“Program yang julung-julung kali diadakan ini menawarkan kepada orang ramai peluang untuk berbuka puasa sambil menyumbang kepada tabung kemanusiaan MyCARE,” kata Dr Mohd Tahir Abd Rahman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE dalam majlis pelancaran program tersebut semalam.
Program ini akan berlangsung selama 3 minggu dari 1 hingga 27 Ramadhan atau 6 Jun hingga 2 Julai bertempat di The Space Grand Ballroom, Bukit Jelutong, Shah Alam.
Harga untuk satu pakej iftar adalah RM58 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak dengan diskaun 10% untuk tempahan awal atau tempahan atas talian. Sebahagian daripada kos pembelian pakej iftar akan disalurkan ke tabung kemanusiaan MyCARE.
“Selain menawarkan lebih 100 jenis juadah berbuka puasa, para penyumbang yang membeli pakej iftar akan disajikan dengan pelbagai aktiviti dan program iringan untuk membantu meningkatkan kemanisan ibadah di bulan Ramadan sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui perkembangan saudara-mara seagama di Palestin, Syria, Iraq dan seumpamanya,” jelas beliau.
Antara aktiviti iringan yang ditawarkan dalam program ini adalah iftar bersama selebriti kemanusiaan, tazkirah isu kemanusiaan, solat tarawih berjamaah bersama Imam Palestin dan Syria, qiyamullail, pameran kemanusiaan MyCARE, tayangan video kemanusiaan, lelongan amal dan persembahan kumpulan nasyid Saff One.
Tambah Dr Tahir, MyCARE mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM100,000 melalui program ini di mana dana yang diperoleh akan disalurkan ke tabung kemanusiaan MyCARE khususnya Tabung Kemanusiaan Aleppo (Syria), Tabung MyIntifada (Palestin) dan Tabung Penajaan Anak Yatim (Palestin dan Syria).
Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan dan menyumbang melalui Iftar Kemanusiaan Perdana ini boleh menghubungi The Space atau layari www.islamicevents.my/khidmah/40.
Sumber: MyCARE