Kanak-Kanak Terjerat dalam Rantaian CSAM: Bertindak Segera!

Kanak-Kanak Terjerat dalam Rantaian CSAM: Bertindak Segera!

Kanak-Kanak Terjerat dalam Rantaian CSAM: Kerajaan, Platform Digital dan Masyarakat Mesti Bertindak Segera

Wanita IKRAM Malaysia, Malaysians Against Pornography (MAP), dan Pertubuhan Kanak-Kanak Idaman Nasional (KIND) melahirkan kebimbangan mendalam berhubung penahanan lapan remaja (13 – 18 tahun) yang disyaki menghasilkan dan menjual kandungan animasi berunsur seksual, menerusi Ops Pedo Bersepadu 3.0.

Tangkapan ini menandakan fasa baharu yang genting iaitu kanak-kanak kini turut terjerat menjadi pencipta dan pengedar aktif Bahan Penderaan Seksual Kanak-kanak (CSAM), bukan sekadar mangsa.

Data Internet Watch Foundation (IWF) 2025, yang dibentangkan di Dewan Negara, merekodkan 16,238 laporan CSAM melibatkan kanak-kanak Malaysia pada 2024, melonjak 225% berbanding 2023, manakala laporan Disrupting Harm Malaysia (UNICEF/INTERPOL, 2022) menganggarkan lebih 100,000 kanak-kanak tempatan pernah menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian.

Justeru, pihak kami mendesak tindakan konkrit menerusi LIMA (5) TUNTUTAN UTAMA:

1. Penguatkuasaan CSAM Animasi/AI & Reformasi Rangka Pembuktian

Meskipun RUU Jenayah Siber 2026 dan pindaan Akta 792 memperluas bidang kuasa luar wilayah, cabaran sebenar terletak pada pembuktian niat jenayah (criminal intent) bagi kandungan janaan kecerdasan buatan (AI), sedangkan RUU Tadbir Urus AI turut tidak akan mengawal selia kandungan secara langsung.

Sejajar dengan cadangan Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin di Dewan Negara, kami menggesa kerajaan merealisasikannya segera menerusi:

(a) Meminda Akta 792 bagi memasukkan peruntukan kesalahan eksplisit berhubung pemilikan, penjanaan dan penyebaran CSAM berbentuk animasi, lukisan digital, sintetik mahupun AI.

(b) Meminda Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) untuk memperkenalkan anggapan boleh dipatahkan (rebuttable presumption) khusus bagi kandungan CSAM realistik. Pendakwaan kekal perlu membuktikan unsur kesalahan, tetapi pihak tertuduh yang mendakwa kandungan tersebut bukan sebenar atau bukan janaan AI perlu mengemukakan bukti sokongan bagi dakwaan itu, demi menutup ruang helah tanpa menjejaskan prinsip praduga tak bersalah.

2. Memperketat Sempadan Transaksi Digital dan Platform Media Sosial

Penglibatan kanak-kanak mengedar CSAM menerusi e-dompet dan PayPal secara jelas membuktikan kelompangan sistem pemantauan sedia ada. Kami menggesa MCMC, platform media sosial, dan penyedia perkhidmatan pembayaran (payment gateways) untuk:

(a) Mengintegrasikan perisian pengesanan hash seperti PhotoDNA (tertakluk lesen bagi organisasi layak) dan pengelas AI bagi mengesan animasi/kandungan baharu secara automatik.

(b) Memperketat eKYC (electronic Know-Your-Customer), proses pengesahan identiti pengguna secara dalam talian tanpa perlu hadir bersemuka khususnya bagi mengenal pasti pengguna bawah 18 tahun, serta memantau corak transaksi e-dompet yang mencurigakan secara berkala.

3. Pembinaan Ekosistem Perlindungan Holistik dan Hak Penyertaan Kanak-Kanak

Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai kerana keterbatasan kognitif dan emosi menjadikan mereka amat rentan kepada manipulasi digital. Kami ada menyediakan program berstruktur bagi mengisi jurang pencegahan ini:

(a) MAP – Modul IMPRESS (Ibu Bapa Memantau Pendidikan Reproduksi, Seksual & Sosial Anak-anak), Modul Prasekolah, dan Modul #BijakDuniaSiber.

(b) Wanita IKRAM Malaysia – Kempen SALAM dan Projek CELOTEH, membina keselamatan psikologi serta ruang anak-anak bersuara (child participation) agar tidak memendam rahsia.

(c) KIND – Pembelajaran Sosio-Emosi (SEL) dan latihan kepimpinan berteraskan khidmat komuniti.

Kami menyambut baik Sesi Libat Urus Pelan Tindakan PEKERTI 2026-2030 Siri 2 anjuran KPWKM dan LPPKN pada 23 September 2026 bagi memurnikan draf pelan tindakan tersebut serta kerjasama Latihan Jurulatih (ToT) Program PEKERTI merentasi enam zon bersama pelbagai NGO termasuk MAP dan Wanita IKRAM Malaysia.

Memandangkan draf ini masih dalam proses pemurnian, kami menggesa KPWKM memastikan komponen pencegahan eksploitasi seksual dan CSAM dimasukkan secara eksplisit dalam Pelan Tindakan PEKERTI 2026-2030.

4. Saringan Latar Belakang dan Pemulihan Mangsa

Kami menggesa KDN dan PDRM mewajibkan saringan latar belakang dan semakan rekod penjenayah bagi semua individu yang bekerja atau bersukarela dalam sektor jagaan dan pendidikan kanak-kanak.

Kami turut menggesa KKM, KPWKM, dan JKM mewujudkan laluan pemulihan psikologi yang lebih jelas, berstruktur, inklusif dan mesra kanak-kanak, khusus bagi mangsa dan pelaku CSAM yang turut bergelut dengan ketagihan pornografi.

5. Peralihan Istilah Berpaksikan Mangsa: CSAM Bukan “Pornografi”

Kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti memberi keizinan (consent) seksual. Justeru, sebarang bahan seksual melibatkan mereka, sama ada foto sebenar, animasi, mahupun janaan AI, adalah bukti jenayah penderaan, bukan “pornografi” atas persetujuan bersama.

Namun PDRM, media dan agensi kerajaan kini menggunakan sekurang-kurangnya tiga istilah berlainan: “penderaan”, “penganiayaan”, “eksploitasi”, manakala liputan media dan mahkamah masih menggunakan istilah “pornografi kanak-kanak” secara meluas. 

Kami menggesa kerajaan menyeragamkan satu istilah rasmi Bahasa Melayu bagi CSAM, dan memastikan istilah ini, dan bukan “pornografi kanak-kanak” digunakan secara konsisten dalam media, kenyataan rasmi dan wacana awam.

Kami menegaskan komitmen penuh untuk bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, sekolah dan masyarakat bagi memastikan ruang siber Malaysia selamat untuk anak-anak kita.

Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Dr. Fatimah Ahmad Fauzi
Pengerusi
Malaysians Against Pornography (MAP)

Puan Noor Habibah Rosli
Pengerusi
Pertubuhan Kanak-Kanak Idaman Nasional (KIND)

 

Nota rujukan:

Data dan rujukan perundangan dalam kenyataan ini bersumberkan kenyataan rasmi PDRM (Ops Pedo Bersepadu 3.0), Penyata Rasmi Hansard Dewan Negara (Julai 2026), laporan Disrupting Harm Malaysia (UNICEF/INTERPOL), data rasmi Internet Watch Foundation (IWF), serta Modul IMPRESS/MAP, Kempen SALAM & Projek CELOTEH Wanita IKRAM Malaysia, dan Profil Pertubuhan KIND.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia