Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara rejim Zionis yang mengorbankan tiga anak lelaki Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan empat cucunya di Gaza pada Rabu.
IKRAM amat sedih dan bersimpati atas kejadian serangan yang berlaku ke atas kem al-Shati di utara Gaza, yang menggambarkan kezaliman berterusan rejim Zionis dan menyerlahkan lagi sikap biadab dan pengecut mereka tanpa sedikit pun nilai kemanusiaan.
Saat umat Islam khususnya di Gaza sepatutnya bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan menziarahi satu sama lain, pada ketika itulah mereka diserang dengan ledakan bom.
IKRAM mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Ismail Haniyeh atas pemergian anak dan cucunya, serta beberapa orang warga Gaza yang kesemuanya gugur sebagai syuhada dalam serangan terbaharu tersebut.
IKRAM yakin tragedi ini tidak sekali-kali melemahkan semangat seluruh pejuang pembebasan di sana, bahkan menjadi api yang terus membakar obor perjuangan menentang rejim Zionis laknatullah.
IKRAM akan tetap berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin dalam mengembalikan tanah Palestin kepada rakyatnya, memastikan keamanan dan keadilan tertegak semula, sekali gus menoktahkan keangkuhan Israel dan sekutunya di muka bumi ini.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia