Mengenali latar belakang calon yang akan diundi itu adalah satu keharusan. Apa tidaknya, dengan kita mengetahui tentang dirinya, ia akan meningkatkan kepercayaan dan semangat diri untuk keluar mengundi.
Reputasi dan integriti calon perlu dinilai agar ia tidak mendatangkan kesan yang tidak baik kepada rakyat mahupun negara kelak.
Konsep integriti dianggap sebagai komponen penting dalam sistem pemerintahan demokrasi. Integriti wujud dan berkait rapat dengan prinsip demokrasi, kerana ia menyumbang kepada perjalanan pilihan raya yang bebas dan adil.
Dalam konteks pilihan raya, konsep integriti ditakrifkan sebagai satu piawaian berdasarkan prinsip demokrasi, dan prosedur untuk melindungi kebebasan dan integriti pilihan raya.
Pilihan raya adalah hasil daripada proses kompleks yang memerlukan penyertaan banyak pihak. Melalui pilihan raya, akan ada keputusan menang dan kalahnya.
Terdapat banyak cabaran untuk cuba memenanginya walaupun dengan menggunakan cara atau amalan yang menyalahi undang-undang atau tidak bermoral, yang mana keputusan boleh diperolehi, dimanipulasi untuk menentukan identiti pemenang atau sebaliknya.
Belum Menang Sudah Menipu
Apa tidaknya, belum lagi menjadi calon, ada yang sudah berani-berani menipu rakyat dengan ‘gelaran’ mahupun kelayakan akademik.
Bagaimana mahu menjadi pemimpin jika awal-awal lagi sudah berani menipu dan mempamerkan sikap buruk?
Rakyat perlu menolak calon yang sebegini. Tentunya untuk menjadi pemimpin, seseorang itu perlulah berani berkata benar.
Realitinya, kita sebagai pengundi mahukan calon yang mempunyai keperibadian bersih, integriti yang tinggi kerana mereka melihat kepada pengalaman sebelum ini yang mempunyai isu-isu tertentu yang akan menyukarkan seorang wakil rakyat itu melaksanakan amanah yang dipikulnya.
Dengan bahasa mudahnya, integriti adalah amalan bersikap jujur dan menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat. Dalam etika, integriti dianggap sebagai kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang.
Oleh itu, usaha mesti dilakukan untuk membangunkan dan menerima pakai cara untuk melaksanakan dan memelihara prinsip integriti sebagai sebahagian daripada pilihan raya.
Pemakaian peraturan integriti adalah sangat kritikal, dan jika tiada aplikasi yang berkesan, peraturan dan teks undang-undang yang terbaik adalah tidak lebih daripada niat baik semata-mata.
Pengaruhi Pilihan Raya
Mengundi adalah satu cara penting dan utama yang membolehkan individu mempengaruhi keputusan membentuk sebuah kerajaan.
Kita semua boleh mempengaruhi pilihan raya yang menampakkan kesahihan keseluruhan proses. Oleh itu, pilihan raya yang tidak berintegriti menjejaskan matlamat pilihan raya demokratik dan tidak boleh dianggap adil dan jujur.
Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, rakyat telah melihat sebelum ini wakil rakyat yang tidak berintegriti selain mempunyai kes-kes tertentu, dan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, sudah pasti mereka mahukan calon yang mempunyai keperibadian yang bersih.
Bagi mewujudkan rangka kerja undang-undang yang sesuai dan kawalan yang baik adalah perlu untuk memerangi rasuah.
Menjadi keperluan juga untuk membangunkan dan melaksanakan mekanisme penguatkuasaan supaya dapat menghentikan dan mendakwa sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang pilihan raya dengan cara yang tepat pada masanya, profesional dan tidak berat sebelah.
Kewujudan kaedah penguatkuasaan undang-undang yang berkesan akan menyumbang kepada pencapaian prinsip integriti dalam proses pilihan raya, di samping mencegah masalah masa depan.
Usaha antarabangsa untuk mempromosikan nilai-nilai pilihan raya demokratik telah mencapai kejayaan besar. Walaupun terdapat banyak cara untuk memastikan pelaksanaan pilihan raya yang bebas dan adil hari ini, terdapat beberapa kes rasuah dan percubaan untuk menipu dalam pilihan raya yang masih wujud.
Secara teori, integriti setiap langkah proses pilihan raya boleh terancam, tetapi dalam praktiknya terdapat penyelesaian penting dan realistik yang boleh mengekalkan prinsip integriti.
Namun, untuk mengurangkan risiko penipuan, adalah penting bagi penggubal dasar pilihan raya mengambil kira kepentingan integriti semasa membangunkan sistem pilihan raya sedari menentu dan menamakan calon lagi.
Ayuh, bersama selamatkan Malaysia.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia