REMBAU, 11hb Julai – Majlis bacaan Yasin dan Tahlil telah diadakan secara atas talian bermula pada pukul 8. 00 malam. Majlis ini dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Rembau dengan kerjasama Persatuan Briged Sukarelawan UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau yang telah dihadiri oleh 123 orang peserta terdiri daripada Ahli IKRAM Negeri Sembilan, MPKK Rembau, ahli Persatuan Briged Sukarelawan, pelajar-pelajar UiTM Rembau dan ahli keluarga al-Marhum.
Antara objektif majlis adalah menzahirkan ucapan takziah kepada ahli IKRAM yang telah kehilangan ahli keluarga, memberi pengisian kerohanian kepada pelajar-pelajar UiTM Rembau yang akan menduduki peperiksaan akhir serta mendoakan ahli IKRAM Rembau, pelajar-pelajar UiTM dan seluruh rakyat Malaysia agar dijauhi daripada wabak Pandemik Covid-19. Majlis ini dipengerusikan oleh Nurin Aneesyah Binti Mohd Rafi daripada Persatuan Briged Sukarelawan. Seterusnya majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Haji Mohd Misri Bin Dolah Kanan merupakan Yang Dipertua IKRAM Rembau. Beliau memulakan ucapan dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir dan menerangkan bahawa seorang ahli Pertubuhan IKRAM Rembau iaitu Puan Hajah Jawiah Binti Darmawan yang merupakan Ketua Wanita IKRAM Rembau telah kehilangan abang kandungnya Haji Musa Bin Darmawan pada 31 Mei 2021 disebabkan positif covid. Selain itu, seorang ahli IKRAM Kuala Pilah iaitu Ustazah Nurul ‘Izzah Binti Che Mohamed juga telah kehilangan ayahnya Haji Che Mohamed bin Che Hussin yang telah kembali ke rahmatullah pada 3 Julai 2021 disebabkan kanser hati. Di samping itu, Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil ini telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Sairin bin Sarlan Penasihat dan Jurulatih Institusi Pengurusan Masjid UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.
Pada akhir majlis ini Ustaz Sairin juga telah membacakan doa selamat agar pelajar-pelajar dapat menjawab peperiksaan dengan tenang. Pihak penganjur program juga telah menyediakan e-sijil kepada semua peserta yang hadir. Hasil daripada program ini mendapati 51.6% yang bukan terdiri daripada ahli IKRAM berminat untuk dihubungi melalui program-program yang dianjurkan pada masa akan datang manakala 41.1% juga menyatakan berkemungkinan boleh dihubungi untuk hebahan program.
Semoga program seperti ini dapat merapatkan hubungan antara manusia dengan Allah SWT dan menyuntik semangat kepada semua pelajar agar memperoleh kejayaan cemerlang.
#BinaNegaraRahmah
#IKRAMRembau
#IKRAMNS