Ayuh Bersama Perangi Pornografi

hentikan porno

Kes yang telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan anggota masyarakat ini turut memberi kesan kepada Wanita Ikram Wilayah Persekutuan yang secara serius turut sama mengikuti perkembangan berita yang menggemparkan ini.

Secara sedar atau tidak, antara faktor utama kepada permasalahan ini adalah berleluasanya bahan-bahan pornografi di internet. Di Malaysia, statistik penggunaan internet saban tahun meningkat sehinggakan pada tahun 2014, pengguna internet di Malaysia mencapai hampir 25 juta orang.

Industri pornografi internet pula pada masa yang sama memberi pulangan besar kepada keuntungan dunia hingga mencecah AS$291 billion pada Jun 2014, di mana 12% dari seluruh laman web di dunia merupakan jaringan pornografi. Statistik Google Trends melaporkan Malaysia menduduki tangga ke-8 bagi negara paling banyak pencari maklumat berkaitan pornografi.

Kajian menunjukkan 9 dari 10 kanak-kanak dan remaja berumur antara 8-16 tahun pernah melayari laman web lucah samada secara sengaja atau tidak sengaja ketika mencari maklumat berkaitan kerja sekolah. Semua ini benar-benar kritikal dan membimbangkan!

Pornografi jelas memberi kesan buruk kepada individu, masyarakat dan negara dan ditolak oleh semua agama dan tamadun. Islam jelas melarang individu Muslim dari melakukan perbuatan yang melalaikan (lagha) dan boleh membawa kepada zina seperti firman Allah swt:

[quote width=”auto” title=”( Al-Israa’:32)”]“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”[/quote]

Pornografi juga membawa kesan sosioekonomi yang buruk termasuk menurunnya prestasi akademik (pelajar), mengurangkan produktiviti (pekerja), mengeruhkan hubungan kekeluargaan dan kesan-kesan psikologi kepada pengamalnya, seperti ketagihan, sikap anti-sosial, kurang keyakinan diri dan lain-lain. Lebih buruk lagi apabila gejala ini membawa kepada jenayah seksual dan berat yang melibatkan mangsa kanak-kanak.

Bersempena dengan Hari Ibu yang jatuh pada hari ini, Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan mengajak seluruh kaum ibu untuk bersama memerangi pornografi di dalam kempen “Mothers Against Pornography”.

Sudah tiba masanya untuk kaum ibu sebagai guru pertama anak-anak, di samping semua anggota masyarakat untuk bersama melancarkan perang terhadap pornografi secara serius dan bersungguh-sungguh.

Wanita Ikram Wilayah Persekutuan dengan ini menyeru:

  1. Kaum ibu berusaha untuk membimbing dan membenteng anak-anak dari gejala yang merosakkan sejak dari peringkat awal umur lagi. Ibu secara khusus perlu berperanan memastikan anak-anak membesar dengan asas pendidikan yang sempurna. Di dalam Islam, usaha membenteng diri anak-anak dari pengaruh seks dididik sejak dari kecil lagi; dimulakan dengan adab meminta izin untuk masuk ke bilik ibubapa. Pendidikan Islam juga merangkumi penjagaan aurat, pemeliharaan kehormatan serta adab menjaga pandangan bagi kedua-dua anak lelaki dan perempuan. Ini bagi menjaga agar anak-anak tidak terjerumus di dalam kes jenayah seksual serta aktiviti tidak sihat dan tidak bermoral sebagaimana yang sering kita lihat rambang dan melata di mana-mana.
  2. Kaum ibu mengambil inisiatif di rumah dengan menyekat laman web yang memberi kesan negatif terhadap anak-anak dengan memasang perisian penapisan kandungan komputer. Ini bagi memastikan penggunaan internet yang lebih selamat di kalangan kanak-kanak dan remaja.
  3. Pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang yang lebih keras dan komprehensif terhadap jenayah yang melibatkan pemilikan dan penyebaran bahan pornografi. Semua undang-undang sedia ada melibatkan kesalahan berkaitan pemilikan dan penyebaran pornografi perlu dilaksanakan dengan tegas tanpa prejudis.
  4. Pemantauan di kafe-kafe siber perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan penggunaan internet secara selamat di kalangan kanak-kanak. Masyarakat bukan sekadar mahu melihat pembentukan modal insan yang bijak tetapi juga jiwa sejahtera yang tidak disogok oleh kebanjiran pornografi di internet.
  5. Pihak-pihak berkepentingan termasuk pakar psikologi, kaunselor dan badan-badan bukan kerajaan mengambil peranan membantu pesalah seks menjalani proses dan pelan pemulihan yang berkesan bagi membantu mereka membina hidup baru serta tidak lagi mengulangi jenayah yang sama.

Kesimpulannya, seluruh anggota masyarakat di semua peringkat perlu memberi keutamaan kepada usaha memerangi pornografi secara serius bagi memastikan generasi yang akan terbina bebas dari pengaruh dan ketagihan terhadap pornografi yang pasti mampu meruntuhkan akhlak insan dan ketamadunan umat manusia.

Kami para ibu sayangkan anak-anak kami dan mahu mereka mewarisi kehidupan yang sejahtera di bumi Malaysia yang kami cintai.

Kami sayang anak-anak kami!
Kami sayang Malaysia!
Ayuh seluruh kaum ibu kita bersama perangi pornografi!

Selamat Hari Ibu. [clear]

Dr Niekmah Haji Adam
Ketua Wanita
Pertubuhan Ikram Wilayah Persekutuan

Syawal Permulaan Baharu. Raya bersama IKRAM dengan klik gambar di bawah.

[supsystic-social-sharing id='1']
Author picture

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia