MUKIM Zon Utara ini dianjurkan oleh World Assembly of Muslim Youth (WAMY Malaysia) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), ACCIN, IKRAM Pulau Pinang, ABIM Pulau Pinang, Islamic Propagation Society International (IPSI) dan HALUAN Pulau Pinang.
Program bermula dengan ucapan Pengerusi WAMY Malaysia, Ustaz Shahrin Awaludin selaku Pengarah Program MUKIM 2015. Muktamar ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Hj Mohd Rashid Hasnon yang turut membentangkan kertas kerja pertama MUKIM yang bertajuk ‘Kepemimpinan Belia: Sejarah dan Hala Tuju’.
Ustaz Shahrin, Dato’ Hj Rashid dan para peserta MUKIM
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Dr Hj Wan Salim Wan Mohd Noor seterusnya membentangkan kertas kerja yang bertajuk ‘Kepimpinan Ideal: Iktibar Daripada Sirah Nabawiyah’. Muktamar diteruskan dengan ‘Bicara Isu Semasa Dunia Islam’ yang disampaikan oleh Dr Sami Samir Abdelfattah, Ketua Pusat Pelajar Antarabangsa (WAMY ISC).
Aturcara seterusnya adalah Sidang Pleno bertajuk ‘Prospek dan Agenda Kepemimpinan Belia’ yang dipengerusikan oleh Saudara Hanapi Jamaludin (WAMY) dan tiga ahli panel iaitu Dato’ Hj Abdul Halim Hussain (Timbalan YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang), Dr Mohamad Nasir Othman (HALUAN Siswa Pulau Pinang) dan Puan Siti Harwani Md Yusoff (Timbalan Pengerusi Belia IKRAM Pulau Pinang).
Dato’ Mufti Pulau Pinang, Dr Sami Samir dan Sidang Pleno
MUKIM yang kini memasuki siri ke-7 ini membawa tema ‘Kepemimpinan Belia: Sejarah dan Hala Tuju’ bertujuan untuk mengumpulkan belia-belia Islam khususnya dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Ia juga bakal menjadi satu forum perbincangan bagi semua pihak yang terlibat dengan belia Islam di pelbagai kementerian, jabatan, institusi dan badan bukan kerajaan yang terdiri daripada penggubal dasar, pentadbir, aktivis belia, pensyarah dan mahasiswa.
Secara khususnya, MUKIM pada tahun bertujuan menjelaskan ciri-ciri kepemimpinan belia Islam dari perspektif sirah Rasululullah SAW dan sejarah kegemilangan Islam. Selain itu, ia bertujuan untuk mengenal pasti keperluan-keperluan asas dalam membina kepemimpinan belia Islam dan merangka konsep dan mekanisma jaringan kepemimpinan belia Islam masa kini.
Muktamar ini diharapkan akan menyumbang ke arah peningkatan kualiti kepemimpinan belia Islam di seluruh negara, insya-Allah.
Sumber: