Perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur pada 1 oktober Sabtu lalu bertukar menjadi tragedi. Lebih 170 nyawa terkorban sebaik perlawanan tamat.
Tentu persoalannya kenapa tragedi berdarah ini boleh berlaku?. Dalam keadaan penonton di Stadium Kanjuruhan 100% adalah penyokong Arema FC.
Apa yang berlaku adalah setelah pertandingan yang berkesudahan Arema FC kalah 2-3, ia menimbulkan kemarahan penyokong. Berpuluh orang dari mereka mula menuju padang menerpa pemain dan pegawai Arema. Apabila jumlah semakin bertambah dan seolah tidak terkawal polis telah melepaskan gas pemedih mata. Penonton bertempiaran lari akibat sesak nafas keluar stadium yang baru 1 pintu sahaja dibuka. Kesesakan, rempuhan, kejatuhan dan pijakan telah berlaku.
Pelbagai pihak telah dipersalahkan. Stadium yang sepatutnya dengan kapasiti 38 ribu tetapi dimasuki lebih 42 ribu orang. Peraturan keselamatan antarabangsa juga tidak membenarkan gas pemedih mata dilepaskan di stadium. Dan bermacam lagi analisis telah mula dibongkar.
Peristiwa seperti ini boleh berulang dimana sahaja. Penyokong fanatik ada disemua negara. Negara dan masyarakat perlu mendidik rakyat konsep kesukanan yang sebenar. Panduan keselamatan oleh pihak berkuasa perlu jelas dan dipatuhi oleh semua. Sukan bukan hanya industri peluang mencari wang bagi pelbagai entiti. Tetapi wahana riadah dan memupuk semangat kebersamaan serta disiplin. Sukan bukan mengajar untuk fanatik dan taassub.
Kota Malang telah mencatatkan satu peristiwa yang malang. Kita bersimpati dengan mangsa dan keluarga korban. Juga buat negara jiran terdekat kita Indonesia. Semoga pemerintah dan rakyat dapat segera menghadapi kesan tragedi ini dengan baik dan sejahtera. Semoga bolasepak di mana sahaja mengajar kita untuk rahmah kepada orang lain.