Istiqamah Para Pencinta Kebenaran (Siri 1)

Seseorang mesti senantiasa lurus dan tegak di atas syariat-Nya, selalu menjalankan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya serta berada pada sirat al-mustaqim (jalan yang lurus). Untuk memastikan manusia mencapai tujuan tersebut, maka Allah Ta’ala telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk senantiasa ISTIQAMAH.

..فَٱسۡتَقِيمُوٓاْ إِلَيۡهِ وَٱسۡتَغۡفِرُوهُ‌ۗ ..

“..Maka beristiqamahlah (tetaplah) pada jalan yang lurus menuju kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya..”  (Fussilat [41]: 6).

Lantaran cinta Allah Ta’ala kepada kita, Dia sangat mengambil berat hal ehwal manusia agar tidak tercebur ke neraka bahkan buat memastikan hamba-hamba-Nya menempati syurga.  Allah Ta’ala juga berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَـٰمُواْ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ(١٣)

 أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡجَنَّةِ خَـٰلِدِينَ فِيہَا جَزَآءَۢ بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (١٤)

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Rabb kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap beristiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita, mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan (di dunia).”  (al-Ahqaaf [46]: 13-14)

Berdasarkan dua ayat ini jelas kepada kita akan perintah Allah supaya manusia sentiasa istiqamah di atas kebenaran iaitu dalam keadaan bertauhid kepada-Nya dan beribadah dengan ikhlas.

Apakah maksud Istiqamah?

Istiqamah adalah lawan kepada thughyan (penyimpangan atau melampaui batas). Ia boleh bererti berdiri tegak di suatu tempat tanpa pernah bergerak, kerana akar kata istiqamah daripada kata ‘qaama’ yang bererti berdiri. Maka secara etimologi, istiqamah bererti tegak lurus atau konsisten, atau sikap teguh pendirian dan selalu konsisten.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq radhiallahu ‘anhu berkata: “Istiqamah adalah bahawa engkau tidak menyekutukan Allah terhadap sesuatu apa pun”.

Ibnu Qayyim al-Jauzi berkata, bahawa Abu Bakar menggambarkan istiqamah dalam bentuk tauhidullah (mengesakan Allah SWT), kerana seseorang yang dapat istiqamah dalam tauhid, insya-Allah ia akan dapat istiqamah dalam segala hal di atas jalan yang lurus.

Manakala Saidina Umar bin al-Khattab radhiallahu ‘anhu pula berkata: “Istiqamah adalah bahawa engkau senantiasa lurus (konsisten) dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah, serta tidak menyimpang seperti menyimpangnya seekor musang”.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa istiqamah adalah pelaksanaan nilai-nilai keimanan kepada Allah secara konsisten dalam kehidupan harian baik secara lahiriah maupun batiniah, atau sebagai buah dan hasil tauhid seorang hamba kepada Allah.          

Demikian juga jika diunjurkan dalam kehidupan pendakwah, seorang da’ie yang istiqamah akan terus konsisten menekuni jalan dakwah, walau apa jua risiko dan akibat yang akan ditempuhnya, namun ia tidak akan mundur atau berpaling ke kiri atau ke kanan.

Seorang ahli politik yang berjiwa da’ie di parlimen misalnya, akan sentiasa memperjuangkan ‘panji-panji’ dakwah dengan segala kekuatan dan kemampuan yang ada, tanpa takut kepada celaan orang yang mencela, bahkan tidak sekali-kali akan terpesona dengan kepalsuan dunia di depan matanya.

Ia tetap ‘berani’ untuk tetap konsisten memperjuangkan dakwahnya yang benar, meskipun bertentangan dengan arus zaman, atau teman-teman, malah mungkin guru-gurunya, atau ahli keluarganya atau penguasa yang kelihatan lebih gah pada pandangan massa daripada dirinya.

Manusia berada antara istiqamah dan kelalaian

Seorang Muslim berada antara keadaan istiqamah dan lalai terhadap kewajipan agamanya. Ini merupakan fenomena biasa bagi seorang manusia yang sentiasa mengalami turun naik imannya, hakikat ini yang disepakati oleh jumhur ulama’ bahawa iman itu ada masa berada di kemuncaknya dan ada kalanya turun merudum ke bawah. Hanya keimanan para Rasul dan Anbia’ sahaja yang sentiasa menaik.

Kerana itulah Allah Ta’ala menyeru manusia agar tetap dalam istiqamah dan mohonlah ampun jika tergelincir daripada istiqamah, iaitu sebagaimana yang terdapat dalam surah Fussilat ayat 6 ertinya:

“Katakanlah: ‘Bahawasanya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawasanya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, maka tetaplah pada jalan yang lurus menuju kepada-Nya dan mohonlah ampun kepada-Nya. Dan kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang mempersekutukan(Nya).”

Ayat di atas menjelaskan, bahawa setiap Muslim pasti pernah melakukan satu kelalaian atau kesalahan, tanpa terkecuali siapa pun dia, bahkan mungkin berkali-kali.

Oleh itu, seorang Muslim soleh adalah yang senantiasa memeriksa diri terhadap segala kekurangan dan dosa-dosanya, lalu kemudian beliau berusaha memperbaikinya, didahului dengan beristighfar dan bertaubat memohon ampunan kepada Allah SWT.

[Bersambung ke Siri 2]

Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad
Penulis Wanita IKRAM (PENAWAN)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia