SERI KEMBANGAN – Islam harus difahami secara syumul dan umat Islam perlu membudayakan amalan agama yang benar dalam masyarakat.
“Islam itu mudah, tetapi bukan untuk dipermudahkan. Prinsipnya jelas, cuma kita perlu memahami maqasid atau tujuan di sebalik setiap amalan,” ulas Dr. Azman Hussein dalam Program Bicara islam Rahmah ketika membedah bukunya, “Islam Simplified: Understanding Islam Through Its Goals” yang bersumberkan syarahan Dr. Tareq al-Suwaidan, seorang sarjana dunia Islam kontemporari.
Program Bicara Islam Rahmah “Mudahnya Islam, Kenapa Nak Susahkan?” pada 16 September lalu merupakan anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melalui Jabatan Pendidikan Masyarakat.
Menariknya, bicara ini turut boleh ditonton secara “live” di Facebook IKRAM di samping program fizikal di Dewan Utama IKRAM.
Buku yang ditulis oleh Dr. Azman Hussein sendiri menawarkan pandangan mengenai cara memahami Islam dengan lebih mudah tanpa mengorbankan prinsip-prinsip asasnya hingga menjadikannya longgar atau terlalu liberal.
Azman menekankan kepentingan memahami Islam secara menyeluruh, bukan hanya dari aspek syariah. Jelasnya, “Jika kita memahami Islam melalui kerangka maqasid syariah, kita akan dapat melihat keindahan dan keseimbangan antara tuntutan agama dan kehidupan.”
“Menjadikan Islam mudah bukan bermaksud kita mengurangkan tuntutan syariat, tetapi kita menyesuaikan pelaksanaannya dengan kemampuan dan situasi tanpa mengabaikan objektifnya.”
“Tidak ada agama yang lebih sempurna daripada Islam. Jika kita melihat Islam itu susah, mungkin cara kita memahami atau mempraktikkannya yang tidak tepat.”
Azman ialah seorang penulis prolifik dan kontemporari yang tidak asing lagi dalam penulisan berbentuk dakwah dan kepimpinan Islam. Karya buku beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Dr. Ahmad Zainuddin Abdullah bertajuk “Mudahnya Islam: Memahami Islam Melalui Matlamatnya.”
Inisiatif program Bicara Islam Rahmah ini bertujuan membuka ruang dialog tentang isu-isu keagamaan dalam konteks masyarakat moden serta menjambatani jurang generasi dengan menyajikan Islam secara relevan dan menarik bagi generasi muda.
Program ini mengetengahkan tiga perspektif utama Islam iaitu matlamatnya, al-Quran sebagai panduan dan Nabi Muhammad sebagai contoh teladan.
IKRAM berharap siri ini dapat menyebarkan pemahaman Islam Rahmah yang syumul, mendorong pembaikan sikap terhadap kesempurnaan Islam serta membudayakan amalan Islam yang benar dalam masyarakat.