“Penganjuran sebuah ekspo vape secara terbuka dan besar-besaran ini sangat membimbangkan dan ia jelas bertentangan dengan dasar dan polisi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok,” kata Dr Mohd Afiq Mohd Nor, Setiausaha IKRAM Health.
Jelas beliau, ekspo ini boleh membuka peluang kepada pengunjung-pengunjung di bawah umur untuk menyertainya.
“IKRAM Health menggesa pihak kerajaan melalui KKM untuk menjalankan penyiasatan terhadap kelulusan penganjuran ekspo ini yang dilakukan secara terbuka serta turun padang bagi menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan untuk melanggar undang-undang yang sedia ada,” tegasnya.
Dr Afiq turut mengingatkan bahawa pengambilan vape mempunyai kesan-kesan sampingan yang jelas terbukti berbahaya kepada paru-paru melalui kajian-kajian yang telah dijalankan. Pengambilannya juga bukanlah langkah sebenar atau alternatif untuk berhenti merokok.
“IKRAM Health juga mengajak umat Islam agar menghormati fatwa tentang vape yang telah dibincangkan dan diputuskan secara syarak dalam Irsyad Fatwa ke-63 Mufti Wilayah Persekutuan pada 21 Oktober 2015 yang telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik dan ‘vapor’,” ujarnya.
IKRAM Health turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas daripada amalan merokok, vape dan shisha.
Kenyataan Media penuh: http://bit.ly/2owDe3x