SERI KEMBANGAN – Cakna dengan situasi, perhatian dan keperluan penting menyantuni warga emas, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melancarkan Pelan Tindakan Santunan Warga Emas khusus untuk ahli-ahlinya.
Pelan tindakan itu dilancarkan secara rasminya semasa Sidang Dewan Perwakilan Nasional (DPN) kali ke-13 oleh Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin pada Ahad lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Ahli, Dr Maznah Ahmad, mereka yang berusia 60 tahun ke atas dalam kalangan ahli IKRAM adalah berjumlah 3,593 orang iaitu 11.81 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Tambahnya, tiga IKRAM negeri yang memiliki peratus warga emas tertinggi dalam kalangan ahli ialah Kelantan (18.44%), Johor (14.20%) dan Selangor (13.06%).
“Pelan Tindakan Santunan Warga Emas yang dilancarkan untuk ahli IKRAM ini khusus untuk mencapai beberapa objektif iaitu bagi meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan warga emas dan mewujudkan pejabat IKRAM yang mesra warga emas dengan memenuhi ciri-ciri keselamatan dan mudah akses,” kata beliau.
Jelasnya, pelan tindakan itu juga akan merangka program yang tersusun mengikut jadual bagi mengisi keperluan mental, spiritual dan kebersihan diri warga emas dalam kalangan ahli.
“Kita juga akan membuat pemantauan dan memberi maklum balas pelaksanaan pelan ini di kawasan, dan juga berusaha memelihara kebajikan dan kesejahteraan ahli sebagai warga emas dan penjaga,” ujarnya.
Antara pelan tindakan yang dirancang IKRAM ialah mengadakan Kempen Santunan Warga Emas, soal selidik kesediaan santunan, mengenal pasti jumlah mengikut kategori, membina takungan ‘caregivers’ dan melancarkan Program Jagaan Warga Emas.
“Semoga pelaksanaan pelan tindakan yang dirancang ini mencapai hasrat IKRAM menyantuni warga emas dalam kalangan ahli di samping memberi sokongan kepada ahli yang menjaga warga emas sebagai ‘caregivers’ insya-Allah,” kata Dr Maznah lagi.