Ia juga turut ditegaskan Yang Dipertua IKRAM Kawasan Batu, Haji Omar Ismail semasa merasmikan program yang berlangsung pada Sabtu, 4 November lalu di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda.
Tambahnya, anak-anak mempunyai banyak sumber pembelajaran seksual iaitu daripada kawan-kawan, Internet, buku, guru dan lain-lain. Ajaran daripada ibu bapa menjadi sumber paling berkesan untuk memberi kefahaman yang menyeluruh dan positif tentang seksualiti mereka.
“Seksualiti bukan semata-mata perhubungan fizikal sahaja malah komponen seksualiti merangkumi psikologi, sosial, politik, sejarah, spiritual, ekonomi, etika, budaya, agama dan perundangan,” kata Konsultan Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan UKM, Prof. Dr. Harlina Halizah Siraj.
Jelasnya, pada abad ke-21 ini, ibu bapa perlu memberikan makna yang baru kepada anak-anak tentang KSr dan tidak boleh lagi mengambil sikap terlalu konservatif yang menutup ruang perbincangan ibu bapa dan anak tentang topik ini.
Dalam masa yang sama, ibu bapa juga tidak boleh mengamalkan sikap terlalu liberal yang memberi kebebasan tanpa landasan yang boleh membawa penyesalan di kemudian hari.
Sikap yang seimbang perlu dimainkan di mana ibu bapa perlu mempersiapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan KSR untuk mendidik anak menjadi bijak membuat keputusan yang tidak membawa mudarat kepada diri mereka.
“Anak perempuan yang terdedah dengan ancaman perlu diajar dengan sentuhan yang sesuai dan “Do and Don’t” untuk melindungi diri, anak lelaki pula perlu dididik dengan perlindungan diri berserta kawalan diri supaya tidak menjadi mangsa dan pemangsa,” demikian ulasan Certified Parenting Coach, SMART Parenting, Encik Zaid Mohamad.
Slot forum pula menerima banyak persoalan yang diajukan oleh peserta yang hadir antaranya mengenai kesesuaian golongan bapa mengiringi anak perempuan mereka ke tandas, tindakan ibu bapa yang menghalang anak-anak keluar berkawan kerana bimbangkan keselamatan mereka dan cara menerangkan KSR kepada anak-anak yang masih kecil.
Turut ditanya adalah cara mendidik beberapa orang anak remaja yang mempunyai karenah yang merisaukan ibu bapa dan kesesuaian menggunakan amaran tegas kepada anak-anak supaya menjauhi perkara yang tidak bermoral.
Slot forum KSR dimoderator oleh Pengurus PAKSI yang juga aktivis MAP dan Ketua Wanita IKRAM Kawasan Batu, Puan Hajah Faridah Maludin. Turut hadir Puan Siti Zaiton Abdul Aziz, Ahli Jawatankuasa Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Program setengah hari ini dianjurkan oleh Wanita IKRAM Batu dengan kerjasama SRI Al-Amin Gombak, Parent-Teacher Association of Al-Amin Kota Mas School, Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga (PAKSI IKRAM), Malaysians Against Pornography (MAP) dan Masjid Saidina Hamzah.
Dihadiri seramai 102 orang peserta, kursus keibubapaan sebegini diharapkan boleh memberi pengetahuan dan cara ibu bapa memberi peranan dalam KSR untuk anak remaja memasuki alam remaja.
#TalkNowProtectAlways