Hilangnya sebutir permata kebajikan

Kepakaran beliau dalam bidang hartanah digunakan sebaik mungkin untuk menjayakan projek-projek kemasyarakatan dan kebajikan buat manfaat ummah. 

Tarikh 18 Februari 2016 bersamaan 10 Jamadilawal 1437H, hari Khamis malam Jumaat, jam 11.17 malam rupa-rupanya menjadi detik akhir persinggahan beliau di dunia yang fana ini untuk terus ke alam abadi menemui Pencipta-Nya. Di hadapan isteri tercinta, Hajah Faizah Ashari dan anak sulungnya, Yasser, almarhum Zulkefli menghembuskan nafasnya yang terakhir di Wad CCU Hospital Serdang akibat sakit jantung pada usia 51 tahun.

  

“Ayah mula mengalami sesak nafas pada Subuh hari Rabu,” cerita Yasser, 24. “Ana pun bawa ayah ke Hospital Columbia Asia. Doktor mengesyaki ayah mengalami masalah jantung, tetapi disebabkan peralatan di sana tidak mencukupi, mereka merujuk ayah ke Hospital Serdang dan ayah dikejarkan ke sana dengan sebuah ambulans.”

Pemeriksaan jantung sebanyak dua kali di Hospital Serdang mendapati almarhum Zulkefli mengalami masalah pneumonia, namun menjelang tengah malam beliau dilihat beransur sihat dan sudah mula mahu makan.

“Kami, ahli keluarga tidak mengesyaki sesuatu yang lebih buruk kerana kes seperti itu bukan kali pertama berlaku ke atas ayah. Doktor pun beritahu ayah mungkin akan dipindahkan ke wad biasa,” kata Yasser lagi. Tenang dan tersusun butir bicaranya walaupun kecamuk jiwanya hanya Allah yang tahu.

Namun, takdir Tuhan tiada siapa boleh menduga. Pada keesokannya (Khamis), tekanan darah almarhum tiba-tiba jatuh mendadak. Kesihatan beliau terus merosot. Doktor telah menjalankan pelbagai usaha tetapi keadaan beliau semakin tenat. Menjelang Maghrib, almarhum mula nazak. Dan tepat jam 11.17 malam itu, beliau dijemput menghadap Ilahi. Allahuakbar… sungguh pantas masa berlalu.
Meninggalkan balu, Hjh Faizah Ashari serta lima orang anak, pemergian beliau memberikan kesan yang mendalam terhadapat sahabat-sahabat seperjuangan yang sama-sama digerakkan sejak zaman kampus sehingga kini.

Dilahirkan pada 21 April 1965 di Kedah, beliau mendapat pendidikan SPM dan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMKKJ) di Sungai Petani pada tahun 1982 dan 1984. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM) di Shah Alam.

Apa kata mereka?

Pemergian almarhum Zul Bos mengejutkan ramai pihak terutama sanak saudara dan sahabat-sahabatnya. Masing-masing mungkin teringatkan kelibat beliau yang aktif melaksanakan kerja-kerja dakwah dan senyuman yang sering terukir di bibirnya biarpun dalam kepenatan. Bahkan ada yang baru berjumpa dengannya atau berbual melalui telefon pada hari Selasa.

Kita ikuti apa kata sahabat-sahabat rapat almarhum mengenai diri beliau:

Yang Dipertua IKRAM Bandar Tun Razak, Hj Abdul Rahman Hussein, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Rendah Islam Al-Amin Cheras Selatan (SRIAACS) menganggap almarhum sebagai seorang yang gigih, tegas dan berani.

“Yang paling ketara adalah sikapnya yang sentiasa mahu membuat sesuatu sehingga berjaya (make things happen). Apa-apa tugasan yang diberikan kepada beliau boleh kita anggap beres disebabkan cara kerjanya yang efisien,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, dalam membangunkan SRIAACS sejak pertengahan 2013, almarhum banyak terlibat dari segi perancangan, kewangan dan terutamanya infrastruktur dan bangunan. Pada tahun ini, disebabkan sekolah akan mula beroperasi di bangunan baharu, almarhum semakin bekerja keras dan sering dilihat berada di tapak sekolah baharu pada hampir setiap malam untuk menyelesaikan kerja-kerja, khususnya dalam bidang infrastruktur yang mana beliau adalah ketua jawatankuasanya.

