KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia telah menyertai Sesi Perbincangan Pembaharuan Dasar Dadah dan Dasar Kepenjaraan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), YB Ramkarpal Singh di Parlimen pada Khamis.
Sesi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran itu bertujuan membincangkan mengenai pembaharuan dasar dadah bagi mengatasi isu kesesakan penjara yang kini di tahap membimbangkan.
Kesesakan itu berlaku ekoran majoriti banduan di negara ini menjalani hukuman atas kesalahan dadah yang kecil, ditambah pula banyak masalah lain yang timbul akibat tindakan pemenjaraan ini.
Perbincangan tersebut telah berjalan dengan cukup baik dengan perkongsian daripada para jemputan yang hadir diketuai oleh Prof. Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman yang merupakan Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah, para penyelidik CERiA UM, para peguam, PENGASIH dan IKRAM.
Delegasi IKRAM diwakili oleh Prof. Dr Sahrim Hj Ahmad, Puan Faridah Maludin dan Puan Nur Diyanah Abdullah (IKRAM Health).
Menurut Dr Sahrim, antara perkara penting yang dibentang dan dicadangkan adalah berkaitan polisi kerajaan sekarang yang mentakrifkan pengguna dadah sebagai penjenayah telah lebih banyak memberi mudarat.
“Mereka yang mempunyai masalah penagihan perlu dianggap sebagai pesakit dan bukan penjenayah dan pendekatan lebih berkesan dan utama adalah merawat penagih,” kata beliau yang juga Kumpulan Fokus Masyarakat yang Sihat, Selamat dan Sejahtera IKRAM.
Jelasnya, polisi pengurangan mudarat ini dari segi kos berbanding dasar memenjarakan pengguna dadah dapat menyelamatkan perbelanjaan kerajaan dan banyak lagi kesan positif lain.
“Dasar dekriminalisasi dan impak lebih positifnya telah banyak disentuh dalam perbincangan tersebut,” tambah beliau.
Hasil daripada perbincangan tersebut, pihak Timbalan Menteri telah mencadangkan agar satu pasukan petugas (task force) ditubuhkan segera untuk merealisasikan hasrat ini.