Di samping itu, operasi BBNGO yang berpusat di Pejabat Askar Wataniah, Kompeni 12 (Ubat) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini juga bertujuan untuk mengelakkan pertindihan kerja yang terhasil apabila sesebuah NGO berkerja secara bersendirian untuk mengagihkan bantuan banjir.
Selain IKRAM, NGO-NGO yang menyertai gabungan ini ialah HALUAN, IMARET, IKRAMHealth, PAPISMA, DPMM Kelantan, Kelab Doktor Pakar Kelantan, Kelab Ekspedisi Kelantan, Gabungan NGO Kelantan, Institusi Jurutera Malaysia cawangan Kelantan, Royalti, MERCY, MACMA dan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).
Menurut Pengerusi BBNGO, Prof Dr Dinsuhaimi Sidek, gabungan NGO ini terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kebanyakannya daripada mereka yang mempunyai kaitan dengan profesion perubatan dan mempunyai sokongan sukarelawan lebih daripada 500 orang.
“Gabungan ini mendapat sokongan daripada pihak USM melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, dan juga Kompeni 12 (Ubat) yang telah memberikan ruang untuk beroperasi di sini, maka pusat operasi bantuan banjir telah beroperasi dengan jayanya dengan pelbagai kemudahan komunikasi dan logistik,” jelas beliau.
Berfungsi dalam kerja pemulihan dan rawatan perubatan untuk mangsa banjir, BBNGO menghargai komitmen Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan kerana telah menghantar wakilnya untuk memudahkan kerja-kerja pemulihan dan perubatan di pusat operasinya.
Tambah Dinsuhaimi, Pusat Operasi BBNGO ini telah dilawati oleh Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr. S Subramaniam, Menteri Pendidikan, Dato’ Sri Idris bin Jusoh, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Mustapa Mohamad (MITI) dan pegawai-pegawai tinggi kementerian di samping memberi taklimat operasi kepada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) yang dipengerusikan oleh Dato’ Mustapha sendiri.
“Kami telah melakukan misi bantuan banjir merangkumi jajahan Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang selain tempat berdekatan di jajahan Kota Bharu,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengarah i-Bantu Kelantan berkata, purata misi yang keluar pada setiap hari adalah 8-10 misi dan ada juga sebanyak 22 misi dalam sehari dengan 50-100 sukarelawan hadir setiap hari di mana separuhnya adalah dalam kalangan doktor, dengan purata 50 tan bahan makanan kering di samping ubat-ubatan.
Selain itu tambah beliau, pihaknya menghargai semua pihak yang telah menyumbang dalam bantuan banjir daripada pelbagai persatuan seperti Old Boys of SDAR (SDARA) dan Old Boys of RMC (Putera) yang telah memberi perkhidmatan helikopter di samping individu-individu yang datang ke Pusat Operasi tersebut untuk menghantar barang-barang sumbangan mereka dan juga sukarelawan gabungan itu yang datang dari seluruh negara dan sebahagian besar mereka mengambil cuti kerja.
Sumber: http://on.fb.me/1DdRaE7
FB BBNGO: https://www.facebook.com/opsbanjirkelate