“Arwah Zul juga dulu bergiat cergas dalam JIM Cheras, dilantik sebagai Setiausaha JIM Kuala Lumpur, dan mulai 2010 menjadi ahli IKRAM Putrajaya. Beliau juga adalah Setiausaha Yayasan Bunga Raya dan terlibat dengan MUAFAKAT (sebuah NGO). Kebanyakan aktiviti beliau melibatkan pengumpulan dana dan sumbangan untuk diagihkan kepada masyarakat.

“Pendek kata, di mana sahaja beliau berada, beliau menjadi penggerak. Paling menonjol adalah sifat amanah beliau terhadap apa-apa kerja yang diberikan, beliau melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Inilah satu sikap yang perlu dicontohi oleh kita yang masih tinggal ini,” Hj Abdul Rahman menjelaskan.

Syafeeq Roslan, 26, seorang staf yang berkhidmat dengan syarikat yang diasaskan almarhum, IPC Island Property Consultants Sdn Bhd berkata, almarhum seorang yang benar-benar berilmu dalam kerjayanya.

    

Mesyuarat bersama IKATAN, MAKPEMKL dan sumbangan untuk Hidayah Centre Sabah

“Beliau berpengalaman luas dalam bidang penilaian kerana pernah bekerja lama dengan UDA Holdings Bhd. Beliau juga tidak kedekut ilmu. Kalau ada kerja yang staf tak tahu buat contohnya, beliau akan membantu dengan senang hati. Kebajikan staf dijaga dan kami selalu diraikan,” ujarnya.

Kini, IPC yang diasaskan almarhum bersama dua rakan kongsinya mempunyai sembilan cawangan di seluruh Malaysia termasuk Sarawak.

Menceritakan penglibatan almarhum dalam tarbiah, Hj Mohd Khairuddin Abdul Halim, naqib usrah beliau berkata, almarhum selalu menawarkan agar usrah dibuat di rumah beliau di Bandar Tun Hussein Onn.

“Almarhum Zul sangat konsisten dan komited dengan usrahnya. Rabu malam Khamis lepas sepatutnya kami bertemu lagi tapi tiba-tiba senyap… tiada khabar berita. Apabila saya menelefon beliau, anaknya Yasser menjawab. Dia beritahu ayahnya dimasukkan ke wad. Kami pun cepat-cepat bersiap untuk menziarahinya,” kata Khairuddin.

Menurut beliau, almarhum Zul adalah ahli yang aktif dalam IKRAM Putrajaya. Dan beliau juga sememangnya sangat aktif dalam aktiviti bantuan kemanusiaan melalui Yayasan Bunga Raya yang beliau menjadi Setiausaha dan Ahli Lembaganya.

Contohnya, Yayasan pernah membantu para pelajar Malaysia di Mesir yang tidak cukup duit belanja, membantu mangsa banjir, menyumbang untuk Hidayah Centre Sabah, menyumbangkan sebuah van kepada MyCARE, menjayakan program ‘Back To School’, menaja majlis khatan anak-anak orang miskin dan memberi makan anak-anak yang miskin di sekitar Cheras.

Beliau juga terlibat dengan IKATAN Wilayah Persekutuan, membina rumah anak yatim di Kedah dan menjayakan program ibadah korban di Kemboja.

Bekas YDP JIM Cheras, Hj Ahmad Jamali Sepihie turut menghimbau kembali kenangan bekerja bersama-sama almarhum Zul ketika penubuhan JIM Cheras dahulu, yang mana almarhum menjadi setiausahanya. Antara usaha yang berjaya dilaksanakan adalah memulakan operasi Tadika Amal di sana.

Bagi Hj Jamali, almarhum memang dikenali sebagai seorang yang sangat berdedikasi, profesional, sistematik, tegas, berani membuat keputusan dan disukai ramai sebab suka membantu orang yang dalam kesempitan.

Mantan Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Hj Syed Ibrahim Syed Noh pula menukilkan dalam facebooknya, “Arwah Zul antara yang banyak membantu keluarga tahanan ISA dahulu dan sering bersedia membantu dalam kerja-kerja dakwah dan kemasyarakatan bersama JIM dan IKRAM.”

