Namun begitu menurutnya, ia tidak bermakna beliau menganggap bahawa kerajaan secara umum tidak bertanggungjawab kepada masalah anak muda.
“Kalau kerajaan telah bijak mengurus kewangannya, maka, mungkin kerajaan akan ada tabung untuk membantu anak muda dengan membina rumah yang banyak untuk disewakan kepada rakyat,” tambahnya.
“Walau bagaimanapun, jika sistem kewangan yang berpaksikan kepada industri hutang masih diteruskan, maka lambat laun kerajaan masih tidak akan dapat menyelesaikan masalah harga rumah yang mahal, ini mungkin kerana ramai anak muda akan masih gemar meminjam dari bank untuk membeli rumah dan oleh itu harga rumah akan masih naik juga”.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyarankan anak muda menyewa rumah berbanding membeli untuk mengelakkan menanggung hutang jangka panjang yang besar.
Namun, kenyataan menteri tersebut telah disalahertikan yang menganggap bahawa rakyat Malaysia digesa tidak membeli rumah tetapi terus menyewa.
“Kalau perkiraan kita ialah keuntungan peribadi kita semata-mata, memang beruntung kalau beli rumah sekarang walaupun berhutang sebab rumah akan naik harga,” kata Nazari dalam satu komennya di Facebook.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana masyarakat hari ini dapat menjamin keadaan kewangan yang tidak akan terjejas selama 30 tahun untuk membayar pinjaman perumahan kerana jika tidak, mereka akan berhadapan dengan kemuflisan.
“Harga rumah sekarang sangat mahal untuk anak muda adalah kerana kesilapan generasi saya dan sebelum saya yang bertindak berhutang dengan bank untuk membeli rumah. Jangan ulang kesilapan itu jika kita kasihan kepada generasi akan datang”, komennya lagi.
Katanya lagi, jangan salah faham bahawa beliau ‘anti pemilikan rumah’.
“Saya hanya ‘anti orang berhutang dengan bank’ saja.”
Beliau turut menggalakkan jika ada mereka yang boleh membeli rumah tanpa berhutang dengan bank seperti berhutang dengan saudara mara atau kepada badan yang tidak mencari keuntungan daripada hutang.
“Itu adalah perkara yang baik. Yang tidak baik ialah menyumbang kepada keuntungan industri perbankan,” ujarnya.