Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius beberapa berita sumbang mahram seperti yang dilaporkan di media cetak dan media sosial baru-baru ini.
IKRAM prihatin bahawa peristiwa ini menggambarkan betapa satu solusi yang menyeluruh perlu digarap bagi mengatasi masalah yang amat asas kepada kewujudan sebuah keluarga dan masyarakat yang harmoni dan bahagia yang melindungi dan menjamin keselamatan ahli keluarga terutama yang lemah dalam kalangan mereka.
IKRAM yakin kejadian yang berlaku yang melibatkan bapa kandung sendiri dan saudara-mara bapa kandung dengan anak sendiri/mangsa menggambarkan betapa pincangnya institusi keluarga yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mereka yang lemah terutamanya anak-anak yang masih belum mengerti erti kehidupan.
IKRAM berpandangan, di samping menggubal undang-undang untuk menghukum sekeras-kerasnya pelaku sumbang mahram, usaha perlu dibuat untuk mengembalikan jati diri seorang lelaki sebagai pelindung kepada wanita sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah an-Nisaa’ ayat 34.
Adalah penting untuk mengembalikan jati diri lelaki sebenar, jati diri sebagai pelindung wanita, jati diri seorang lelaki yang mempunyai kesihatan mental yang baik, jati diri yang melihat wanita bukan sebagai objek seks tetapi sebagai rakan kongsi bersama berganding bahu mewujudkan keluarga yang harmoni serta menjamin keselamatan ahli keluarga. Dari keluarga yang sihat dan mempunyai jati diri yang benar inilah akan lahir masyarakat yang penyayang dan negara yang rahmah.
IKRAM menyeru agar:
a. Para lelaki merealisasikan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pelindung semua wanita.
b. Kaum wanita menjaga diri anda daripada kezaliman seorang lelaki dan bersedia berusaha untuk mengeluarkan diri jika berada dalam perangkap tersebut. Tiada istilah ketaatan, kepada suami atau ayah, dalam keadaan mereka sendiri bermaksiat kepada Tuhan dan melakukan jenayah terhadap manusia.
c. Pemimpin agama dan negara melaksanakan tanggungjawab untuk mengangkat kesedaran tentang isu ini sehingga ia benar-benar menjadi “conscience of the masses” ataupun “conventional wisdom” bahawa lelaki seharusnya mengambil peranan sebagai pelindung wanita.
d. Isu ini diketengahkan melalui khutbah, seminar, diskusi kesedaran dalam masyarakat, masjid dan tempat kerja.
e. Pengelola sistem kehakiman dan keselamatan memastikan keadilan mudah ditegakkan dan langkah-langkah pendidikan dan pelaksanaan keselamatan diperluaskan bagi melindungi kaum wanita.
Dr. Hj. Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden IKRAM