahnya, sejarah kini telah dipersembahkan dengan cara untuk digunakan sebagai senjata politik.”

Felo Senior di Institute of Strategic and International Studies Malaysia dan Pengasas PUSAKA, Eddin Khoo mengatakan, “Luka dan duka utama negara ini adalah sejarah.” 

Menurut beliau, sejarah telah diungkapkan menjadi suatu kisah fantasi yang diidamkan apabila tidak disandarkan pada fakta secara holistik atau menyeluruh. 

“Kita harus mengangkat suatu pendekatan yang lebih berakar pada sejarah budaya yang bukan bertumpu pada Malaysia sahaja tetapi seluruh rantau Asia Tenggara kerana ia saling berkait. Sekiranya sejarah difahami dalam perspektif tertentu sahaja, maka sejarah akan gagal difahami sebagai panduan kehidupan.”

Beliau memperjelaskan bahawa masyarakat sudah mengalami kepelbagaian dan pergolakan sebelum diwujudkan sebagai suatu negara bangsa. Mereka sudah sedia ada banyak perbezaan, tuntutan hak yang pelbagai serta keinginan mentadbir sendiri  sebelum masyarakat disuruh menghayati kemerdekaan. 

“Sekarang ini kita bergelut dengan isu proses asimilasi, integrasi dan seumpamanya tanpa merujuk kepada hakikat atau budaya kepelbagai yang wujud sebelum kemerdekaan.”

Beliau memberikan contoh Kesultanan Melaka sebagai kerajaan kosmopolitan tidak mempunyai kekuatan tentera sebagaimana kerajaaan serantau seperti Siam.

Namun, Melaka mempunyai kekuatan perhubungan luar negara yang pintar hingga sehingga beroleh hubungan diplomatik yang kukuh dengan kerajaan China.  

Menurut beliau, Kesultanan Melaka dinasihati oleh penasihat yang terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk Jawa, Tamil dan Cina.

Maka, tidak hairan Melaka merupakan tempat yang pernah dituturi oleh tidak kurang 86 bahasa.  Sekarang, hakikat ini diolah seakan-akan menjadi mitos dan bukan lagi realiti.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Warisan Malaysia Borneo (MANTRA), Stevie Sebol menyataka,n kita disibukkan dengan pergelutan isu antara kaum sehingga seolah-olah perkara ini digambarkan sebagai begitu bermasalah sehingga perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau menambah, hakikatnya dalam masa yang sama, di sebaliknya sudah ada nilai murni yang tercerna dan telah terlepas pandang.

Golongan muda yang selalu menjadi sasaran untuk dipengaruhi boleh ditarik dengan pendekatan yang bersesuaian. Mereka harus diberikan pemahaman yang betul dan diperbetulkan salah faham yang terjadi. 

“Orang muda menangkap sejarah sebagai budaya. Bila sebut budaya, ia dikaitkan dengan perayaan. Perayaan pula membawa kepada kewujudan festival. Festival pula membawa erti kemeriahan, program dan aktiviti yang menjadi tarikan bagi golongan muda,” ungkap beliau.

Menurutnya, apabila ada pendedahan yang mesra orang muda, golongan ini mengenalinya untuk diambil sebagai rujukan dan panduan untuk digunakan di tempat lain. Secara tidak langsung, mesej yang ingin disampaikan tersemat kemas dalam minda anak muda. 

Banyak perkara yang boleh ditekuni semula dalam sejarah lipatan negara ini dan serantau dengannya. Apabila sejarah didekati dengan niat untuk benar, banyak hikmah akan tersingkap dan kecintaan kepada perpaduan dan keamanan akan bertambah.

Tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pernah mengatakan, “Orang yang cetek, buta dan tidak peduli sejarah negara akan membuat generasi rosak dan memburukkan keadaan negara.”  

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia