KUALA LUMPUR – Bagi memahami seni budaya Cina, delegasi Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menghadiri program Cultural Art Performance by ACFROC China for Celebrating 50th Anniversary of Malaysia- China Diplomatic Relations pada Khamis, 13 Jun lalu di KLCC Convention Centre, di sini.
Persembahan seni budaya ini dianjurkan bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) dan 11 pertubuhan Cina bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Delegasi IKRAM dihadiri Presiden Hj Badlishah Sham Baharin, Timbalan Presiden Jusni Yusoff, Setiausaha Agung Hj Shahrul Aman Mohd Saari, Ketua IKRAM Muda Khairul Anuar Kamaruddin dan lebih 60 ahli IKRAM dan keluarga.
Dalam pada itu, IKRAM merakamkan penghargaan kepada Huazong atas jemputan ke program tersebut dan berharap hubungan dan persefahaman antara kedua-dua pihak dapat diperkukuhkan dalam membina keharmonian.
“Terima kasih Huazong atas jemputan ke program ini, melaluinya kami dapat memahami seni budaya Cina di samping merapatkan hubungan antara kaum di Malaysia,” kata Hj Shahrul Aman.
Di samping itu, beliau mengharapkan program sebegini akan terus memperkasa hubungan persahabatan antara Malaysia dengan China yang sudah terjalin lebih lima dekad.
Tahun 2024 menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China, berikutan pemeteraian Kenyataan Bersama (Joint Communique) antara Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Chou En-Lai pada 31 Mei 1974.
Bagi menyambut ulang tahun penting ini, beberapa siri program dan aktiviti dirancang, termasuk pertukaran lawatan peringkat tinggi, pengeluaran setem peringatan, forum perniagaan dan persembahan kebudayaan.