Islam yang mundur atau umat yang luntur?

Malah, lebih mendukacitakan kita, para asatizah berceramah di masjid-masjid, surau-surau, tempat pengajian, lantang bersuara gegak gempita dengarnya. Tetapi tandas di masjid sangat kotor dan jijik. Karpet tempat bersujud berhabuk tidak terurus, cermin tingkap kotor bersalut debu. Siling bersawang bagai pesta menternak. Maka apakah ajaran Islam terpisah antara dunia dan akhirat?

 

Islam bukanlah agama yang memisahkan antara dunia dan akhirat. Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya ‘Syariah Islam: Ciri-Ciri Keunggulan’, beliau menyebut, antara keagungan syariat Islam ialah sifatnya tidak memisahkan antara tuntutan material (dunia kebendaan) dengan kerohanian (akhirat).

 

Bahkan Islam sangat menganjurkan umatnya untuk mencari rezeki, bekerja dan berusaha mencari dunia dengan syarat ianya tidaklah terlalu leka sehingga mengabaikan hak ibadah kepada Allah. Menerusi firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 37 yang bermaksud :

 

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

 

Imam Ibn Kathir ketika membahaskan ayat ini berkata, “Allah SWT telah berfirman bahawa mereka tidak disibukkan dengan dunia, gemerlapannya, perhiasannya, kelazatan jual beli dan keuntungannya daripada mengingati Allah yang telah menciptakan mereka dan memberi rezeki.”

 

Demikian Islam yang mengajar umatnya untuk keluar mencari rezeki, berusaha mengejar impian kejayaan, asalkan hal tersebut tidaklah sehingga melalaikan kita daripada menunaikan hak kita kepada Allah SWT.

 

Sejarah Islam juga tercatat nama para jutawan Islam yang terdiri daripada kalangan sahabat Nabi SAW. Oleh itu, adalah tidak tepat untuk kita beranggapan Islam agama yang memisahkan dunia dan akhirat.

 

Hakikatnya apa yang kita lihat hari ini, bukanlah agama yang menjadikan umat Islam mundur, tetapi kerana umatnya yang semakin luntur kefahamannya terhadap Islam, semakin jauh dan menyimpang daripada ajaran sunnah Nabi Muhammad SAW.

 

Hal tokok tambah dalam agama dianggap lebih baik sebaliknya perkara sunnah dianggap janggal dan luar biasa. Kita harus akui bahawa umat Islam sangat ramai bilangannya tetapi tidak ramai yang benar-benar beramal dengan agama. Dalam hadis riwayat Abu Daud, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

 

“Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah itu wahan wahai Rasulullah ?” Nabi menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati.”

 

Berdasarkan hadis ini, jelas bagi kita bahawa kemunduran Islam adalah berpunca daripada kelemahan umatnya luntur daripada agama. Malah baginda Nabi telah menceritakan bahawa umat akan dilanda penyakit ‘wahan’, cintakan dunia hingga lalai dan leka daripada mengingati Allah, dan takutkan mati yang akhirnya menjadi tamak haloba dan rakus menggali dunia untuk kesenangan yang hanya sementara.

 

Penyakit cintakan dunia menjadikan diri lebih gemar berkata daripada bertindak, bijak berkata daripada bergerak, lebih berangan dari berusaha hingga sanggup mengambil rasuah, kerja sambil lewa, curi tulang sewkatu bekerja, pecah amanah dan sebagainya.

 

Terlalu sayangkan dunia, duit bertukar menjadi berhala. Kemewahan berubah menjadi zikir harian hingga terlupa pada sang Tuhan, Dia yang Maha Pemberi rezeki.

 

Penyakit takutkan mati pula menjadikan diri lebih tamak haloba, rakus mencari dunia, halal dan haram sekadar di bibir, sebaliknya hati tidak pernah cukup dengan apa yang ada.

 

Kerana takutkan mati, diri menjadi bakhil, takut habis wang di hari tua kelak. Walhal, usia tua pun belum jamin kita boleh hidup lagi.

 

Demikianlah apabila umat ini semakin pudar dan luntur daripada ajaran Islam, al-Quran sekadar hiasan, sunnah dijadikan bahan gurauan, akhirnya umat kian jauh daripada Tuhan. Yang pasti, bukan agama yang mundur tetapi umat ini yang luntur. Semoga Allah mengampuni kita semua.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia