Amal sukarelawan
Sheikh berkata, permulaannya susah, tetapi penutupnya manis. Itu telah cukup untuk menggambarkan misi kemanusiaan. Memang banyak cabaran perlu dilalui – perjalanan yang jauh dan sukar, belanja dan tenaga yang perlu dicurah – namun di penghujungnya jiwa yang suci pasti dapat merasai kemanisan.
Senyuman yang terukir di wajah mereka telah cukup untuk menghilangkan lelah. Selut dan lumpur yang berjaya dibersihkan cukup memberikan kepuasan. Apatah lagi persaudaraan dan persahabatan yang dibina di sepanjang perjalanan, ianya ganjaran berharga yang sukar dinilai. Kebersamaan di medan amal kebajikan bakal membuahkan persahabatan yang diredha Tuhan.
Allah memerintahkan orang beriman supaya bertolong-tolongan dan bekerjasama dalam melakukan perbuatan baik, iaitu perkara kebajikan (al-birr), dan menegah mereka daripada tolong-menolong dalam perkara kebatilan, dan melarang mereka bantu-membantu dan bekerjama dalam perkara haram dan dosa. Ini dijelaskanNya dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran”. (Al-Maidah: 2)
Fokus
Wahai sahabat, fokuskan dirimu kepada menabur bakti. Yang sedang ditimpa bencana perlu dibantu dan disantun. Walaupun kecil bantuanmu ianya tetap memberikan pengharapan. Dapat memujuk hati yang lara. Dapat menenang fikiran yang keliru. Berikan sepenuh fokusmu kepada gerak kerja dan jangan biarkan kecerdasan otakmu menjadikanmu terlalu kritis. Di saat menghantar bantuan, usah ditanya kenapa berlaku bencana ini. Usah dinilai sama ada ianya ujian ataupun hukuman. Usah disoal kenapa pihak berwajib tidak cekap melaksanakan tanggung-jawab. Semua itu boleh dikaji kelak bila pulang ke rumah. Gunakan segala kebolehan untuk menabur bakti kepada yang malang. Empati lebih bernilai di saat ini berbanding analisis. Perbanyakkan amalmu dan ambil iktibar dari apa yang berlaku kerana dalam setiap peristiwa, pasti banyak pengajarannya.
Jaga hatimu
Wahai sahabat, Aku mengajakmu merenung sejenak kepada sabda Rasulullah s.a.w.
Dari Jundub bin Abdullah bin Sufyan r.a. katanya: Nabi s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang memperlihatkan amalannya kerana riya’ maka Allah akan memperlihatkan dan barangsiapa yang berbuat ria’, maka Allah akan menampakkan riya’ itu.” (Muttafaq alaih)
Ingatlah, apa saja yang ada dalam hati, semuanya diketahui oleh Allah s.w.t. dan di akhirat kelak, semua itu akan dinilai. Keikhlasan adalah prasyarat bagi amal untuk diterima Allah. Rugilah orang yang tidak menjaga keikhlasan hati.
Namun, ini tidak sepatutnya menghalang seseorang dari beramal di tengah-tengah masyarakat seperti menghulurkan bantuan ketika bencana, yang sememangnya akan dilihat orang, malah ada kalanya memperkenalkan diri itu adalah amat penting bagi memudahkan perlaksanaan. Malah tidak menjadi isu jika anda dipuji kerana ini juga telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.
Dari Abu Zar r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. ditanya: Bagaimanakah pendapat Tuan perihal seseorang lelaki yang mengerjakan suatu amalan yang baik dan ia mendapatkan pujian dari orang ramai kerana amalannya itu?” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Yang sedemikian itulah kegembiraan seorang mu’min yang diterima secara segera – yakni ketika masih di dunia sudah dapat merasakan kenikmatannya.” (Riwayat Muslim)
Namun, janganlah pula kita berbangga bila dipuji hingga timbul perasaan ujub yang dikeji. May Allah protect us all from the sins of our hearts and purify our soul so that we’ll continue to progress each day as a better Muslim.
Nukilan: Prof. Dr. Arshad Ahmad
Untuk Sahabatku Para Sukarelawan