Johor Bahru, 15 Mei – Majlis Ramah Mesra Aidilfitri IKRAM Johor berlangsung dengan suasana penuh meriah di Kompleks IKRAM Johor di Taman Universiti, Skudai pada hari kelmarin. Majlis dihadiri lebih 200 tetamu berbilang kaum yang beramah mesra bersama Yang Di-Pertua IKRAM Johor Professor Dr Nordin Yahaya, barisan ahli Jawatankuasa Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Wanita Negeri (JKWN) serta staf KIJ selaku tuan rumah. Antara jemputan yang turut hadir termasuk rakan-rakan NGO, tokoh-tokoh masyarakat, pimpinan agensi kerajaan, wakil-wakil institusi IKRAM dan juga daripada IKRAM kawasan.
Ini merupakan majlis besar-besaran yang pertama diadakan selepas lebih dua tahun pandemik COVID-19. Sehubungan itu, SOP tetap dijaga sesama hadirin dengan pemakaian pelitup muka dan penggunaan pencuci tangan. Pelbagai juadah tradisi yang menjadi hidangan majlis kali ini antaranya sate, nasi hujan panas, soto, laksa Johor dan kuih-muih. Selain itu, tetamu juga dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu raya yang menghidupkan lagi suasana Aidilfitri.
IKRAM Johor mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir dan mengharapkan agar silaturahim sesama kita bersemi erat sempena meraikan kemenangan di bulan Syawal ini.













