“Kita bertemu ketika sama-sama berusia dua puluhan, bersama mengenal dan membangun dakwah dan tarbiah di kampus, kemudian bersama mengggerakkan JIM dan kini IKRAM,” dalam coretan Setiausaha Agung IKRAM, Hj Nahar Md Nor.

Menurut bekas Presiden JIM yang kini Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Klang, YB Hj Saari Sungib, Almarhum merupakan antara sahabat yang banyak membantu keluarganya ketika beliau ditahan di bawah akta zalim ISA.

Akhirnya, salah seorang rakan rapat almarhum yang juga Penasihat IKRAMTeens, Mohd Hafiz Abdul Hamid (Hafiz Bai), apabila diminta menyebut dua perkara yang paling beliau ingat mengenai almarhum, memberitahu, yang pertama adalah sumbangan ekonomi dan infak kepada IKRAM, manakala yang kedua adalah kesediaan beliau yang tinggi untuk menghantar anak-anak dalam program-program remaja seperti Madrasatul Hayah IKRAM (MHI).

“Ana cukup rapat dengan arwah Zul terutama kerana kami pernah bersama-sama sebagai AJK JIM Kuala Lumpur suatu masa dulu. Beliau adalah Setiausahanya. Kami juga pernah berjaulah ke Singapura, malahan menginap dalam bilik yang sama.

“Kebanyakan anak-anaknya mengikuti program yang ana kendalikan, tiga orang anak arwah adalah alumni MHI… keluarga kami juga rapat, isteri, anak-anak… Yasser adalah anak usrah ana,” jelas Bai dalam suara perlahan. Pasti banyak lagi kenangan menelusuri kehidupan bersama sahabat istimewa ini yang terabadi dalam memorinya.

Amal dakwah, kebajikan dan kemasyarakatannya turut terserlah melalui pelbagai sumbangan dalam beberapa NGO dan badan pembangunan masyarakat antaranya menjadi Ahli Majlis bagi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAKPEMKL) sesi 2013-2015 dan Penolong Setiausaha Pertubuhan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan (IKATAN) sesi 2013-2015.

Ayah happy…

Sementara itu Yasser, sebagai anak sulung dalam keluarga redha dengan pemergian ayahnya dalam usia sekarang.

“Sakit jantung mungkin menjadi asbab kematian ayah, tapi kalau dilihat kembali, sebenarnya susunan Allah sangat cantik, perancangan-Nya terbaik. Sebulan terakhir ini ayah sangat rapat dengan keluarga, hinggakan ayah ‘memaksa’ adik (yang di Mesir) balik walaupun cuti hanya dua minggu.

Sambutan hari jadi isteri kali terakhir bersama semua ahli keluarga almarhum

“Ayah juga beria-ia mengajak kami balik kampung. Ayah sempat juga berjumpa kawan sekolah lamanya. Boleh dikatakan dia sangat happy la… macam dah tau. Tapi kami bersyukur ayah meninggal pada malam Jumaat. Adik di Mesir pun redha walaupun tak balik (kerana baru balik dua minggu lepas).

“Terima kasih kepada semua sahabat ayah dan rakan-rakan usrah yang banyak memberi sokongan dan membantu.”

Selain Yasser yang kini juga bekerja di IPC, anak-anak almarhum yang lain adalah Balqis (Perubatan, Mesir), Sarah (UiTM Tapah), Mariah (SMK Cheras Perdana) dan Marwan (Al-Amin Bestari, Melaka).

  

Mudah-mudahan roh almarhum digolongkan bersama para solihin dan mujahidin. Antara keindahan yang terpapar dalam proses perjalanan almarhum ke alam abadi… kematian yang tenang, tiga perempat dewan utama solat di Masjid Bandar Tun Hussein Onn dipenuhi barisan jemaah yang mengerjakan solat jenazah ke atas almarhum, bacaan talqin oleh Imam Hj Ghazali, jiran almarhum yang teresak-esak cukup mengharukan, pastinya lantunan daripada kebaikan almarhum dan ukhuwah fillah yang terbina subur selama ini…

Jenazah beliau kemudiannya selamat disemadikan di tanah perkuburan berdekatan Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn.

Zulkefli Ahmad @ Zul Bos – biarpun namamu mungkin cuma dikenali segelintir penduduk bumi, tetapi mudah-mudahan ia dikenali seluruh penduduk langit… insyaa-Allah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia